|     PULAU PINANG, 30 Dis:  Pemuda PAS mempelawa bekas Ketua Pemuda MCA Pulau Pinang, Eng Hiap Boon  dan 439 ahlinya menyertai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di negeri  ini untuk bersama-sama menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada  pilihanraya umum akan datang.
  Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau  Pinang, Yusni Mat Piah berkata, beliau merasakan masa untuk bersama MCA  dan BN memerintah telah berlalu kerana terlalu banyak penyelewengan  berlaku melibatkan wang rakyat.
  Eng Hiap Boon (gambar)  dan anggotanya meletakkan semua jawatan dalam parti itu beramai-ramai   semalam ekoran hilang kepercayaan kepada kepimpinan MCA dan BN.  Tindakan mereka mengakibatkan dua cawangan MCA di negeri itu dibubarkan.
  Bercakap  dalam satu sidang akhbar di George Town, Eng berkata, beliau dan  rakan-rakan seperjuangannya amat kecewa dengan pemimpin parti yang  menurutnya sedang berdepan dengan isu moral dan tidak beretika dalam  kepimpinan mereka.
  Perbalahan dalaman parti, tambahnya, semakin  buruk dan para pemimpin pula didakwanya enggan melibatkan diri dengan  akar umbi atau berkhidmat kepada rakyat secara ikhlas.  Tindakan Eng Hiap Boon pasti memberikan tamparan hebat kepada pucuk pimpinan terutamanya  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang seakan sudah bersedia  dengan kekuatan baru untuk merampas kembali Pulau Pinang daripada  Pakatan Rakyat.
  Langkah drastik itu juga memberikan kekuatan baru  kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk teruskan usaha menyakinkan  rakyat dengan berbagai skim batuan hasil lebihan perbelanjaan kerajaan  tanpa melihat lagi kebelakang.
  "Sebagai Pengerusi Lajnah  Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS Pusat saya menyeru beliau dan  ahlinya menyertai DHPP di Pulau Pinang bagi membantu memperkuatkan PAS  sekaligus memperkemaskan jentera Pakatan Rakyat yang sedang  diperlekehkan oleh Umno dan BN.
  "Dewan Pemuda PAS yakin ia satu  perkembangan yang positif terhadap Pakatan Rakyat di negeri ini, " jelas  Husni dalam kenyataannya.
  Dewan Pemuda PAS sendiri katanya, cuba  mencari jalan mendekati mereka dengan sokongan DHPP Pulau Pinang bagi  menerangkan betapa pentingnya perlawaan tersebut.
  Ia amat wajar  kerana Malaysia amnya Pulau Pinang kena di selamatkan daripada jatuh  semula ke tangan Umno dan BN yang ketagih kuasa.
   |