
24 Syawal 1432H. [MOD] -
KUALA  LUMPUR, 22 Sept: Suara Solidariti Anak Bangsa Malaysia hari ini membuat  laporan polis terhadap Majlis Pofesor Negara (MPN) berhubung kenyataan  bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah.
Laporan  polis yang dibuat di Balai Polis Chow Kit itu khusus terhadap Pengerusi  MPN, Prof Emeritus Datuk Dr Zakri Abdul Hamid dan Ketua Kluster  Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya MPN, Prof. Datuk Dr Zainal Kling,  menuntut mereka disiasat dan didakwa di mahkamah kerana melakukan suatu  kesalahan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan.
Kenyataan  itu disifatkan sebagai sengaja menimbulkan kekeliruan dan mengganggu  ketenteraman awam yang boleh mendorong mana-mana pihak melakukan suatu  yang melanggar undang-undang.
Bercakap  pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut sebelum laporan  polis itu dibuat, salah seorang wakil solidariti, Aiman Athrah Al Jundi  berkata, pihaknya yakin kenyataan tersebut mempunyai agenda tersendiri  untuk kepentingan politik pihak tertentu.
"Kami  khuatir para akademik ditekan dan digunakan oleh pihak politik tertentu  untuk "mengubah" fakta sejarah demi menyokong pendirian politik mereka  dan amat malang kenyatan ini dibuat oleh sebuah institusi akademik yang  diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi," kata beliau yang  juga Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat.
Kerajaan perlu nyata pendirian
Sementara  itu, kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak didesak segera  menyatakan pendirian terhadap kenyataan tersebut yang dianggap suatu  penipuan kepada rakyat yang diajar sejak di sekolah menengah diajar  bahawa British ialah penjajah dan Malaysia mendapatkan kemeredekaan  daripada kuasa itu pada 31 Ogos 1957.
"Tiadanya  pendirian yang jelas di pihak kerajaan berkenaan perkara ini akan  memburukkan lagi keadaan dan dikhuatiri akan menimbulkan keadaan  huru-hara dalam masyarakat jika tidak dibendung awal," katanya.
Sementara  itu, seorang lagi wakil, Rozan Azen Mat Rasip yang juga Timbalan Ketua  Penerangan AMK berkata, pihaknya berani tampil membuat laporan polis itu  kerana mempunyai bukti Zainal pernah menulis buku bahawa Tanah Melayu  pernah dijajah.
"Rakyat  perlu bangkit membetulkan fakta yang dikeluarkan oleh Prof Zainal ini  kerana beliau sendiri dalam salah satu  bukunya ada menyebut bahawa  Tanah Melayu pernah dijajah," katanya.
Sivarajan  dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) pula berkata, rakyat berhak membuat  laporan polis kerana ditipu sejak sekian lama oleh ahli akademik.
"Di  peringkat sekolah lagi kita belajar sejarah, Tanah Melayu pernah dijaj  British. Tiba-tiba ahli kademik kata kita tidak pernah dijajah. Jadi  kita ada hak untuk membuat laporan polis kerana ditipu," katanya.
Seorang lagi wakil ialah Wong Swee Mee dari Malaysia Youth Democratic Movement (Dema).
harakahdaily/-
