|    KUALA LUMPUR, 11 Dis: Setiausaha Kerajaan Negeri  Selangor Datuk  Mohammed Khusrin Munawi menjelaskan penganugerahan  darjah kebesaran  Selangor kepada exco kerajaan negeri Datuk Hasan  Mohamed Ali adalah  sebagai memberi keadilan kepada parti komponen  Pakatan Rakyat negeri  itu.
  Beliau yang dipertik Bernama berkata,  pemberian anugerah itu bukan atas kapasiti Hasan sebagai ahli politik  tetapi atas kapasitinya sebagai seorang penjawat awam.
  "Penganugerahan  kepada Hasan (tengah) disifatkan memberi keadilan kepada parti komponen  Pakatan  kerana Selangor ditadbir kerajaan Pakatan Rakyat yang  mengandungi tiga parti komponen iaitu PKR, DAP dan PAS," katanya yang  dilapor agensi berita itu.
  Pada 2009, Sultan Selangor  mengurniakan darjah kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) kepada  Menteri Besar Selangor Tan Sri  Abdul Khalid Ibrahim (atas, kiri) yang  mewakili PKR, dan darjah Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) kepada  Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Teng Chang Khim pada 2010 mewakili  DAP.
  Tahun ini, Sultan Selangor berkenan menganugerahkan DPMS  kepada Hasan.
  Sehubungan itu kata Khusrin, Sultan Selangor Sultan  Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita kerana mendapati ada  pihak cuba mempolitikkan isu pemberian darjah kebesaran Selangor sempena  hari keputeraan ke-66 baginda itu.
  Permainan Utusan
  Penjelasan  itu sekaligus menolak telahan kolumnis tetap akhbar Umno Utusan  Malaysia, Zaini Hassan yang membuat andaian anugerah kepada Hasan itu  perlu dilihat sebagai satu usaha untuk mengahwinkan PAS dan Umno demi  perpaduan umat Islam.
  Zaini dalam tulisannya yang disiar di  akhbar itu 7 Disember lalu mendakwa Hasan sangat diperlukan untuk  memainkan peranan “melakukan perkahwinan” antara PAS-Umno.
  Nama  Hassan sering dikaitkan oleh Utusan sebagai orang “penting” dalam  mewujudkan kerajaan perpaduan antara Umno dan PAS selepas pilihan raya  umum 2008.
  Dalam kolumnya itu, Zaini berhujah bahawa di Selangor,  faktor Dr Hasan masih lagi penting kerana pengikutnya di dalam PAS  sangat besar dan pengaruhnya di kalangan penjawat awam Melayu dalam  kerajaan Selangor juga amat besar.
  Perkembangan itu, menurut  Zaini, memberikan kelebihan kepada Dr Hasan bertindak sebagai pemangkin  kepada perkahwinan PAS dan Umno.  |