
25 Syaaban 1432H. [MOD] -
Penderitaan  wanita berusia 28 tahun yang dipaksa membuat ketuk ketampi dalam  keadaan berbogel sambil dirakamkan oleh pihak polis di balai Petaling  Jaya berakhir hari ini apabila mereka yang bertanggungjawab dan kerajaan  bersetuju membayar pampasan.
Penyelesaian  kes itu dicatatkan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk  Lau Bee Lan. Bagaimanapun jumlah pampasan yang dibayar itu tidak  didedahkan.
Hemy  Hamisa Abu Hasan Saari, yang sudah mendirikan rumah tangga dan  mempunyai tiga orang anak juga tidak hadir di mahkamah hari ini.
Beliau diwakili oleh peguam Datuk Baljit Singh Sidhu dan Hazizah Kasim manakala kerajaan diwakili oleh Nor Mastura Ayob.
Mimpi  ngerinya bermula enam tahun lalu apabila video yang dirakamkan  diedarkan sehingga sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja terpaksa  ditubuhkan dan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Dzaiddin  Abdullah.
Ketika  memfailkan saman ke atas kerajaan pada 2005, Hemy menuntut pampasan  sebanyak RM10 juta dan berkata apa yang berlaku “adalah tidak adil”  kepada dirinya kerana dimalu sedemikian di khalayak umum oleh tindakan  polis berkenaan.
Pada  Januari 2006, kerajaan meluluskan peraturan melarang tahanan yang  bogelkan membuat ketuk ketampi dan mencangkung selepas panel inkuiri  mendapati tindakan itu bukan sahaja menghina tetapi mencabuli hak asasi  manusia serta tidak dapat diterima mengikut Islam.
Bagaimanapun  sehingga hari, pihak berkuasa masih meneruskan amalan ketuk ketampi  sambil berbogel bagi mencari dadah atau barangan lain yang disembunyikan  di bahagian tertentu tubuh seseorang.
malaysiakini/-
