KUALA LUMPUR, 3 Nov:  Bagi menyatakan bantahan terhadap panganjuran Seksualiti Merdeka 2011  yang sedang berlangsung sehingga 13 November ini, Dewan Pemuda PAS pusat  akan mengadakan himpunan aman di di seluruh Masjid Negeri esok.
Menurut ketuanya, Nasruddin Hassan, arahan itu telah dikeluarkan kepada ketua dewan pemuda PAS negeri-negeri hari ini.
"Hari  ini kita telah mengarahkan kepada Dewan Pemuda PAS Negeri agar  mengadakan himpunan aman di masjid negeri masing-masing selepas solat  Jumaat esok," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Himpunan itu  ujarnya bagi membantah program yang disifatkan sebagai bertentangan  dengan cara hidup semua agama itu dan menuntut ianya dibatalkan dengan  segera.
Bagaimanapun menurutnya, masjid yang akan diadakan  himpunan tersebut akan diputuskan oleh dewan pemuda PAS negeri mengikut  kesesuaian negeri masing-masing.
Sehubungan itu beliau menyeru  kepada seluruh masyarakah perihatin agar turun beramai-ramai menyatakan  bantahan bersama dewan pemuda PAS esok.
Program yang dikenali  sebagai Seksualiti Merdeka 2011 dengan temanya Queer Without Fear telah  berlangsung kelmarin hingga 13 Nov 2011 di The Annaxe Gallery.
Program  itu kononnya berteraskan perjuangan hak asasi, menuntut hak dan  kebebasan golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual untuk  mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka.
Banyak  pihak berpandangan, ianya sama sekali tidak sesuai dengan kehidupan  masyarakat di Malaysia apatah lagi sangat bertentangan dengan ajaran  agama Islam.
Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Wilayah dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, bagi Kuala Lumpur demonstrasi tersebut akan di adakan di Masjid Kampung Baru esok.
Harakahdaily