
27 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 23 Nov:  Selain memberikan bantuan kepada ibu-ibu tunggal dan mereka yang  memerlukan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,  disaran turut menyediakan bantuan kebajikan kepada golongan bapa  tunggal.
Ahli  Parliimen Pendang, Dr Mohd Hayati Othman berkata, saranan tersebut amat  perlu diberikan pertimbangan memandangkan kebanyakan bapa tunggal juga  mengalami kesempitan dalam hidup.
Menurut  beliau, realiti itu terutamanya berlaku bagi bapa-bapa tunggal miskin  yang bekerja sebagai penoreh getah dan seumpamanya.
Katanya,  disebabkan kemiskinan, sesetengah bapa tunggal ada yang terpaksa  membawa anak-anaknya ke kebun getah untuk bersama-sama dengannya ketika  hendak menoreh.
"Ini  antaranya ada berlaku di kalangan bapa-bapa tunggal di kawasan saya,"  katanya ketika bangun mencelah pada sesi penggulungan perbahasan Rang  Undang-undang Perbekalan 2012 peringkat jawatankuasa oleh Timbalan  Menteri Pembangunan Wanta, Keluarga dan Masyarakat pada persidangan  Dewan Rakyat, petang semalam.
Dalam  melaksanakan tanggungjawabnya, menurut beliau, pihak kementerian  terbabit tidak seharusnya hanya memberikan perhatian kepada golongan  wanita sahaja khususnya berhubung dengan mereka yang bertitle tunggal.
Sebaliknya,  perhatian sewajarnya turut diperlukan oleh bapa-bapa tunggal, terutama  gollongan miskin, bagi membolehkan mereka meneruskan hidup dengan  sempurna, dengan kadar bantuan yang berpatutan dan sesuai dengan  keperluan mereka.
Selain  itu, beliau turut mengingatkan pihak kementerian terbabit agar tidak  terus mengambil tindakan memotong bantuan kebajikan yang telah diberikan  kepada para penerima setelah anak-anak mereka besar dan bekerja.
"Anak-anak  bila mereka dah besar memanglah bekerja. Tapi tak patutlah bila anak  mereka dah bekerja terus dipotong bantuan kebajikan mereka.
"Walaupun  anak meteka dah bekerja, bukan semua anak-anak mereka itu mempunyai  gaji besar, malah mereka tetap masih memerlukan bantuan kebajikan dari  kementerian," katanya.
Beliau  juga berharap agar pihak kementerian memberikan pertimbangan kepada  golongan kurang upaya (OKU) atau golongan kelainan upaya, memandangkan  sesetengah daripada mereka mengalami pelbagai kerumitan dalam hidup,  termasuk untuk mendapatkan lesen memandu.
"Begitu  juga dengan bantuan kebajikan PDK. Mereka juga perlu diberikan  perhatian yang sewajarnya oleh pihak kementerian," ujar beliau.
Harakah Daily
