16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
Ada beberapa hal penting yang perlu  difikirkan oleh PAS selepas meneliti keputusan pilihan raya negeri  Sarawak minggu lalu. Bukan semata-mata kerana kekalahan semua calonnya  di sana, tetapi lebih kepada memikirkan bagaimana PAS membuat persediaan  secukupnya untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti.
Yang penting difikirkan ialah:
1. Mempelajari sungguh-sungguh  keputusan pilihan raya Sarawak itu dan siri kekalahannya dalam pilihan  raya kecil yang lain sebelum ini. Apakah aktibar yang dapat diambil dari  kekalahan berterusan itu?
2. Bagaimana dengan keupayaan  penerangan PAS untuk menghadapi PRU Ke13 nanti. Ini kerana penerangan  ialah urat nadi untuk mencapai kemenangan.
3. Bagaimana strategi PAS  selepas ini - dengan mempelajari senario pilihan raya di Sarawak minggu  lalu – di mana PAS bertanding tanpa strategi dan terlambat pula datang  ke negeri tersebut untuk membuat persiapan.
Tentu saja kita telah mendengar  dan membaca pelbagai ulasan mengenai keputusan pilihan raya tersebut dan  mengetahui sebab-sebab PAS kalah di sana. Bahkah PAS juga sudah  mengetahui benar faktor kekalahannya dalam siri pilihan raya kecil  sebelum ini.
Oleh itu PAS wajar secara  sungguh-sungguh dan terbuka  memikirkan mengenai kekalahan tersebut,  justeru kalah menang adalah gerak nafas PAS untuk masa depan. Oleh itu  ia hendaklah berusaha sungguh-sungguh memperbaiki kelemahannya?
Dalam pengalaman di Sarawak, PAS  - khususnya pemimpin – lambat datang untuk mengatur kempen dan  segalanya. Sementara PAS bertanding pula tanpa strategi, bekerja secara  ad-hoc dan tidak terancang, sedangkan DAP jauh lebih lama membuat  persediaan dan strategi, demikian juga PKR.
Memikirkan semuanya ini  bagaimana kiranya tanpa strategi dan persiapan secukupnya kita dengan  tiba-tiba dihadapkan dengan PRU Ke-13. Jika ini berlaku sudah tentu PAS  menghadapi masalah yang sangat besar.
Dalam hal ini PAS mestilah  dilihat sentiasa berpadu erat dalam Pakatan Rakyat justru gabungan ini  sedang dilihat oleh rakyat sama ada mampu atau tidak mampu menjadi  alternatif kepada BN di masa depan.
Kempen PAS yang nyaring ‘PAS  ganti Umno’ mestilah diisi maknanya sebagai gagasan yang mampu  direalisasikan. Dalam ini PAS mestilah berwatak nasional, melampaui  batas kaum dan dilihat sentiasa peka dengan masalah rakyat. Ia mestilah  menjadi badan politik moden, yang melaksanakan kepentingan masyarakat  tetapi dalam masa yang sama juga bergerak di bidang dakwah.
Janganlah ada sebarang  tanggapan, yang bersifat ‘memujuk hati’, bahawa jika PAS kalahpun, namun  kita menang dalam berdakwah iaitu berjaya menyampaikan risalah Islam.  PAS perlukan kemenangan kedua-duanya sekali, iaitu menang dalam pilihan  raya dan berjaya dalam dakwah. Ini penting.
Kemenangan politik boleh  menghantar PAS kepada kuasa dan dengan kuasa akan membuka peluang PAS  seluas-luasnya untuk berdakwah dan menjalankan tuntutan Islam tanpa  sebarang gangguan. Ini sewajarnya difahami benar-benar oleh pendukung  PAS akan maksud politik dakwah, iaitu mengaplikasikan tuntutan syarak  bersama tuntutan masyarakat. Semuanya ini seiring dengan kehendak  demokrasi dan tidak bercanggah dengan Islam.
Inilah keperluan yang dinamakan siasah syariah dan dengan pemahaman inilah sewajarnya kita berada dalam Pakatan Rakyat.
Dalam suasana dan keadaan  masyarakat majmuk di Malaysia, tidak memungkinkan PAS bersendirian  menghadapi pilihan raya. Maknanya dengan kekuatan tiga parti dalam  Pakatan Rakyat inilah kita mampu menghadapi Barisan Nasional dan jika  berjaya boleh memerintah. 
Kemengan DAP dan PKR mestilah  dirasakan oleh PAS sebagai kemenangan bersama, demikian juga kemenangan  PAS dirasakan kemenangan bersama oleh PKR dan DAP.
 Kemenangan DAP dan PKR di  Sarawak  minggu lalu mestilah juga dirasakan seabagi kemenangan bersama  Pakatan Rakyat. Semangat setiakawan dan perpaduan dalam Pakatan Rakyat  ini mestilah diperlihat dan direalisasikan dalam semua gerak kerja  Pakatan Rakyat untuk menghadapi PRU Ke13 nanti.
Sementara itu media baru, malah  yang terbaru – twitter dan facebook akan mengambil peranan center stage –  peranan utama – dalam PRU Ke-13 akan datang. Dulu melalui internet,  kita hanya menerima maklumat melalui blog dan wabe-site selain sms,  tetapi kini dunia maklumat ditambah lagi dengan laman sosial yang baru   twitter dan facebook, meninggalkan jauh maklumat dari media cetak dan  tv.
Ini semua akan tambah rancak  dalam menyambut kedatangan PRU Ke-13 nanti. Pengalaman dalam pilihan  raya di Sarawak baru-baru membuktikan pengaruh twitter dan facebook,  yang sangat kuat dalam mengalirkan maklumat segera dan terus menerus  kepada pengundi di kawasan yang ada akses internet. Malah maklumat ini  berkembang dalam masyarakat.
Justeru, PAS mestilah memikirkan  persoalan ini dan bagaimana memanfaatkan secara maksima lama sosial  yang baru ini. Semuanya ini adalah antara cabaran yang dihadapi oleh PAS  untuk menghadapi PRU ke-13.
Sekali lagi ditegaskan, PAS  mestilah membuat persiapan dari sekarang walaupun ada pihak yang  mengatakan BN tidak mungkin akan mengadakan pilihan raya umum segera  berdasarkan keputusan di Sarawak itu di mana undi popular BN merosot  lapan peratus.
Sudah pastilah bahawa BN sedang  merancang dan akan melakukan pelbagai cara untuk menang dalam PRU ke-13  nanti, di mana ahli-ahli Pakatan Rakyat sangat mengetahui hal ini. Dari  itu jangan ada sebarang kelalaian dan jangan juga merasa ‘sedap hati’  kerana kononnya PRU Ke-13 lambat lagi maka bolehlah membuat persiapan  secara perlahan.
Untuk menghadapi PRU Ke-13 ini,  PAS mestilah dilihat berada di dalam keadaan yang kuat dan terkini dalam  Pakatan Rakyat, bersedia menangkis tuduhan berterusan dari komponan BN  kononnya PAS menjadi alat DAP dan begitu sebaliknya.
Isu perkauman pula tentunya akan  berlanjutan dimainkan menjelang PRU Ke-13. Justeru PAS yang sudah dapat  diterima oleh pelbagai kaum dan agama sewajarnya mengambil peranan  penting menyerlahkan sebagai parti Islam yang sederhana, sangat  seimbang, memancarkan keadilan, kesaksamaan dalam jalur demokrasi di  mana dalam semua keadaan ia tidak berkompromi dengan prinsip Islam yang  menjadi dasarnya. 
H/daily