
17 Syaaban 1432H. [MOD] -
KUALA  LUMPUR: Seramai 365 rakyat Malaysia penganut Katolik menulis surat  kepada Ketua Gereja Katolik, Pope Benedict XVI menyatakan kegusaran  mereka terhadap lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke  Vatican semalam. 
Surat itu disampaikan kepada wakil Pope Benedict di Singapura, delegasi Apostolik His Grace Archbishop Leopoldo Girelli.
Najib bertemu Pope Benedict XVI di Rom semalam bagi meningkatkan hubungan diplomatik dan kerjasama dengan Wisma Putra. 
Perkara itu didedahkan oleh penulis, Anil Netto dalam laman web Aliran.com semalam.
Ia  menyampaikan rasa hati penganut Katolik yang risau kemungkinan kerajaan  dan pemimpin asing terpengaruh dengan Najib yang ghairah menyebarkan  mesej kesederhanaan di luar negara sedangkan kerajaan Najib sendiri  berulang kali menggunakan kekerasan terhadap rakyat dalam negaranya.
Antara  lain mereka menyebut tentang keganasan Najib menangani himpunan aman  Bersih, manipulasi sentimen etnik dan keagamaan yang diamalkan Najib  untuk kekal berkuasa, dan kekangan terhadap kebebasan beragama di  Malaysia.
Mereka  juga risau Najib akan menggunakan lawatan tersebut untuk meraih undi  dan mengekalkan popularitinya di kalangan penganut Kristian di Sabah  Sarawak.
“Kami  risau jika terdapat agenda politik tersembunyi untuk memenangi sokongan  pengundi Kristian di Sabah dan Sarawak bersempena lawatan Najib ke  Vatican ini.
“Akhir  sekali, kami juga risau Najib cuba untuk mendekati Holy See pada masa  ini untuk mendapatkan sokongan popular dalam pilihan raya umum akan  datang yang bakal berlangsung menjelang awal 2013,” tulis mereka dalam  surat itu yang dipetik Keadilan Daily.
Justeru, mereka meminta Pope Benedict agar berwaspada dalam berurusan dengan kerajaan pimpinan Najib
“Kami  berdoa agar Holy See akan mempertimbangkan isu-isu yang kami nyatakan  ini dan mendapat petunjuk dari Roh Kudus dalam berurusan dengan kerajaan  Malaysia,” kata mereka.
Akhbar  arus perdana hari ini menyiarkan berita hubungan diplomatik yang baru  termeterai di antara Vatican dan kerajaan Malaysia selepas Najib bertemu  Pope Benedict XVI di istana musim panasnya di Castel Gandolfo.
Lawatan  itu dibuat Najib selepas beberapa minggu sebelumnya membuat kenyataan  terbuka kononnya himpunan aman Bersih yang berlangsung 9 Julai lalu  didalangi dan dibiayai gerakan Kristian luar negara.
tv selangor/-
