7 Syaaban 1432H. [MOD] -
Stesen televisyen Al-Jazeera melaporkan lebih 100,000 rakyat menyertai BERSIH 2.0 walaupun terpaksa menongkah pelbagai kezaliman polis dan pemerintah.
Secara ringkas berikut adalah “harga” yang terpaksa dibayar oleh pendokong Bersih :
- 1,667 orang ditahan termasuk Pengerusi BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan dan ahli jawatankuasanya Maria Chin Abdullah. Lebih 250 yang lain ditangkap sebelum ini, termasuk enam di bawah Ordinan Darurat.
 
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ditembak gas pemedih mata dan mengalami kecederaan di kepala dan kaki. Beliau menerima rawatan di Hospital Pantai. Anaknya Nurul Iman dan Hana ditahan manakala pengawal Anwar dikasari.
- Turut cedera ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad.
 
- Kepimpinan utama PAS turut diberkas termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya, Mohamad Sabu serta dua naib presidennya, Sallehuddin Ayob dan Datuk Mahfuz Omar.
 
- Ahli parlimen yang ditahan termasuk Tian Chua, RSivarasa, Azmin Ali, Fuziah Salleh (PKR) dan Ngeh Ko Ham (DAP).
 
Harga murah
Namun harga itu dianggap “murah” berbanding dengan mesej tajam yang dihantar oleh Himpunan BERSIH 2.0.Perkara   paling memberangsangkan adalah hakikat bahawa ratusan ribu orang yang   turun padang menyertai BERSIH merangkumi pelbagai kaum, khususnya   Melayu, Cina dan India, menjadikan BERSIH sebuah gerakan rakyat dalam   erti kata sebenarnya.
Kehadiran mereka membuktikan  “kuasa  rakyat”  masih kuat membara di negara ini dan tidak mungkin   ditenggelamkan dengan provokasi dan kekerasan polis serta pemerintah,   walau sehebat manapun.
“Kebenaran akan sentiasa  mengatasi  kekejaman,” kata Ambiga, sejurus sebelum beliau ditangkap oleh  polis  dan dibawa ke suatu lokasi yang tidak diketahui.Beberapa “adegan-adegan”  BERSIH 2.0 akan sentiasa terpahat dalam sejarah negara ini.
Contohnya:   ribuan rakyat berbilang kaum bersilang tangan,  membentuk saf   berjalan  walaupun disekat polis yang menembak air bercampur kimia dan  gas  pemedih mata di Jalan Pudu.
Begitu juga dengan rakyat  yang  menyanyi 'Negaraku' di Stadium Merdeka bagi meraikan kejayaan  melepasi  sekatan jalan dan kekerasan polis.
Imej-imej  anggota polis yang  bergerak secara berkumpulan, memukul, memijak  rakyatnya sendiri  sebelum mengheret mereka ke lokap juga akan terpahat  dalam ingatan.Pancutan   air berkimia dan bau gas pemedih mata pula akan menandakan 9 Julai  2011  sebagai hari di mana aparatus pemerintah diguna untuk menghalang  rakyat  berjalan aman ke sebuah lokasi untuk menzahirkan keperluan  diadakan  pilihanraya adil dan telus.
BERSIH 2.0 berjaya membongkarkan wajah sebenar pemimpin-pemimpin utama negara ini.
Wajah sebenar Najib
Sebuah   gerakan yang aman, ditunjangi oleh pemimpin masyarakat madani menjadi   mangsa serangan pemerintah dengan ribuan orang ditangkap hanya kerana   memakai baju berwarna kuning atau berjalan secara berkumpulan.Wajah   sebenar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terdedah apabila beliau   sendiri mengikut rentak PERKASA, mengeluarkan kenyataan berbaur   perkauman terhadap Ambiga.
Media arus perdana dan  khutbah  Jumaat di masjid dipergunakan untuk melabelkan BERSIH  sebagai  kumpulan  pelampau, berfahaman komunis dan mahu menggulingkan kerajaan  menerusi  kekerasan.
Apabila Yang di-Pertuan Agong  memberi petunjuk jelas  supaya kerajaan dan BERSIH berdialog,  Najib  bertindak dengan  menegaskan BERSIH adalah sebuah pertubuhan yang  diharamkan oleh  Kementerian Dalam Negeri .Justeru, Najib mendakwa BERSIH tidak layak memohon permit untuk menganjurkan perhimpunan itu di stadium. 
BERSIH 2.0 menunjukkan  Najib dan Umno pimpinannya sebagai orang yang tidak teragak-agak membelakangi institusi Raja.  
Negara diktator
Najib   bukan sahaja bersifat rasis tetapi juga  tidak langsung melihat   keperluan merombak proses pilihan raya negara ini yang banyak   menguntungkan pemerintah selama ini.
Perdana Menteri  dan  sepupunya Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein juga mempamerkan   kesanggupan luar biasa menggunakan polis untuk menangkap orang awam di   atas sebab-sebab dangkal yang mirip sebuah negara diktaktor.Walaupun   mencanang dirinya  sebagai adil dan berjiwa rakyat, BERSIH membuktikan   Najib tidak akan teragak-agak menggunakan kuasa eksekutifnya  untuk   menumpaskan sesiapa  yang dianggap sebagai musuh politik Umno.
Dalam   konteks Himpunan BERSIH, beliau melihat tokoh-tokoh seperti   Sasterawan  Negara Datuk A Samad Said, Ambiga dan Presiden Jamah Islah  Malaysia  Zaid Kamaruddin sebagai musuh politiknya.
Semua  mereka  adalah aktivis berhemah tinggi, mempunyai kewibawaan  dan  keikhlasan  mendokong agenda murni iaitu berjuang untuk proses  pilihanraya yang  lebih baik.
Kenapa agenda begitu digeruni oleh Umno dan Najib?Inilah   persoalan yang berlegar di minda rakyat sebelum dan pada 9 Julai , dan   terus akan berlegar  pada hari-hari menjelang pilihan raya umum ke 13.
Kebingkasan   kerajaan mengeluarkan segala senjata yang ada padanya (media, khutbah   jumaat, polis, mahkamah, pendaftar pertubuhan,) untuk menumpaskan  BERSIH  2.0 menimbulkan banyak tanda tanya mengenai kepemimpinan Najib,   khususnya bersabit  keikhlasan beliau.
Kesetiaan kepada Raja?
Episod   BERSIH telah menawarkan Najib ruang yang cukup luas untuk mendokong   sebuah agenda rakyat yang mustahak dan pada masa sama menzahirkan   kesetiaan beliau kepada Istana Negara.Namun   semua ini ditempelak oleh Perdana Menteri dalam keghairahan untuk   memastikan kelangsungan penguasaan penuh kerajaan ke atas insitutusi   seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, polis dan badan kehakiman kekal   berterusan.
Perhimpunan aman BERSIH  2.0 bagaimanapun  memberi  semangat bahawa kuasa rakyat masih membara di Malaysia dan  tidak mudah  dipadamkan oleh pemerintahan kuku besi.
Seperti mana kata Ambiga “kebenaran akan sentiasa mengatasi kekejaman.” 
ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang Malaysiakini.
Wira            Arjuna adalah nama samaran seorang wartawan dan editor kanan     yang  berpengalaman      luas  dan pernah menerajui beberapa media  arus     perdana sebelum   bersara     menjadi pemerhati politik.
Malayskaini/-
