
20 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
KUALA  LUMPUR, 15 Nov: Pemimpin Pakatan Rakyat mahu Jabatan Pendaftaran  Pertubuhan Malaysia (ROS) memberi jawapan bertulis berhubung status  permohonan mendaftarkan 'Pakatan Rakyat' sebagai parti.
Sehingga  kini menurut Setiusaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, ROS tidak  memberi jawapan hitam putih berhubung perkara itu kepada pihaknya.
Bercakap  kepada pemberita pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan  Pakatan Rakyat hari ini, beliau berkata, jawapan dari ROS itu penting  sebelum pihaknya mengemukakan permohonan baru.
"ROS mestilah keluarkan keputusan hitam putih terhadap status permohonan terdahulu yang melibatkan Datuk Zaid Ibrahim.
"Kalau  dia kata tolak, tolak...alasanya apa, Zaid tak anggotai PKR," katanya  sambil menegaskan akan menunggu surat itu terlebih dahulu.
Beliau  berkata demikian sebagai mengulas kepada kenyataan Ketua Pengarah ROS,  Datuk Abdul Rahman Othman dalam temubual dengan Utusan Malaysia, bahawa  permohonan pendaftaran 'Pakatan Rakyat' secara automatik terbatal  selepas Zaid selaku pemohon telah meninggalkan Pakatan.
Beliau juga mendakwa, Pakatan Rakyat tidak pernah mengemukakan permohonan baru selepas dari itu.
Menurut  Saifuddin lagi, Pakatan Rakyat telah melantik AJK PAS Pusat, Datuk  Kamaruddin Jaffar menggantikan tempat Zaid dan permohonan baru telah  dilakukan kepada Ketua Penolong Pengarah Pendaftar Pertubuhan ROS.
Namun  ujarnya, ketua penolong pengarah tersebut enggan menerimanya bagi pihak  ROS kerana mendakwa permohonan terdahulu belum dimuktamadkan oleh ROS.
"Kita follow up dari masa ke masa. Kes itu pending sehingga ketua pengarah ROS kata kita tak buat apa-apa.
"Majlis  Presiden juga bersetuju untuk satu permohonan baru kita kemukakan  sepantas mungkin apakala keputusan ROS itu diketahui," katanya.
HARAKAHDAILY/-
