15 Muharram  1433H. [MOD] -
     
                      
KUALA  LUMPUR, 10 Dis –  Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini  menyelar  penggunaan istilah jihad oleh Umno, dalam perhimpunan agungnya  minggu  lalu, bagi mengajak lebih tiga juta ahlinya menghadapi pilihan  raya  umum ke-13.
 Menurut Nik Aziz (gambar),  istilah jihad itu berasal daripada al-Quran dan hanya sesuai digunakan  untuk tujuan menegakkan Islam.
 Justeru,  beliau mempersoal jihad yang dimaksudkan Umno sedangkan parti itu  terpalit dengan salah guna kuasa dan rasuah.
 “Jihad ini istilah al-Quran. Kerana apa mereka curi perkataan  jihad dan tafsir mengikut kefahaman sendiri?
 “Mereka sifatkan jihad untuk mempertahankan orang Melayu.  Islam bukan  untuk orang Melayu, bukan untuk Arab, bukan untuk Cina tapi  untuk  manusia,” katanya dipetik Harakahdaily.
 Ketika berucap merasmikan secara serentak  Persidangan Tahunan Puteri,  Pemuda dan Wanita Umno minggu lalu,  Timbalan Presidennya Tan Sri  Muhyiddin Yassin menggesa ahli-ahli Umno  berjihad untuk mempertahankan  kuasa orang Melayu dengan mengekalkan  kemenangan dalam pilihan raya umum  ke-13 yang menurunya merupakan “ibu  segala pilihan raya.”
 Susulan  tsunami politik tiga tahun lalu, Muhyididn menegaskan,  pilihan raya  umum ke-13 akan menentukan jatuh bangun umat Melayu dan  kelangsungan  mereka.
 “Sesungguhnya, kita sedang  berada dalam satu situasi yang amat  kritikal. Pilihan raya umum ke-13  adalah ibu segala pilihan raya yang  akan menentukan jatuh bangun umat  Melayu. Apakah kuasa politik kekal  berada di tangan kita? Atau akan  terlepas ke tangan orang lain?” kata  beliau.
 Malah dalam ucapannya, sambil menyifatkan PAS berhadapan  dengan  pilihan raya “setiap hari”, Nik Aziz ibaratkan Umno sebagai bas  ekspres  yang singgah di tengah jalan untuk makan buah-buahan tetapi  tidak sampai  ke destinasi disasarkan.
 “Umno atau golongan sekular kalau kita andaikan, seperti bas  ekspres  dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Tapi berhenti di Gua Musang,  terliur  tengok buah-buahan banyak, maka berhenti di situ sahaja, tak  sampai ke  Kuala Lumpur,” kata beliau menyampaikan ucaptama pada Ijtimak  Tarbawi  Pilihan Raya di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad dekat  sini,  hari ini.
 “Samalah dengan  Umno, nak ke syurga tapi tersekat separuh jalan  kerana terpedaya dengan  segala pembangunan dan kekayaan di dunia,” kata  beliau yang juga  Menteri Besar Kelantan.
 Sehubungan  itu, Nik Aziz mengingatkan ahli agar memanfaatkan sistem  pilihan raya  yang ada untuk memenangkan PAS agar dapat berjihad  menegakkan Islam.
  Ini kerana menurut Nik Aziz, tanpa  kuasa amat sukar untuk PAS  membanteras segala kemungkaran di muka bumi,  khususnya yang dilakukan  orang Islam sendiri.
 “Tanpa kuasa, kita boleh menyatakan  haramnya judi, arak, hiburan  melampau batas dan sebagainya, namun ia  hanya akan terbatas di mimbar  masjid dan helaian kitab sahaja tanpa  ditegakkan dalan sistem  pemerintahan,” katanya lagi.
 Nik Aziz juga berkata perjuangan PAS bukan  semata-mata menentang Umno  BN, tetapi yang lebih utama menentang ajaran  sekular yang didukung  parti itu.
 Katanya,  akibat memperjuangkan sekular, orang Umno tidak diingatkan  mengenai  kewajipan melawan hawa nafsu dan menolak pujuk rayu syaitan.
 “Perjuangan PAS bukan perjuangan menentang  Umno semata-mata tapi yang lebih besar mengajar manusia mengikat hawa  nafsu.
 “Pilihan raya bukan hanya  lima tahun sekali, tapi orang Islam melakukan pilihan raya setiap hari,  sepanjang masa.
 
“Umno tidak pernah didengarkan oleh  pemimpin mereka untuk menjauhkan diri dari syaitan,” kata beliau lagi.
themalaysianinsider/-