16 Syawal 1432H. [MOD] -
  KUALA LUMPUR, 14 Sept: Tekanan seperti apa yang berlaku pada zaman  pemerintahan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi (Pak Lah) makin  terasa apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mula menyuarakan pendapatnya  agar pilihan raya tidak diadakan dalam masa terdekat.
  Mahathir berpendapat jika pilihanraya diadakan pada secepat yang mungkin  ia tidak akan memberi kemenangan mahupun berpihak kepada Barisan  Nasional (BN) dan Datuk Seri Najib Razak perlu mengambil tempoh masa  yang panjang bagi meneliti kembali senarai calon-calon yang ingin  bertanding pada pilihanraya nanti.
  Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang berkata pada satu sidang media  di Pejabat Agung PAS di sini, menjelaskan kenyataan yang dikeluarkan  oleh Mahathir itu memberi gambaran yang jelas bahawa wujud permasalahan  sama ada di dalam Umno mahupun BN.
  "Teguran yang disuarakan oleh Mahathir itu jelas menggambarkan  berlakunya permasalahan sama ada di dalam Umno mahupun BN dan saya tidak  menolak beliau mula memainkan peranannya bagi memberi tekanan kepada  Perdana Menteri sekarang, inilah yang berlaku pada pemerintahan Pak Lah  dulu.
  "Tindakan Mahathir yang mahukan BN mengambil masa yang lebih panjang  bagi meneliti kembali senarai calon agar memastikan kemenangan kepada BN  bukan hanya tertumpu kepada senarai nama yang lain malah ia lebih  memfokuskan kepada kedudukan Najib sebagai Pengerusi BN.
  "Mesej yang jelas membuktikan Najib tidak lagi dapat memberi kemenangan kepada BN pada pilihanraya yang akan datang," jelasnya.
  Tambah Mahfuz lagi, Mahathir juga dilihat sebagai "mastermind" dalam  perancangan agar Najib berundur sebelum berlangsungnya pilihanraya umum  nanti.
  Malah tidak mustahil akan ada mereka yang menjadi pengikut telunjuk Maahathir.
  "Mahathir akan cuma memberi tekanan dam memastikan Najib berundur  sebelum pilihanraya nanti dan beliau sendiri dilihat sebagai mastermind  dalam usaha tersebut, saya pasti apabila kenyataan yang disuarakan oleh  beliau itu akan ada mereka yang di dalam Umno mahupun BN menjadi  pengikut telunjuk serta menyokong pendapat yang beliau utarakan itu.
  "Bagi memastikan kemenangan kepada BN, pengerusinya perlu ditukar dan  orang akan melihat siapa ketua sebelum membuat pilihan, inilah yang  dimaksudkan oleh Mahathir," sambung Mahfuz lagi.
  Sebelum ini, Mahathir telah mengeluarkan pendapat beliau pada satu forum  yang diadakan di Putrajaya yang menyatakan pemilihan calon yang boleh  menang dalam pilihan raya akan menimbulkan masalah antara pucuk pimpinan  dan peringkat.
  Calon yang boleh menang dalam pilihan raya bergantung kepada penilaian  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan penasihat dalam menentukan  calon yang akan bertanding.
 
