Kemajuan Untuk Semua Bangsa Tanpa Mengira Warna Kulit atau Bangsa di bawah Agama Islam

Instagram

Instagram

Suara Ketenangan

Revolution Ads

Revolusi



13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Dakwaan dan cubaan untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor adalah cara Umno bagi mengekang lonjakan populariti pemimpin itu yang mutakhir ini begitu memberangsangkan,

Faekah berkata usaha itu bertujuan menjejaskan populariti dan kredibiliti Khalid yang kini mengatasi pimpinan Umno mahupun pemimpin Pakatan Rakyat yang lain.

“Blog (AntaraPos.com) yang diterajui bekas Pengurus Besar CCSB (anak syarikat kerajaan negeri) yang ditamatkan kontrak Jun lalu digunakan untuk melaksanakan perbuatan hina ini.

“Dari maklumat yang kita terima laman web tunggangan Umno ini juga ditubuhkan khas untuk mempertahankan Datuk Seri Najib (Razak) yang kini dikatakan mendapat tentangan terang-terangan dari timbalannya Tan Sri Muhyidin (Yassin),” kata Faekah dalam kenyataannya malam ini.

CCSB adalah syarikat yang mengendalikan TVSelangor dan buletin negeri Selangorkini yang diterbitkan setiap bulan.

Faekah mengulas dakwaan yang dibuat dalam blog itu berhubung beberapa wakil rakyat PKR yang mahu Khalid dipecat.

Faekah bagaimanapun mengakui terdapat sesetengah pemimpin dalam Pakatan yang tidak biasa dengan cara Khalid mentadbir negeri seperti mengurus syarikat korporat.

“Golongan ini sangat kecil jumlahnya namun bersuara agak lantang mungkin kerana kedudukan mereka dalam parti dan mungkin juga di dalam masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, rakyat mahukan pentadbiran yang berlandaskan ketelusan, kebertanggungjawab, bebas rasuah dan adil yang tidak pernah dipraktikkan BN sepanjang memerintah Selangor.

Pemimpin baik

Faekah juga berkata beliau ada mendengar mengenai memorandum yang disebarkan dengan tujuan mengugat kedudukan Khalid.

Katanya, sebagai setiausaha poltik, sudah pasti beliau akan mempertahankan kedudukan menteri besar jika Khalid diserang oleh mana-mana pihak tak kira lawan mahupun kawan.

Beliau juga menyifatkan Khalid sebagai seorang pemimpin yang baik, bersih, telus serta komited terhadap kehendak rakyat.

Menurut Faekah, dakwaan bahawa program yang dilaksanakan kerajaan Selangor sebagai remeh dan hanya untuk populariti Khalid adalah tindakan terdesak.

“Kita telah membelanjakan lebih RM500 juta untuk program Merakyatkan Ekonomi Selangor dan setakat Ogos 2011 seramai 1,181,109 rakyat Selangor telah menikmati hasil program-program yang kita laksanakan.

“Bantuan-bantuan ini diturunkan ke pejabat DUN untuk memastikan wakil rakyat dapat berhubung terus dengan pengundi di kawasan mereka,” katanya.

Justeru, menurut Faekah, wakil rakyat juga meraih populariti dari program kerajaan kecualilah bagi wakil rakyat yang ‘segan’ dan ‘banyak mengelat’ dari turun padang bagi menyelesaikan masalah rakyat.

Selain itu, katanya, dalam tempoh kurang lima tahun, menteri besar telah menambah simpanan rezab kepada RM1.1 bilion malah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang menanggung kerugian sejak ditubuhkan, buat pertama kali dalam sejarah, mencatatkan keuntungan RM11 juta.

“Jika tiada pemimpin yang berpegang kuat pada prinsip, masih mengamalkan gaya politik Umno, amalan kronisme, kerajaan Pakatan Selangor tidak mampu mencapai kejayaan ini,” katanya lagi.

selatan online/-



13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

ASHRAF menunjukkan resit bayaran minuman dan makanan yang didakwa mahal di Bukit Tunku, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang pelanggan di sebuah restoran di Bukit Tunku di sini terkejut apabila dia mendakwa dikenakan bayaran sebanyak RM17.50 untuk segelas teh o ais dan sepinggan nasi berlaukkan ayam goreng, kerabu pucuk paku dan tempe masak sambal.

Menurut pelanggan itu yang cuma ingin dikenali sebagai Ashraf, dia singgah ke restoran tersebut untuk makan tengah hari semalam.

“Saya pertama kali pergi ke kedai makanan itu dan pada saya ia hanya kedai biasa sahaja cuma bahagian dalam mempunyai ruang khusus untuk pendingin hawa.

“Selepas ambil makanan, saya makan di bahagian luar restoran ini. Kemudian semasa saya ingin membayar makanan, saya diberitahu kena bayar RM4 untuk segelas teh o ais dan RM13.50 untuk makanan,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Ashraf yang merupakan seorang eksekutif di sebuah syarikat pengurusan bangunan memberitahu, restoran itu tidak kelihatan seperti sebuah restoran bertaraf lima bintang atau terdapat di hotel.

“Walaupun saya pernah makan di tempat-tempat yang eksklusif dan membayar pada harga yang tinggi untuk perkhidmatan yang disediakan tetapi saya tidak rasa restoran ini bertaraf eksklusif dan pada pandangan saya biasa sahaja dan tiada yang istimewa,” ujarnya.

Harga segelas teh o ais di kebanyakan restoran ialah RM1 hingga RM1.70 manakala sepinggan nasi ayam goreng, kerabu pucuk paku dan tempe masak sambal pula RM5 hingga RM8.

Kosmo/-



8 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang dijangka bermesyuarat Jumaat ini berkemungkinan membincangkan soal penggantungan dua ADUN parti itu selama enam
bulan sebelum ini, menurut sumber dalaman parti.

ADUN Bentayan, Gwee Tiong Hiang (kiri) dan dua anggota bahagian Bakri digantung oleh jawatankuasa disiplin DAP berhubug soal pengurusan dana parti sementara ADUN Kota Alam Shah, M Manoharan berhubung kenyataannya mengenai bendera negara.

Kedua-dua mereka yang dihubunginya Bernama mengesahkan mereka telah membuat rayuan kepada CEC parti itu.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, Datuk Ngeh Koo Ham berkata mesyuarat bulanan CEC akan diadakan Jumaat ini dan oleh kerana kedua-duanya telah merayu terhadap keputusan penggantungan itu, kemungkinan mesyuarat tersebut akan melihat rayuan mereka.

"Jika mereka telah merayu, ia akan dibangkitkan. Ia merupakan proses biasa bagi CEC membincangkannya," katanya.

- Bernama



8 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Khalid berkata DAP lebih liberal dalam isu hudud berbanding dengan Umno. — Foto fail
KUALA LUMPUR, 6 Okt — Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Khalid Samad mendakwa sikap Umno berdolak-dalik dalam isu hukum hudud menunjukkan parti itu menggunakan sentimen agama dan bangsa demi kepentingan dan kelangsungan politiknya.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam turut menyelar parti terbesar orang Melayu itu sebagai pengadu domba antara PAS dan DAP ekoran dakwaan kononnya ada konflik antara parti komponen Pakatan Rakyat itu dalam isu semasa.

“Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah berkata negara kita boleh laksanakan hudud, tapi bila MCA dan Gerakan ugut keluar parti (BN), Perdana Menteri terus tolak hudud,” ujar Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor ini.

“Umno dan DAP ini sama taraf, masing-masing tak faham Hudud, tapi DAP kita boleh terimalah, mereka bukan Islam, masuk akal, tapi Umno ini Melayu Islam, pun tak faham juga,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Rapat Rakyat di Markas PAS Pusat di sini malam tadi.

“DAP walaupun menentang, mereka tidak menghalang, sekadar menolak cadangan PAS kerana tidak mendapat kefahaman yang betul.

“Umno bukan sahaja menentang, malah terus halang Pakatan Rakyat melaksanakan undang-undang Islam itu,” kata Ahli Parlimen Shah Alam ini.

Tambah Khalid, DAP bersikap lebih liberal terhadap hudud walaupun terdapat perbezaan dasar dalam isu itu berbanding Umno yang ternyata terus menutup pintu terhadap penggunaan undang-undang hudud di negara ini.

Pendirian yang sama turut dikeluarkan oleh bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Malah, Nizar turut menolak kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam berkenaan pemansuhan akta-akta keselamatan termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai idea Umno.

“Perdana Menteri sebenarnya lupa Pakatan Rakyat dah buat tuntutan agar memansuhkan akta-akta ini sejak 20, 30 tahun lepas lagi,” katanya.

“Bila mereka dah mansuhkan, kemudian mengaku itu idea mereka,” tambah Nizar sambil menegaskan, kerajaan menggunakan isu itu demi meraih sokongan pengundi pada pilihan raya umum ke-13.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran bekas Raja Dangdut, Iwan Shahman.

malaysian insider/-



8 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Laman Web Apple, Inc hari ini
Pengasas Apple Inc, Steve Jobs, telah meninggal dunia awal pagi tadi.

Lembaga pengarah Apple telah mengeluarkan satu kenyataan yang mengesahkan kematian Steve Jobs.

Mendiang berumur 56 tahun dan telah meletakkan jawatan sebagai ketua eksekutif Apple atas sebab-sebab kesihatan pada bulan Ogos lepas.

metro/-



8 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 6 Okt: Isu cincin bernilai RM77 juta yang diposkan kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansur dan dikatakan telah dipulangkan terus hangat diperkatakan.

Ini kerana, jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz telah mengesahkan cerita kewujudannya dan kini masing-masing tertanya 'apakah benar ia telah dipulangkan'.

Dalam jawapan bertulis kepada Lim Lip Eng (DAP-Segambut), Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Kastam Diraja Malaysia mengesahkan bahawa cincin itu telah dikembalikan beberapa hari kemudian kepada syarikat miliknya.

Kolumnis terkenal Harakahdaily yang juga bekas pemimpin PAS, Haji Subky Latif dalam kolumnya kali ini mengulas panjang mengenai isu ini dari segi lojiknya.

"Menteri Nazri dalam jawapannya kepada soalan mengenainya di Parlimen memberitahu bahawa cincin itu telah dikembalikan kepada syarikat pemunyanya.

"Apabila ia telah dikembalikan kepada sipengirim, bererti pernah dibawa masuk ke negara ini dan dihantar kepada Rosmah di alamatnya.

"Bagaimana ia dibawah masuk telah didedahkan oleh Cikgu Bard. Bagaimana ia dipulangkan tidak pula diketahui," tulis Subky dalam kolumnya di sini.

Penafian

Sebelum ini, apabila ia didedahkan Cikgu Bard (gambar) atau nama penuhnya Badrul Hisham Shahrin, para blogger Umno menghentam balik beliau dan Rosmah pula menafikannya.

Ogos lalu, Perdana Menteri dalam temu bual dengan akhbar Kompas telah menafikan isterinya ada membeli cincin berlian yang nilainya berjuta-juta ringgit.

Akhbar Kompas telah memohon maaf kepada Najib atas laporannya, disiarkan pada 4 Ogos lalu, tetapi misteri kekal mengapa cincin dari Jacob & Co New York dialamatkan kepada Rosmah.

Persoalan timbul sama ada nama Rosmah telah digunakan dengan pengetahuan beliau ataupun sebaliknya oleh elemen-elemen jenayah.

Rosmah dalam satu kenyataan pada akhir Julai lalu telah menyifatkan tuduhan itu sebagai satu fitnah.

Dalam kenyataan pertama sejak isu pembelian cincin muncul, Rosmah menyifatkan dakwaan yang mengaitkannya sebagai satu fitnah dan beliau menegaskan tiada masa mahu melayan perkara itu.

Rosmah berkata, sebagai isteri Perdana Menteri beliau lebih senang memberi tumpuan terhadap perkara lebih berfaedah, terutama dalam hal dan agenda pembangunan rakyat daripada melayan isu tidak relevan.

“Tak ada apa yang saya nak cakap sebab saya tidak ada masa hendak layan perkara seumpama ini. Ikut sedap dia (pemblog) saja hendak cakap (tuduh),” kata beliau.

Gerakan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menolak penafian isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor sebelum ini bahawa beliau bukan pemilik sebentuk cincin berlian RM24 juta yang diimport dari Amerika Syarikat.

Pengerusinya Badrul Hisham Shaharin berkata penafian Rosmah tidak boleh diterima kerana ia tidak menangani isu dokumen-dokumen Kastam bersabit cincin itu yang dikemukakan oleh SAMM kepada Suruhanajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua minggu lalu.

Menurut Badrul, tabiat boros Rosmah akhirnya akan memberi kesan kepada pentadbiran negara yang berada di bawah naungan suaminya sendiri.

Beliau berkata ada bukti jelas dalam rekod kastam menunjukkan kemasukan sebentuk cincin berharga lebih RM24 juta pada 16 April lalu atas nama beliau sebagai penerima.

“Sikap boros dan sombong beliau yang kita lihat banyak sangat menghancurkan negara ini dan kerana itu Rosmah boleh cakap apa sahaja seperti juga Imelda Marcos yang langsung tidak mempedulikan protes dan suara rakyat. Dan akhirnya kehancuran Marcos penyumbang besarnya adalah Imelda,”katanya kepada Tv Selangor.

Badrul berkata, beliau tidak membuat sebarang tuduhan melulu ke atas Rosmah, namun ia bersandarkan kepada bukti yang dibekalkan kepada pihaknya.

“Mengenai cincin ini saya tidak melemparkan sebarang tuduhan cuma saya mengeluarkan pada peringkat awalnya pada 8 Julai beberapa dokumen yang membuktikan ada kemasukan sebentuk cincin belian berharga RM24.45 juta yang dalam nama penerima ada tertera nama Rosmah Bin Mansor.

“Jadi saya bangkitkan dan minta untuk Rosmah atau mana-mana pihak untuk menyatakan kebenaran,”katanya lagi.

harakahdaily/-



7 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BN Perak menganggap tiada kawasan mengundi yang boleh dilabelkan 'hitam' iaitu yang tidak boleh dimenanginya dalam pilihan raya umum akan datang.

Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang juga pengerusi BN Perak berkata sama ada 'hitam' atau 'putih' sesebuah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen bergantung kepada strategi parti di samping usaha dan kerja keras setiap anggota untuk aktiviti masyarakat di situ.

"Sukar katakan kawasan tertentu sebagai 'hitam' sebab ini adalah politik. Kadangkala kawasan yang dianggap 'putih' (peluang cerah untuk menang) boleh bertukar 'hitam' kerana politik adalah sesuatu yang dinamik," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Hari Bertemu Pelanggan di Ipoh, semalam.

Beliau memberi contoh, dahulu ada yang menjangka BN tidak boleh menang kerusi Parlimen Ipoh Timur sedangkan BN pernah memenanginya, begitu juga bagi kerusi Parlimen Ipoh Barat.

Zambry berkata beliau enggan mempercayai pandangan wujudnya kawasan 'tertutup' kepada BN sehingga mustahil untuk parti itu memenanginya.

Beliau berkata semua komponen BN umpamanya MCA boleh meraih kembali mendapat sokongan di kawasan tradisi yang ditandingi termasuk kawasan yang berpotensi untuk menang berdasarkan aktiviti yang dilaksanakan di situ.

Katanya MCA di bawah presidennya sekarang, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, adalah parti yang paling aktif menjalankan pelbagai aktiviti dan usaha seperti itu berupaya mengembalikan kepercayaan rakyat serta menggambarkan tahap penerimaan rakyat terhadap parti itu.

Zambry juga berkata pada prinsipnya persetujuan mengenai cadangan pertukaran kerusi antara parti komponen BN telah selesai tetapi penilaian masih diteruskan dari semasa ke sesama.

Mengenai dakwaan ADUN Pasir Panjang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada PAS dalam sebuah akhbar semalam bahawa budaya mencantas dan masalah perebutan kerusi hanya berlaku dalam Umno, Zambry menyifatkan kenyataan itu sebagai 'merapu'.

"Cakap merapu, saya tahu mereka (Pakatan Rakyat) di Perak sedang 'berperang' teruk, masing-masing nak berebut kerusi, cuma orang itu (Mohammad Nizar) kata mereka tiada masalah," katanya.

- Bernama

    Followers