
12 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
SHAH  ALAM 9 NOV : Kira-kira 30 minit sidang Dewan Negeri Selangor bermula,  Speaker DNS Datuk Teng Chang Khim mengarahkan ADUN Batang Kali Mohd Isa  Abu Kasim keluar dewan kerana melanggar arahan speaker.
Mohd  Isa bertindak sedemikian ekoran tidak berpuas hati dengan jawapan  Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung manfaat program  Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) kepada penjawat awam yang telah  bertungkus lumus bekerja membantu dan menjayakan kerajaan negeri.
Teng  sebelum itu menjelaskan bahawa pertanyaan tersebut telah dijawab dengan  baik oleh Khalid selain menyifatkan soalan tambahan yang diajukan oleh  Mohd Isa tidak releven.
Khalid  menjelaskan kakitangan kerajaan adalah sebahagian daripada rakyat  Selangor dan ia adalah sebahagian daripada komuniti yang turut menerima  manfaat dari penganjuran MES.
Bagaimanapun, Mohd Isa tetap tidak berpuas hati dan berkeras untuk tidak duduk. 
Sehubungan itu, Mohd Isa diarahkan untuk keluar dewan dan tidak dibenarkan untuk mengikuti sidang dewan selama sehari.
Dalam  perkembangan yang sama, Mohd Isa ketika ditemui TvSelangor sejurus  selepas keluar dewan berkata tindakan Speaker menghalang dirinya  menyertai dewan selama sehari adalah satu penganiayaan terhadap dirinya.
"Saya  rasa bagi kerajaan yang berkreadibiliti dan akuantabiliti telah  melakukan penganiayaan kerana tidak membenarkan ahli dewan bertanyakan  soalan mengenai penjelasan,"katanya.
tv news/-
