27 Syawal 1432H. [MOD] -
PETALING
JAYA, 27 Sept: Mahkamah koroner semalam memutuskan bahawa kematian
pegawai kastam Ahmad Sarbaini Mohamad pada 6 April lalu adalah satu
kemalangan.
“Keputusan ini sangat sukar dipercayai, tidak dapat diterima dan tidak konsisten dengan fakta kes.
“Mahkamah
koroner memaksa kita untuk percaya bahawa Sarbaini yang secara sukarela
datang ke pejabat SPRM di Cheras, kemudiannya mahu melarikan diri
dengan merangkak keluar dari tingkap di aras tiga,” kata Naib Presiden
PKR, N Surendran dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Katanya,
tiada penjelasan diberikan tentang bagaimana dan mengapa rakaman CCTV
selama 22 jam dipadam, yang mana ianya memaparkan detik-detik di mana
Sarbaini menemui ajalnya.
Beliau berkata, paling membimbangkan adalah tindakan SPRM sepanjang kes Sarbaini.
Menurutnya
lagi, sebagai institusi awam utama yang dibiaya sepenuhnya dengan wang
rakyat, keutamaan SPRM seharusnya adalah untuk mendapatkan kebenaran
perkara tersebut, menghukum mereka yang bertanggungjawab dan
melaksanakan reformasi untuk mengembalikan keyakinan rakyat.
Sebaliknya,
kata beliau SPRM bertindak seperti individu yang terdesak untuk
membersihkan namanya walau dengan cara apa sekalipun.
Baginya,
SPRM bertindak sehingga ke tahap mengupah peguam Umno iaitu Shafee
Abdullah untuk 'mempertahan' mereka sepanjang inkues.
“Perlu
diperhatikan bahawa SPRM berkelakuan dengan cara yang sama semasa
penyiasatan dan siasatan kematian Teoh Beng Hock, yang juga meninggal
dunia semasa siasatan SPRM pada 16 Julai 2009,” ujarnya yang juga
seorang peguam.
Dalam
kedua-dua contoh, ujarnya SPRM bertindak menyerang reputasi
mangsa-mangsa yang meninggal dunia secara terbuka sepanjang inkues
dijalankan.
Surendran
berkata, Sarbaini turut didakwa sebagai menerima rasuah meskipun beliau
sudah tidak boleh menjawab mahupun mempertahankan dirinya terhadap
dakwaan tersebut.
“Ini adalah memalukan dan tidak penting bagi pihak inkues tentang bagaimana beliau meninggal dunia.
“Asas
kepada sistem perundangan kita adalah bahawa perbicaraan di mahkamah
tidak seharusnya digunakan untuk memburukkan pihak yang telah tiada,”
katanya lagi.
Katanya, keyakinan rakyat terhadap SPRM adalah di tahap paling rendah susulan kematian misteri dua individu itu.
Tambahnya,
kedua-duanya merupakan bapa yang meninggalkan keluarga yang selamanya
akan menderita atas kehilangan insan yang disayangi yang meninggal dunia
dengan tragis.
Kerajaan,
ujar beliau seharusnya memikul tanggungjawab terhadap kegagalan dalam
memberikan jawapan sebenar kepada pihak keluarga dan rakyat.
Katanya,
keengganan kerajaan yang terus-menerus tidak mahu melaksanakan
reformasi terhadap badan penguatkuasa seperti SPRM dan PDRM adalah punca
sebenar terhadap masalah ini.
“Kami
menyeru Kerajaan untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja
untuk menyiasat punca sebenar di sebalik kematian Ahmad Sarbaini.
“Skop
suruhanjaya ini mestilah termasuk prosedur operasi, pengambilan dan
kaedah latihan SPRM serta membuat syor-syor pembaharuan yang amat
mendesak dalam memastikan reformasi sistem terlaksana,” tegasnya.
HARAKAHDAILY/-