|       (Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim memerhatikan pelancaran kerja-kerja mengecat semula Flat Samudera di Gombak)  GOMBAK, 30 Dis: Kerajaan negeri Selangor  berjaya  menyelesaikan kerja mengecat semula Flat Samudera dengan kos RM360,000  berbanding janji Perdana Menteri yang memperuntukkan RM1.2 juta untuk  projek yang sama.
  Sehubungan itu, PAS kawasan Gombak menyelar  tindakan Umno Gombak yang masih memanipulasikan isu kerja mengecat  semula Flat Samudra.
  Salehuddin Mohd Nasir, YDP PAS Kawasan  Gombak berkata,  PAS Kawasan Gombak merasa hairan terhadap tindakan Umno  Gombak yang terus menerus mempolitikan isu ini.
  Menurut beliau,  isu ini telah pun selesai apabila kerajaan negeri Selangor telah  bersetuju memperuntukan sejumlah RM360 ribu untuk tujuan tersebut dalam  Majlis Pelancaraan Program Ceria (fasa kedua) baru-baru ini.
  Jumlah  ini jauh lebih rendah berbanding dengan jumlah anggaran peruntukan yang  diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika  lawatan beliau ke Gombak tempoh hari, iaitu sejumlah RM1.2 juta.
 
  "Mungkin cat tersebut diimport daripada luar negara untuk membantu rakyat di situ," kata Salehudin (gambar), yang juga seorang penceramah agama terkenal.
  Jelasnya  lagi, kerajaan negeri Selangor bersetuju untuk membiayai 80% daripada  jumlah RM360 ribu tersebut, manakala baki 20% (RM72 ribu) juga telah  diselesai tanpa perlu ditanggung oleh penduduk setempat.
  Hasil  permufakatan bersama Baki RM72 ribu tersebut telah berjaya diperolehi  daripada pelbagai pihak yang terlibat, iaitu  Pusat Khidmat Masyarakat  (PKM) ADUN Gombak Setia,  Persatuan Penduduk, Ahli Majlis Perbandaran  Selayang Zon Gombak, katanya.
  "Walaubagaimanapun kita tidak akan  menolak sebarang bentuk sumbangan yang ingin dihulurkan oleh penduduk  Flat Samudera kearah kebaikan bersama," katanya.
  PAS Gombak juga mencabar Umno Gombak untuk turut menyumbang kearah kebaikan penduduk Flat Samudera.
  “Sumbangan yang diminta pun jauh lebih kecil daripada wang RM1.2 juta yang Perdana Menteri janjikan," kata Salehudin.
  PAS  Gombak juga bersyukur kerja-kerja mengecat Flat Samudera dapat di  selesaikan dibawah pengurursan kerajaan negeri Selangor setelah hampir  20 tahun tidak dicat semula.
  Walaupun baru hampir empat tahun  Pakatan Rakyat memerintah tetapi ia dapat diselesaikan berbanding dengan  kerajaan sebelum ini, ujarnya.  |