|    KUALA LUMPUR, 18 Julai: Lebih 2,000 orang terdiri  daripada ahli keluarga, rakyat dan pemimpin parti politik menghadiri  pengebumian ahli Parlimen Titiwangsa, Allahyarhamah Dr. Lo' Lo' Mohd  Ghazali di Tanah Perkuburan Islam Kampung Datuk Keramat pagi tadi.
  Suasana  sedih dan suram menyelubungi majlis pengebumian bermula jenazah dibawa  ke Masjid Al-Akram, Datuk Keramat tengah malam tadi.
 
  Jenazah  disolatkan di masjid tersebut jam 10.20 pagi tadi dengan dipimpin  Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum dibawa ke  tanah perkuburan, diiringi ribuan yang hadir untuk memberikan  penghormatan terakhir.
  Rata-rata mereka yang hadir tidak dapat menahan sebak setelah jenazah selamat dikebumikan jam 11.10 pagi.
  Sejak  tengah malam tadi, orang ramai tidak putus-putus mengunjugi jenazah  allahyarhamah yang disifatkan sebagai seorang yang sangat berdedikasi  dalam menjalankan amanah sebagai wakil rakyat.
  Anggota Unit Amal  juga mula menjaga lalu lintas dan kawasan sekitar sejak tengah malam  tadi bagi mengelakkan kesesakan di kawasan sekitar.
  Anggota  keluarga termasuk suami, Dr Aminuddin Abdul Hamid Karim dan anak-anak  allahyarahamahberada di samping jenazah sehingga selesai dikebumikan.
  Walaupun kelihatan sedih, mereka melayani pertanyaan pemberita dengan baik.
 
  Dr.  Aminuddin dengan tenang berkata, beliau redha dengan pemergian  Allahyarhamah dan kagum dengan kegigihan isterinya itu menjalankan  amanah walaupun terlantar di atas katil ketika sakit.
  "Allahyarharmah  berpesan kepada petugas-petugas pejabat khidmat masyarakat Parlimen  Titiwangsa agar terus menjalankan tugas melibatkan kepntingan penduduk.
  "Sehingga  ke saat-saat akhir, beliau sering bertanya mengenai kawasan terutamanya  isu Kampung baru yang diperjuangkan beliau," katanya.
  Selain  pimpinan utama PAS, turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah  Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR, Datin Seri  Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng  Giaw, Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah dan lain-lain.
  Allahyarhamah meninggal dunia di Hopital Selayang jam 10.15 malam tadi setelah beberapa tahun mengidap barah paru-paru.  |