
26 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
KUALA  LUMPUR, 21 Nov — Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat  berkata akhbar milik Umno, Mingguan Malaysia membuat satu lagi  pembohongan - mengenai isu air semalam - untuk memburuk-burukkan  kerajaan negeri Kelantan.
“Hakikatnya  apa yang disebut oleh Utusan Malaysia (Mingguan Malaysia) ini hanyalah  satu lagi pembohongan yang jelas untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri  Kelantan.
“Jelas  sekali, laporan ini tidak lain hanyalah merupakan satu usaha untuk  menggunakan air Kelantan membersihkan najis lembu yang bernilai RM250  juta,” kata beliau dalam komen yang disiarkan menerusi laman sosial  Facebook sebentar tadi.
Sehubungan  itu Nik Aziz (gambar) yang juga Mursyidul Am PAS berkata, “nasihat  saya, bertaqwalah kepada Allah SWT kerana apa yang ditulis akan disoal  oleh-Nya di akhirat kelak.”
“Janganlah  sampai fitnah yang ditabur ini menggerakkan tangan orang-orang yang  dizalimi untuk melafazkan doa ke atas penabur-penabur fitnah.
“Ini  kerana, doa orang yang dizalimi tidak akan ditolak oleh Allah SWT,”  kata beliau lagi mengulas laporan muka depan Mingguan Malaysia, akhbar  edisi keluaran Kumpulan Utusan semalam.
Nik  Aziz menulis, “saya telah ditanya pagi tadi selepas mesyuarat Koridor  Ekonomi Wilayah Timur (ECER) pagi tadi berkenaan laporan muka hadapan  Mingguan Malaysia pada 20 November 2011 (semalam) yang membawa tajuk  ‘Air Kelantan Terkotor?’.
“Saya  pada mulanya beranggapan tidak perlu untuk memberikan respons terhadap  laporan akhbar Mingguan Malaysia yang sudah diketahui umum sebagai  akhbar yang tidak bertanggungjawab terhadap fakta dan seringkali  melanggar etika kewartawanan,” katanya.
Nik  Aziz berkata beliau menganggap masih ramai yang belum lupa bagaimana  Utusan Malaysia pernah memainkan isu ‘Kristian Agama Rasmi Negara’ satu  ketika dahulu yang terbukti kemudiannya sebagai satu pembohongan  semata-mata.
Namun,  tegas Nik Aziz, dibimbangi isu yang dimainkan ini menimbulkan polemik  yang berpanjangan, beliau telah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa  Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri Kelantan Datuk  Mejar (B) Md Anizam Abd Rahman untuk memberikan kenyataan menjelaskan  perkara yang sebenar.
Sambil  berkata akhbar tersebut telah menyorok beberapa fakta sebenar, Nik Aziz  menambah, “pertamanya, sukalah saya merujuk kepada surat yang dihantar  oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kepada Pengurus Besar  Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) yang bertarikh 30 Oktober 2011 yang  memaklumkan prestasi kurang memuaskan beberapa buah negeri seperti yang  termaktub di dalam Laporan Pencapaian Pematuhan Kualiti Air Terawat Bagi  Parameter QAP Seluruh Negara bagi tempoh Januari hingga Julai dan  Januari hingga Ogos 2011 yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan  Malaysia Putrajaya.”
“Negeri-negeri  yang menunjukkan prestasi kurang memuaskan itu ialah Kelantan, Pahang,  Wilayah Persekutuan Labuan, Perak dan Perlis.
“Berdasarkan  lampiran yang diberikan, kandungan e-coli yang terdapat dalam air  terawat yang dibekalkan oleh AKSB dinilai sebanyak 0.88 peratus. Ia  lebih rendah jika dibandingkan dengan negeri Pahang (1.12 peratus),  Perak (0.90 peratus), Perlis (1.21 peratus) dan Wilayah Persekutuan  Labuan (1.01 peratus),” katanya lagi.
Selain  itu kata Nik Aziz, beliau sedia maklum bahawa tahap yang dianggap tidak  memuaskan ialah jika melebihi empat peratus, namun untuk dikatakan  kandungan air terawat di Kelantan sebagai yang tertinggi e-coli ialah  satu tuduhan rambang yang berniat jahat.
“Saya  juga ingin melahirkan rasa hairan terhadap data yang dikemuakan oleh  Utusan Malaysia yang dikatakan dirujuk kepada Panduan Industri Air  Malaysia 2011 sedangkan data rasmi Panduan Industri Air Malaysia 2011  masih belum dikeluarkan dan hanya akan dikeluarkan kebiasaannya pada  pertengahan tahun berikutnya iaitu sekitar bulan Jun 2011.
“Dari manakah Utusan Malaysia memperolehi maklumat yang masih belum dikeluarkan ini?” kata beliau lagi.
malaysian insider/-
