
30 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
KUALA  LUMPUR, 28 Ogos — Keluarga Teoh Beng Hock menuntut polis menyiasat tiga  pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dinamakan  dalam laporan suruhanjaya diraja berhubung kematian bekas setiausaha  politik DAP itu.
Tengah hari tadi keluarga itu membuat laporan polis dengan harapan satu siasatan jenayah akan dijalankan.
“Bukan  kami tidak ada kesabaran. Kami sudah lama bersabar dan telah diambil  kesempatan (ekoran kesabaran kami),” kata kakak Beng Hock, Lee Lan  selepas membuat laporan di balai polis Tun H.S. Lee di sini.
“Kami sudah lama menunggu dan tiada tindakan serius daripada kerajaan,” tambah Lee Lan.
Peguam  yang mewakili keluarga Teo, Gobind Singh Deo pula berkata, laporan  polis  dibuat berikutan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri  Datuk Seri Nazri Aziz di Dewan Rakyat Isnin lalu bahawa kerajaan tidak  mengenakan tindakan pendakwaan ke atas tiga pegawai SPRM terbabit  meskipun mereka dinamakan dalam laporan dikeluarkan tiga bulan lalu  berikutan tiada laporan polis dibuat.
“(Jadi)  hari ini kami membuat laporan polis ekoran penemuan  suruhanjaya diraja  untuk memastikan siasatan dijalankan dan tindakan sewajarnya di ambil  ke atas mereka yang bertanggungjawab di atas kematian Teoh Beng Hock,”  katanya.
Gobind  juga menyuarakan kekecewaannya terhadap kenyataan Nazri kerana tiada  tindakan diambil terhadap tiga pegawai terbabit sedangkan laporan  suruhanjaya diraja sudah membuktikan perkara itu.
“Kes ini telah berjalan dua tahun lebih tetapi masih tiada tindakan diambil, saya mencabar Nazri untuk ambil tindakan.
“Saya  juga kecewa dengan kenyataan Nazri Aziz berikutan tiada siasatan akan  dijalankan terhadap pegawai terbabit kerana tiada laporan polis dibuat,  adakah pihak polis sendiri tidak boleh membuat laporan?” katanya.
malaysian insider/-
