Kemajuan Untuk Semua Bangsa Tanpa Mengira Warna Kulit atau Bangsa di bawah Agama Islam

Instagram

Instagram

Suara Ketenangan

Revolution Ads

Revolusi

Khaulah Azwar

(Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim memerhatikan pelancaran kerja-kerja mengecat semula Flat Samudera di Gombak)

GOMBAK, 30 Dis: Kerajaan negeri Selangor berjaya menyelesaikan kerja mengecat semula Flat Samudera dengan kos RM360,000 berbanding janji Perdana Menteri yang memperuntukkan RM1.2 juta untuk projek yang sama.

Sehubungan itu, PAS kawasan Gombak menyelar tindakan Umno Gombak yang masih memanipulasikan isu kerja mengecat semula Flat Samudra.

Salehuddin Mohd Nasir, YDP PAS Kawasan Gombak berkata, PAS Kawasan Gombak merasa hairan terhadap tindakan Umno Gombak yang terus menerus mempolitikan isu ini.

Menurut beliau, isu ini telah pun selesai apabila kerajaan negeri Selangor telah bersetuju memperuntukan sejumlah RM360 ribu untuk tujuan tersebut dalam Majlis Pelancaraan Program Ceria (fasa kedua) baru-baru ini.

Jumlah ini jauh lebih rendah berbanding dengan jumlah anggaran peruntukan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika lawatan beliau ke Gombak tempoh hari, iaitu sejumlah RM1.2 juta.

"Mungkin cat tersebut diimport daripada luar negara untuk membantu rakyat di situ," kata Salehudin (gambar), yang juga seorang penceramah agama terkenal.

Jelasnya lagi, kerajaan negeri Selangor bersetuju untuk membiayai 80% daripada jumlah RM360 ribu tersebut, manakala baki 20% (RM72 ribu) juga telah diselesai tanpa perlu ditanggung oleh penduduk setempat.

Hasil permufakatan bersama Baki RM72 ribu tersebut telah berjaya diperolehi daripada pelbagai pihak yang terlibat, iaitu Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Gombak Setia, Persatuan Penduduk, Ahli Majlis Perbandaran Selayang Zon Gombak, katanya.

"Walaubagaimanapun kita tidak akan menolak sebarang bentuk sumbangan yang ingin dihulurkan oleh penduduk Flat Samudera kearah kebaikan bersama," katanya.

PAS Gombak juga mencabar Umno Gombak untuk turut menyumbang kearah kebaikan penduduk Flat Samudera.

“Sumbangan yang diminta pun jauh lebih kecil daripada wang RM1.2 juta yang Perdana Menteri janjikan," kata Salehudin.

PAS Gombak juga bersyukur kerja-kerja mengecat Flat Samudera dapat di selesaikan dibawah pengurursan kerajaan negeri Selangor setelah hampir 20 tahun tidak dicat semula.

Walaupun baru hampir empat tahun Pakatan Rakyat memerintah tetapi ia dapat diselesaikan berbanding dengan kerajaan sebelum ini, ujarnya.

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Dis: Pemimpin Pakatan Rakyat sedia bertemu dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi bila-bila masa kerana banyak perkara yang mereka ingin tanyakan berhubung pembelian kelengkapan pertahanan negara.

Menjawab pelawaan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada pemimpin pembangkang untuk bertemu dengan beliau bagi membincangkan soal-soal pertahanan negara, mereka setuju untuk bertemu.

Anggota parlimen (AP) Petaling Jaya Utara Tony Pua (gambar) berkata beliau, anggota parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah dan anggota Parlimen Kuala Selangor Dzulkefly Ahmad adalah ‘lebih daripada bersedia’ untuk mendengar penjelasan beliau dalam beberapa pembelian pertahanan yang terlampau mahal.

Menjawab pelawaan Zahid, Pua berkata Menteri Pertahanan juga harus menjawab pembeliaan 257 APV (kereta tempur berperisai) pada harga RM7.55 bilion. Sebelum ini, Zahid berkata beliau tidak tahu apa-apa mengenai pembelian tersebut.

Lebih mencabar, Pua juga mendesak supaya Zahid memberikan jaminan bahawa kementeriannya adalah terbuka kepada ketelusan dan memberikan jawapan mengenai keengganan kerajaan untuk menubuhkan satu jawatankuasa parlimen to memantau dan memeriksa pembelian peralatan pertahanan yang dicadangkannya.

“Jika kementerian tersebut tidak sudi untuk dipantau oleh parlimen, badan legislatif negara, maka Zahid tidak hak untuk bercakap mengenai ketelusan,” kata Pua.

Terdahulunya, Pua mengesan kenaikan sebanyak 50 peratus, daripada RM6 bilion ke RM9 billion dalam pembelian harga kapal perang pesisir pantai (LCS) melalui pengumuman penerima tender pembinaan enam LCS Boustead Naval Shipyard (BNS) di Bursa Malaysia.

Pada bulan Februari yang lalu, Zahid sendiri yang mempertahankan pembelian LCS pada harga RM6 billion selepas Pua mendedahkan bahawa harga tersebut terlalu mahal.

Namun, tanpa meneliti kenyataan Pua, Zahid masih mencabar beliau untuk mengemukakan bukti dan menyoal “siapa yang memberikan bayangan bahawa harga pembelian LCS sudah meningkat” dan “Di mana beliau mendapat angka tersebut? Daripada Kua Kia Soong, bekas AP DAP?”.

Pada pendapat Zahid, pembangkang seharusnya tahu bahawa harga LCS yang mahal disebabkan kapal itu akan dibina di Malaysia.

"Harga itu juga termasuk nilai tambah seperti offset program, pemindahan teknologi dan tambahan pula harga kapal tidak tetap kerana ia belum termasuk harga sub sistem pada satu-satu kapal," katanya.

Mohd Sabri Said

PULAU PINANG, 30 Dis: Pemuda PAS mempelawa bekas Ketua Pemuda MCA Pulau Pinang, Eng Hiap Boon dan 439 ahlinya menyertai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di negeri ini untuk bersama-sama menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum akan datang.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Yusni Mat Piah berkata, beliau merasakan masa untuk bersama MCA dan BN memerintah telah berlalu kerana terlalu banyak penyelewengan berlaku melibatkan wang rakyat.

Eng Hiap Boon (gambar) dan anggotanya meletakkan semua jawatan dalam parti itu beramai-ramai semalam ekoran hilang kepercayaan kepada kepimpinan MCA dan BN.

Tindakan mereka mengakibatkan dua cawangan MCA di negeri itu dibubarkan.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di George Town, Eng berkata, beliau dan rakan-rakan seperjuangannya amat kecewa dengan pemimpin parti yang menurutnya sedang berdepan dengan isu moral dan tidak beretika dalam kepimpinan mereka.

Perbalahan dalaman parti, tambahnya, semakin buruk dan para pemimpin pula didakwanya enggan melibatkan diri dengan akar umbi atau berkhidmat kepada rakyat secara ikhlas.

Tindakan Eng Hiap Boon pasti memberikan tamparan hebat kepada pucuk pimpinan
terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang seakan sudah bersedia dengan kekuatan baru untuk merampas kembali Pulau Pinang daripada Pakatan Rakyat.

Langkah drastik itu juga memberikan kekuatan baru kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk teruskan usaha menyakinkan rakyat dengan berbagai skim batuan hasil lebihan perbelanjaan kerajaan tanpa melihat lagi kebelakang.

"Sebagai Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS Pusat saya menyeru beliau dan ahlinya menyertai DHPP di Pulau Pinang bagi membantu memperkuatkan PAS sekaligus memperkemaskan jentera Pakatan Rakyat yang sedang diperlekehkan oleh Umno dan BN.

"Dewan Pemuda PAS yakin ia satu perkembangan yang positif terhadap Pakatan Rakyat di negeri ini, " jelas Husni dalam kenyataannya.

Dewan Pemuda PAS sendiri katanya, cuba mencari jalan mendekati mereka dengan sokongan DHPP Pulau Pinang bagi menerangkan betapa pentingnya perlawaan tersebut.

Ia amat wajar kerana Malaysia amnya Pulau Pinang kena di selamatkan daripada jatuh semula ke tangan Umno dan BN yang ketagih kuasa.



6 Safar 1433H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS Pusat (Malaysia) mengucapkan selamat menyambut tahun baru 2012 kepada seluruh anak muda khasnya dan rakyat Malaysia amnya. Saya selaku pimpinan anak muda sudah tentu ingin menyampaikan insprasi anak muda di luar sana yang sebenarnya aset sebenar Negara kita. Pada hari ini bagi kami, sikap anak muda harus berani menegur siapa sahaja demi kebenaran dalam persekitaraan kehidupan harian mereka.

Bagi kami, anak muda adalah sebagai pengimbang sistem Negara kita samada di dalam pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Kita saban tahun dihidangkan di hadapan kita laporan Jabatan Audit Negara yang yang cukup dengan kelemahan dan ketirisan hasil Negara kita selama ini. Termasuk kronisma dan nepotisma dalam pemberi projek Negara sebagai satu penyakit yang membarah.

Negara yang selama ini mengharapkan Pergerakkan PemudaBarisan Nasional (BN) dilihat gagal memimpin dan membela anak muda. Dan yang paling jelas bahawa Mahasiswa ditutup mulut mereka tanpa pembelaan sebenar daripada Pemuda BN. Isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kebebasan akademik semangkin hari semangkin tiada penghujungnya.

Dan pada hari ini, kami menyeru agar anak muda adalan benteng terakhir agar semua kemelut dan barah yang selama ini membiak perlu kita sama-sama berusaha memastikan ianya dibersihkan sama sekali. Kami berharap anak muda dalam mengejar dan memburu nilai kehidupan agar jangan mengabaikan nilai Bangsa dan Agama sebagai asas pendinding kemajuan. Ayuh anak muda, kita bimbing Negara yang tercinta ini dengan ketelusan, maruah dan cita-cita sayangkan Agama dan Negara kita yang merdeka!

DR RAJA AHMAD AL-HISS
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Pusat (Malaysia).



2 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Dis: PAS hari ini menghantar surat kepada Kementerian Luar Negeri bagi menuntut agar diadakan sidang kemuncak tergempar Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC) berhubung pergolakan di Syiria.

Pengerusi Lajanah Antarabangsa PAS, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata gesaan itu perlu memandangkan keganasan oleh pasukan tentera kerajaan Presiden Bashar Al-Assad terhadap rakyatnya masih berterusan meskipun beliau sudah berjanji tidak akan bertindak sedemikian.

Surat tersebut dihantar pagi tadi ke Pejabat Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman di Wisma Putra, Putrajaya.

"Kita tahu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab telah mengadakan mesyuarat untuk menyelesaikan krisis ini.

"Malaysia juga perlu memainkan peranannya dengan lebih berkesan dengan menuntut OIC mengadakan sidang kemuncak tergempar dengan segera," katanya pada sidang media di Pejabat Harakah di sini.

Pergolakan yang bermula Mac 2011 lalu dianggar telah mengorbankan 5000 nyawa rakyat negara itu.

Terbaru semalam sahaja dilaporkan 30 orang terbunuh dalam satu pertempuran di bandar Homes.

Kerajaan Syiria pimpinan Presiden Bashar Al-Assad sebelum ini telah berjanji untuk tidak bertindak ganas terhadap rakyatnya.

Bagaimanapun episod pembunuhan demi pembunuhan berlaku menyaksikan kerajaan itu tidak pernah menepati janji mereka.

Hari ini juga seramal 50 orang pemerhati Liga Arab dihantar ke Syiria untuk memastikan Presiden Bashar Al-Assad menepati janjinya.

Tahniah Ikhwan Mesir

Dalam perkembangan lain, Kamaruddin juga turut mengucapkan tahniah kepada Ikhwan Mesir ekoran laporan awal yang mendakwa parti itu menang lebih besar melebihi 50 peratus dalam keputusan pengundian pusingan kedua pilihan raya parlimen di negara itu.

"Tentunya keputusan ini akan memudahkan parti Ikhwan menubuhkan kerajaan dan menjadi lebih kuat dan stabil.

"Bagi pihak PAS, Timbalan Pegerusi Lajnah Antarabangsa, Dr Syed Azman (Syed Ahmad Nawawi) kini sedang berada di Mesir bagi memantau perkembangan tersebut," katanya.

Pengundian fasa kedua berlangsung 14 Disember lalu merangkumi sembilan buah wilayah iaitu Giza, Menoufia, Sharqiah, Ismailiah, Beni Suef, Suez, Buhairah, Sohag dan Aswan.

Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) yang mewakili Ikhwanul Muslimin dikatakan mempunyai peluang cerah dalam pilihanraya fasa kedua ini.

Parti tersebut setakat ini telah mendahului dengan kemenangan sebanyak lebih 50%, diikuti Parti An-Nur, Pakatan Liberal dan Parti Wafd.

Harakah Daily



2 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Dis: PKR hari ini menafikan pihaknya terlibat dalam penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang meminta semua anggota parti itu berkumpul pada 9 Januari 2012 ini di Mahkamah Tinggi Jalan Duta Kuala Lumpur dan mengajak untuk mencetuskan huru-hara di Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini, Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution berkata, SMS itu menggunakan namanya dengan mendakwa beliau telah mengeluarkan suatu surat pekeliling mengarahkan semua ahli parti hadir.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa terdapat arahan seperti ini, yang saya yakin merupakan satu lagi fitnah jahat Umno yang sememangnya sedang semakin gentar dengan kebangkitan rakyat menentang kezaliman dan kekejaman mereka yang terus rakus merompak dan menyeleweng harta rakyat dan negara.

"Wajar dinyatakan juga bahawa sifat jahat memfitnah, membohong dan menyebarkan berita palsu serta usaha memporak-perandakan keamanan rakyat Malaysia kini telah menjadi semakin sebati dan lumrah dalam setiap nafas dan gerak nyawa Umno.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai, anggota PKR dan penyokong-penyokong gerakan reformasi yang akan keluar beramai-ramai pada 9 Januari nanti bagi menunjukkan sokongan kepada Ketua Umum PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim supaya berhimpun secara aman dan mematuhi arahan petugas-petugas serta tidak terpengaruh dan terjebak dengan tindakan provokatif golongan yang tidak bertanggungjawab pada hari berkenaan.

Harakah Daily



2 Safar 1433H. [MOD] -

BAYAN LEPAS, 27 Disember: Pentadbiran negeri yang bersih juga antara aspek penting bagi menentukan nasib rakyat terbela, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Datuk Saleh Man.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Green Cleaneer Penang di Sungai Batu, Bayan Lepas semalam.

Katanya, kebersihan bukan sahaja dikaitkan dengan keindahan alam ciptaan Allah s.w.t malahan kebersihan dari segi pentadbiran juga menjadi daya tarikan apatah lagi pelaburan yang boleh meninggikan lagi pendapatan negeri yang berharap penuh pada sektor perindustrian dan pelancungan.

Ujarnya lagi, rakyat akan bertambah sihat apabila mereka dapat rasakan kelainan apabila lebihan pendapatan hasil kerja kuat rakyat dibahagikan pula kepada semua penduduk walaupun tidak seberapa.

"Itulah kualiti kerja Kerajaan Negeri masa kini. Kita mementingkan kebersihan dari semua segi tidak hanya tertumpu pada keindahan alam semata-mata. Cara itu boleh membuatkan rakyat bertambah sihat, " jelasnya.

Green Cleaneer anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang dibeberapa lokasi sebelum ini berjaya merealisasikan Pakatan Rakyat yang mahukan Pulau Pinang diserikan kembali menjadi sebuah pulau yang menjadi tarikan seperti dulu.

Jolokan Pulau Pinang sebagai 'Darul Sampah' beberapa tahun lalu ketika diakhir hayat pemerintahan Barisan Nasional (BN) cuba dipulihkan dengan penganjuran majlis seperti ini.

Selain menghijaukan kembali lokasi yang dulunya kering kontang tanpa pokok yang sesuai majlis tersebut juga mengeratkan kerjasama yang lebih gemilang sesama agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dengan penduduk setempat.

Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim ketika berucap berharap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) sebelah pulau lebih menonjolkan program seumpama ini untuk menyemai pendidikan di kalangan para remaja khususnya tentang kepentingan menjagai kebersihan.

Baginya sebagai Ahli MPPP, bersedia membantu mana-mana pihak untuk melaksanakan projek berkenaan. MPPP akan menyediakan beberapa peralatan untuk menjayakanya.

"MPPP memang menggalakan orang ramai menganjurkan program seumpama itu demi memastikan Pulau Pinang indah, bersih, nyaman dan tenteram, " terangnya.

Sebelum itu Dato' Saleh Man diberikan peluang menanam beberapa batang pokok hadapan flat Taman Vanila Sg Batu, Teluk Kumbar.

Berbagai pihak turut mengadakan pameran antaranya ialah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri, PasukanPolis, Pendaftran Orang Kelainan Upaya (OKU), Jabatan Parit dan Salliran (JPS), Jabatan Kesihatan Negeri dan pemeriksaan kesihatan oleh sebuah NGO.

Turut serta berucap dalam majlis berkenaan ialah Penyelaras Dun Bayan Lepas, Cikgu Asnah Hashim dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf.

Harakah Daily

    Followers