
26 Rejab 1433H. [MOD] -
Sebagai
 manusia kita seharusnya bersyukur kerana Allah telah menciptakan kita 
sebagai sebaik-baik makhluk dan ciptaan. Manusia diciptakan berakal, 
berperasaan dan mempunyai fitrah semulajadi yang tidak semua dikurniakan
 kepada makhluk-makhluk Allah yang lain. Seperti firman Allah yang 
bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia dalam bentuk yang
 sebaik-baiknya.” (Surah at-Tin: Ayat 4).
 
Justeru,
 kita seharusnya merafakkan tanda syukur kita kepada Tuhan dengan cara 
menjadikan diri kita sesempurna insan. Dalam erti kata lain, mencontohi 
nabi kita Muhammad SAW yang mana baginda merupakan uswatun hasanatun 
atau contoh ikutan terbaik untuk umat manusia sepanjang zaman.
 
Hal
 ini kerana peribadi dan akhlak baginda Rasulullah begitu mulia dan 
terpuji semulia nama baginda. Baginda telah menunjukkan sifat dan 
peribadi yang begitu agung, di mana sekali pun baginda SAW tidak 
menzahirkan kemarahan atau kebencian bila mana baginda dihina, dicaci, 
dicerca dengan begitu hebat sekali semasa zaman baginda, bahkan segala 
keburukan yang dilemparkan ke atas baginda dibalas dengan baik, sabar, 
malah mendoakan kebaikan kepada musuh-musuh baginda.
 
Lantaran
 itu, asbab kemuliaan sifat yang diperlihatkan Nabi Muhammad itulah yang
 telah menyedari seterusnya mengubah persepsi musuh-musuh baginda dan 
secara tidak langsung menyebabkan keislaman majoriti daripada mereka. 
Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa hebatnya peribadi dan 
akhlak nabi tercinta kita, Muhammad SAW. Di mana kan kita cari ganti 
serupa dengan baginda bukan?
 
Namun
 demikian, hidup di dunia akhir zaman ini begitu banyak ranjaunya. 
Antara manusia masing-masing berlumba-lumba mengejar kenikmatan hidup 
dan habuan duniawi. Sehingga kadang-kadaang terlupa bahawa segala 
kesenangan di dunia hanya bersifat sementara dan segalanya akan 
dipulangkan kembali kepada pemilik asal yang hakiki iaitu Allah SWT.
 
Dengan
 keadaan sedimikian, tidak hairanlah jika ramai manusia yang saling 
berdengkian antara satu sama lain. Hanya kerana tidak sanggup jika 
nikmat yang dimiliki orang lain melebihi diri sendiri, kehendak nafsu 
diturutkan. Misalnya, peniaga yang dengki dengan kejayaan yang diperoleh
 pesaingnya sanggup mengenakan sihir semata-mata untuk menghilangkan 
nikmat yang dikecap oleh orang lain, di samping ingin menjadi masyhur 
dan cepat kaya tanpa ada tandingan.
 
Hal
 ini jelas terbukti apabila media massa saban hari melaporkan kes-kes 
jenayah yang berlaku bahana daripada perbuatan dengki khianat. 
Masyarakat juga sering didedahkan dengan amalan-amalan khurafat seperti 
sihir, ilmu hitam dan magis yang mana digunakan oleh dukun, 
pawangmahupun bomoh seperti yang dipertontonkan melalui kebanyakan 
rancangan televisyen terutama filem dan drama Melayu.
 
Ekoran
 dengan itu, perbuatan itu secara tidak langsung menggalakkan masyarakat
 untuk mencuba sesuatu yang boleh dianggap luar biasa bagi mereka. Apa 
tidaknya, jika sering didedahkan dengan informasi negatif, tidak 
mustahil jika inkuiri seseorangyang pada mulanya hanya tertarik dan 
kagum bertukar menjadi kehendak untuk mencuba, lalu membenamkan 
kewarasan akal serta iman di dada.
 
Fitrah
 manusia adalah cintakan dan suka melakukan kebaikan. Walau 
bagaimanapun, disebabkan iman yang tipis mereka tewas dan cenderung 
untuk melakukan kejahatan dan keburukan. Hanya kerana? terpedaya dengan 
hawa nafsu dan hasutan syaitan. Oleh itu tidak hairanlah jika dikatakan 
orang yang jahat sekalipun masih inginkan layanan yang baik diberikan 
kepada mereka.
 
Dan
 kerana itu jugalah wujudnya manusia yang tidak beriman kepada Allah 
tetapi masih membuat kebaikan. Hal ini disebabkan seseorang itu 
berfitrah dengan fitrah hasanah atau kebaikan. Banyak contoh yang dapat 
kita lihat, antaranya melihat kepada negara yang mendapat jolokan negara
 paling bersih iaitu Switzerland.
 
Sebagaimana
 yang kita maklum bahawa Switzerland bukanlah sebuah negara Islam, namun
 mengamalkan aspek kehidupan yang amat dituntut dalam Islam iaitu 
bersih. Malah Islam itu sendiri adalah agama yang suci dan bersih. 
Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Menjadi bersihlah kamu, 
kerana sesungguhnya Islam itu bersih.” (Hadis Riwayat: Ibnu Hibban).
 
Manakala
 sabda baginda lagi yang bermaksud: “Kebersihan itu dapat mengajak orang
 kepada iman. Sedang iman itu akan bersama pemiliknya ke syurga.” (Hadis
 Riwayat: Thabrani). Hadis ini menunjukkan betapa pentingnya kebersihan 
dan Islam itu agama yang mengajak kepada kebersihan.
 
Namun
 demikian jika dilihat dari sudut yang berbeza, manusia juga cenderung 
untuk melihat keburukan orang mengatasi kebaikan yang dilakukan. Jika 
dilihat dan dinilai pada keburukan dan kesilapan, semua orang tidak 
terlepas dari melakukannya. Sedangkan para nabi juga melakukan 
kesilapan, apatah lagi kita sebagai manusia biasa yang lebih banyak 
terdedah pada dosa.
 
Sekiranya
 penilaian manusia terhadap manusia yang lain berdasarkan kesalahan yang
 dilakukan, apa akan berlaku jika seseorang pendakwah turut melakukan 
perkara yang sama. Benar, semua orang tidak terlepas dari melakukan 
dosa. Namun, jika manusia menghukum sedemikian terhadap perdakwah 
misalnya, sudah semestinya sebagai manusiabiasa yang lemah, berat untuk 
mengikut apa yang disampaikan oleh mereka. Kerana hati kecil pasti 
berkata, tiada guna mengikut orang yang mengajak kebaikan sedangkan diri
 sendiri juga tidak sempurna, turut melakukan dosa seperti orang lain.
 
Kerana
 itulah perlunya kita meneliti apa yang dimaksudkan dengan kata-kata 
Saidina Ali r.a iaitu “Janganlah melihat kepada siapa yang berkata, 
lihatlah kepada apa yang dikatakan.” Di samping itu, perlulah juga kita 
ketahui bahawa dua perkara yang perlu kita ingat iaitu keburukan kita 
terhadap orang lain, dan kebaikan orang terhadap kita. Begitu juga dua 
perkara yang perlu kita lupakan iaitu kebaikan kita terhadap orang dan 
keburukan orang tehadap kita.
 
Dengan
 itu, secara tidak langsung kita dapat perbaiki diri kita menjadi insan 
yang lebih baik. Justeru,jadilah orang yang beruntung di mana hari ini 
lebih baik darisemalam. Hal ini selari dengan maksud hadis Rasulullah 
iaitu “Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini 
lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari 
ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah 
orang yang hari ini sama dengan hari semalam.” (Hadis Riwayat: Bukhari 
dan Muslim)
 
Lantaran
 itu, janganlah sentiasa melihat keburukan yang ada pada orang lain, 
sebaliknya selalu bermuhasabah dan melihat pada diri sendiri. Banyak 
mana dosa dan kebaikan yang diperbuat saban hari. Lihat kembali ke dalam
 diri, apa yang masih kurang. Kebaikan apa yang masih belum mencukupi. 
Tambah nilai segala kekurangan diri dan dosa-dosa yang pernah dilakukan 
dengan cara selalu mengingati mati, di samping dapat meningkatkan iman 
dan menggalakkan melakukan kebaikan.
 
Tambahan
 pula, tiada kebaikan yang diperoleh jika masa yang dihabiskan hanya 
dengan melihat keburukan dan aib orang lain tanpa berbalik kepada diri 
sendiri. Bahkan mendapat kemurkaan Allah dan juga menutup ruang untuk 
perbaiki diri sendiri.
 
Hal
 ini turut disebut dalam firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang
 yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak 
menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari 
sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari 
kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama 
lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang 
telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah 
larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; 
sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Surah 
al-Hujurat: Ayat 12).
 
Justeru
 marilah sama-sama kita bermuhasabah dengan merenung jauh-jauh ke dalam 
diri. Tambahkan amal jika berasakan masih kekurangan amal untuk 
dijadikan bekalan dikemudian hari. Juga berfikirlah sambil menghisab 
diri sendiri, kerana sesungguhnya berfikir sejenak itu lebih baik 
daripada beramal sepanjang malam.
 
Tuntasnya,
 sebagai hamba Allah yang bertaqwa, kita seharusnya sering bersangka 
baik terhadapNya walau apa pun ujian yang datang melanda. Kerana Allah 
adalah menurut sangkaan hambaNya terhadapNya.
 
Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia.
