Kemajuan Untuk Semua Bangsa Tanpa Mengira Warna Kulit atau Bangsa di bawah Agama Islam

Instagram

Instagram

Suara Ketenangan

Revolution Ads

Revolusi



30 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 Okt: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengupah orang asing untuk menaikkan imejnya adalah membazir,
sia-sia dan tidak adil.

"Jika benar Najib mengupah Alastair Campbell yang pernah menjadi ketua komunikasi bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair untuk menaikkan
imejnya dan wang rakyat digunakan untuk tujuan itu,

ia bukan sahaja membazir dan sia-sia, malah amat tidak adil menggunakan wang rakyat

untuk kepentingan peribadi dan partinya," kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Sarawak Report sebelum ini melaporkan, Campbell kini menasihati Najib untuk memastikan kemenangan Umno Barisan Nasional (BN) dalam pilihan
raya akan datang.

"Mana pergi pakar-pakar tempatan yang hebat-hebat untuk menaikkan imej Najib setelah imej Umno BN jatuh merudum terutama di kalangan pengundi bukan Melayu?

"Kita difahamkan ada pakar dari stesen TV terkenal diambil untuk menaikkan imej imej Najib dan partinya. Adakah pakar itu gagal

menaikkan imej Najib dan memperbaiki imej (isteri Najib, Datin Seri) Rosmah (Mansor)?" Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mempersoalkan.

Beliau berkata, Najib tidak perlu mengkaji pergi jauh-jauh dan mengikis wang negara mengupah konsultan luar untuk menyedari tahap
penerimaan rakyat terhadap beliau dan kerajaannya.

"Ambil perhimpunan Bersih 2.0 dan Himpun (Himpunan Sejuta Umat) sebagai contoh. Walaupun sebelum perhimpunan Bersih 2.0 media-media

pro-Umno BN seperti kerasukan menghasut dan menakut-nakutkan orang ramai malah dengan pelbagai sekatan dan tindakan ganas terhadap
perhimpunan aman itu, Kuala Lumpur tetap dibanjiri rakyat yang mahukan pilihan raya yang bersih dan adil.

"Malah terdapat ramai penganalisis yang menyifatkan perhimpunan Bersih 2.0 yang mendapat liputan seluruh dunia itu sebagai kebangkitan rakyat
tanpa pemimpin," kata Salahuddin.

Sebaliknya, kata beliau lagi, Himpun yang mendapat 'tacit approval' dari kerajaan Najib dan disertai pula oleh histeria media-media

pro-Umno BN menyokong dan mendorong orang ramai menyertainya serta ditambah pula dengan sambutan mesra polis yang sebelum itu mengganasi Bersih 2.0, hanya 10,000 orang sahaja yang hadir.

"Saya ambil angka 10,000 orang yang disebut oleh akhbar pro-Umno BN sebagai tanda simpati walaupun terdapat banyak laporan yang lebih
dipercayai yang menyatakan bahawa kehadiran sebenar amat jauh lebih kecil dari itu," kata beliau.

Perbezaan sambutan rakyat terhadap Bersih 2.0 dan Himpun merupakan bukti yang sangat jelas tentang penerimaan mereka terhadap Umno BN,
kata beliau.

Malah, kata Salahuddin lagi, tidak cukup dengan tamparan hebat rakyat melalui perbezaan sambutan mereka terhadap Bersih 2.0 dan Himpun itu,
Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui imej Najib jatuh merudum akibat penangan Bersih 2.0.

"Tak perlulah Najib membazir wang rakyat secara tidak adil untuk memulihkan imejnya dengan mengambil konsultan asing seperti Campbell,
jika benar beliau berbuat demikian.

"Saya bersetuju dengan pandangan yang menyatakan konsultan asing pun tak akan mampu menukar sang kodok menjadi putera raja," katanya.

harakahdaily/-



30 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 Ogos — Keluarga Teoh Beng Hock menuntut polis menyiasat tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dinamakan dalam laporan suruhanjaya diraja berhubung kematian bekas setiausaha politik DAP itu.
Tengah hari tadi keluarga itu membuat laporan polis dengan harapan satu siasatan jenayah akan dijalankan.

“Bukan kami tidak ada kesabaran. Kami sudah lama bersabar dan telah diambil kesempatan (ekoran kesabaran kami),” kata kakak Beng Hock, Lee Lan selepas membuat laporan di balai polis Tun H.S. Lee di sini.

“Kami sudah lama menunggu dan tiada tindakan serius daripada kerajaan,” tambah Lee Lan.

Peguam yang mewakili keluarga Teo, Gobind Singh Deo pula berkata, laporan polis dibuat berikutan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz di Dewan Rakyat Isnin lalu bahawa kerajaan tidak mengenakan tindakan pendakwaan ke atas tiga pegawai SPRM terbabit meskipun mereka dinamakan dalam laporan dikeluarkan tiga bulan lalu berikutan tiada laporan polis dibuat.

“(Jadi) hari ini kami membuat laporan polis ekoran penemuan suruhanjaya diraja untuk memastikan siasatan dijalankan dan tindakan sewajarnya di ambil ke atas mereka yang bertanggungjawab di atas kematian Teoh Beng Hock,” katanya.

Gobind juga menyuarakan kekecewaannya terhadap kenyataan Nazri kerana tiada tindakan diambil terhadap tiga pegawai terbabit sedangkan laporan suruhanjaya diraja sudah membuktikan perkara itu.

“Kes ini telah berjalan dua tahun lebih tetapi masih tiada tindakan diambil, saya mencabar Nazri untuk ambil tindakan.

“Saya juga kecewa dengan kenyataan Nazri Aziz berikutan tiada siasatan akan dijalankan terhadap pegawai terbabit kerana tiada laporan polis dibuat, adakah pihak polis sendiri tidak boleh membuat laporan?” katanya.

malaysian insider/-



30 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Hudud: Hasrat PAS akan wujudkan dua sistem tak adil, dakwa Mahathir

KUALA LUMPUR, 27 Okt — Tun Dr Mahathir Mohamad terus menyerang hasrat PAS memperkenalkan hukum hudud dengan hari ini menegaskan, perundangan Islam itu akan membawa kepada sistem keadilan yang berat sebelah kepada masyarakat Muslim dan bukan Muslim.

“Mereka mengatakan bahawa hudud hanya bagi Muslim. Jadi, jika ada kecurian melibatkan seorang rakan Cina, mereka akan memotong tangan tetapi rakan Cina atau rakan India, mereka (hanya) akan dapat hukuman penjara dua bulan.

“Jadi, bagi PAS itu keadilan. Sudah pasti, jika anda melakukan (kesalahan) lain, mereka akan memotong kepala anda,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri majlis jamuan teh anjuran Perodua di sini hari ini.

Laporan media semalam menyebut kerajaan Kelantan terus meletakkan harapan mahu mencapai hasrat dua dekad melaksanakan hukum hudud mahu bertemu dengan Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan perkara tersebut sebaik sahaja segala pendekatan berkaitan selesai diadakan.

Isnin lalu, pentadbiran Nik Aziz mengumumkan pembentukan jawatankuasa teknikal berhubung pelaksanaan hukum hudud.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata pihaknya sudah pun menghantar surat kepada Najib berhubung cadangan mengadakan pertemuan dengan kerajaan persekutuan.

Mohd Amar berkata pertemuan rasmi dengan Najib belum ada lagi dan ia akan dilakukan apabila semuanya sudah sedia.

Bulan lalu, Dr Mahathir berkata Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh mengadakan pertemuan dengan Najib jika masih berhasrat meneruskan usaha melaksanakan hukum hudud.

Dalam satu surat kepada Nik Aziz pada 1994, Dr Mahathir menolak rancangan Kelantan atas alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kelantan terus mendakwa hukum hudud gagal dilaksanakan ekoran pendirian dan sekatan kerajaan pusat.

Polemik bermusim ini muncul semula akhir bulan lalu dengan wujud pelbagai pandangan iaitu Kelantan boleh melaksanakannya dan pada masa yang sama ia juga bercanggah dengan undang-undang pusat. -TMI



26 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Bandar Seri Iskandar – Dewan Pemuda Pas Kawasan Parit menggesa agar kerajaan negeri Perak yang dipimpin Y.A.B Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir segera membatalkan pembinaan panggung wayang Lotus Five Star Cinemas di sebuah pasaraya di sini seperti yang diminta oleh Jawatankuasa Penduduk di Bandar Seri Iskandar.

Projek pembinaan panggung wayang itu mula mendapat perhatian orang ramai sejak beberapa minggu ini selepas papan tanda pembinaannya diletakkan di tepi jalan raya dan mengundang ribuan tandatangan bantahan penduduk setempat.

Semasa ditemui oleh pemberita, Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Parit, Ustaz Hakimi Mohamad Nor menegaskan bahawa “Islam sama sekali tidak menghalang kepada kemajuan. Namun kemajuan itu hendaklah seimbang antara dunia dan akhirat.

Kejadiaan yang terjadi di Bandar Seri Iskandar amatlah mengecewakan terutamanya apabila sejak sekian lama Bandar ini telah lama diwarwarkan sebagai Bandar Pendidkan dengan kewujudan beberapa Insitusi Pengajian Tinggi dan Sekolah, secara tiba-tiba ada usaha mengubahnya kepada Bandar Hiburan dengan penubuhan panggung wayang ini.”

Tambah beliau lagi, “ Sekiranya kerajaan negeri mengambil sikap berdiam diri dan tiada tindakan yang diambil untuk membatalkan pembinaan panggung wayang ini, jelaslah bahawa pemimpin negeri memang tidak mahukan rakyat menjadi cerdik dan hanya mahu melahirkan generasi yang suka berhibur!”

Tegashaki beliau lagi, “Penduduk di Bandar Seri Iskandar ini semuanya telah sepakat untuk menghalang penubuhan panggung wayang ini, dan jika bantahan penduduk ini ditolak, maka kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional perlu bersedia pula untuk ditolak oleh rakyat pada PRU yang ke 13 ini!”

SU DPP Parit



26 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PERMATANG PAUH, : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan tetap dibatalkan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya memerintah negara kerana ia membebankan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis ramah mesra 'Sepetang Bersama Masyarakat' di Dewan Orang Ramai Batu 5, Permatang Janggus, Permatang Pauh, kelmarin.

Menurut beliau lagi, GST adalah satu bentuk paksaan yang dikenakan oleh pemerintah kepada rakyat yang sedang menghadapi masalah bebanan dengan kenaikan harga barangan.

"Sekiranya cukai ini dikenakan kepada rakyat, ia bukan saja membebankan mereka, tetapi menjadikan rakyat terpaksa tunduk kepada hasrat kerajaan untuk menekan dan menzalimi secara hormat.

"Oleh itu, seandainya PR berjaya memenangi kerusi pilihan raya umum yang akan datang, kita berjanji akan membatalkan GST yang tidak memberi manfaat kepada rakyat, khususnya golongan yang berpendapatan rendah," ujarnya yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.

Anwar yang juga merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, turut menyelar kepimpinan Datuk Seri Najib kerana mempermainkan rakyat apabila menangguhkan GST sehingga selepas pilihan raya yang akan datang.

Katanya, apabila cukai yang hendak dikenakan ditangguhkan sebelum pilihan raya, adalah tidak mustahil ianya akan dilaksanakan selepas ini.

"Ini membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ada tidak prihatin terhadap keperluan rakyat, sebaliknya memberi prioriti terhadap keperluan mereka bagi memeras dan mencekik darah rakyat," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga membidas BN yang cuba mempolitikkan isu berkaitan pelajar sekolah yang didakwa terlibat dalam kes serangan seksual dikaitkan dengan anak Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Jelasnya lagi, cara politik yang dimainkan bukan saja mempamerkan kedangkalan modal oleh BN, sebaliknya memperlihatkan bahawa parti tersebut senantiasa menjadikan kelucahan sebagai modal politik terdesak.

"Adalah sesuatu yang merbahaya sekiranya, BN terus diberi mandat untuk menerajui kepimpinan dalam negara apabila mereka tidak dapat menjustifikasikan mana yang baik dan mana yang buruk untuk dipolitikkan," tambahnya lagi.

harakahdaily/-



26 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar mendahului senarai penerima darjah dan pingat kebesaran sempena ulang tahun keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah (bawah, kanan)yang ke-81, hari ini.

Sultan Johor menerima Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang (DK).

Seramai 15 orang menerima darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran "Datuk Seri", lima menerima darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP), 20 menerima Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) dan 100 menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP), yang masing-masing membawa gelaran "Datuk".

Penerima SSAP ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung; Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd Datuk Mohamad Salleh Ismail; Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia Datuk Mohamed Apandi Ali; Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hassan Abdul Rahman; Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abd Ghafar Mahmud; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Datuk Zakaria Sulung.

Panglima Operasi Udara Left Jen Datuk Ackbal Abdul Samad; Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin; Pengarah Arctiquator (M) Sdn Bhd Datuk Sunny Ung Eng Huat; Pengarah Eksekutif Syarikat Sarawak Pulp Industries Sdn Bhd Datuk Ibrahim Mahmud; Pengarah Urusan IRDK Group Of Companies Datuk Dr Ramasamy a/l Muthusamy.

Pakar Perunding Kanan Traumatologi dan Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur Prof Datuk Dr Abu Hassan Asaari Abdullah; Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia Datuk Subahan Kamal; Datuk Chin Seak Huat dan Pengarah Kiara Jujur Sdn Bhd Tan Kooi Chew.

Lima penerima darjah SIMP ialah Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Paul W Jones; Timbalan Panglima Tentera Darat Lef Jen Datuk Wira Zulkifli Zainal Abidin; Ahli Lembaga Disiplin UMNO Datuk Mohd Zihim Mohd Hassan; Pengerusi Dr Mohamed Mydin dan Rakan-Rakan Sdn Bhd Datuk Dr Mohamed Mydin Mohd Musa dan Prof Ulung Universiti Malaysia Profesor Dr Looi Lai Meng.

Antara penerima DSAP ialah Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Noriah Kasnon; Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek; Anggota Dewan Undangan Negeri Tahan, Pahang Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak; Pengarah Pelajaran Pahang Datuk Mazlan Mohamad; Pengarah Kesihatan Pahang Dr Nooraini Baba; Pengarah Perhutanan Pahang Datuk Mohd Paiz Kamaruzaman.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Markas Angkatan Tentera Malaysia Left Jen Datuk Pahlawan Abd Razak Md Yusoff; Panglima Angkatan Bersama Laksamana Madya Datuk Jamil Osman; Panglima 8 Briged Mejar Jen Datuk Abdul Rahim Mohd Yusuff;

Pakar Perunding Perubatan Kanan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan Datuk Dr Sapari Satwi; Pakar Perunding Bedah Jantung dan Paru-Paru Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Mohd Ramzisham Abdul Rahman dan peniaga Datuk Chan Ang Ngan.

Bagi darjah DIMP, antara penerima ialah Ketua Penolong Pengarah (Latihan) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman SAC Datuk Paramasivam a/l Arunasalam; Ahli Dewan Negara Senator Muhammad Olian Abdullah;

Ketua Penolong Pengarah Risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Bukit Aman SAC Haris Wong Abdullah; Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Bukit Aman SAC Huzir Mohamed dan penyanyi serta penggubah muzik Syed Mohd Sobri Syed Kechik.

Seramai 27 menerima darjah Setia Ahmad Shah Pahang, 57 (Setia Mahkota Pahang), 69 (Ahli Ahmad Shah Pahang), 175 (Ahli Mahkota Pahang), 126 (Pingat Khidmat Cemerlang), dua (Pingat Gagah Perwira), 153 (Pingat Kelakuan Terpuji ), 264 (Pingat Jasa Kebaktian).

Pengamal media iaitu wartawan penyiaran Eksekutif Kanan TV3 Karam Singh Walia menerima DIMP yang membawa gelaran Datuk manakala Pegawai Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Rubiah Mohamed dianugerahkan AMP.

Majlis penyampaian anugerah pingat dan darjah kebesaran akan berlangsung di Istana Abu Bakar, Pekan.

- Bernama



26 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Monyet dan kucing di Merlimau sudah menunggu lebih 8 bulan untuk melihat taman mereka dibina di Merlimau. Ini kerana Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pernah berjanji pada kempen Pilihanraya Kecil Merlimau bahawa satu taman untuk mereka akan dibina di Jeti Merlimau.

Mohd Ali dalam kenyataannya pada 10 Februari lalu memberitahu bahawa kerajaan negeri bercadang mewujudkan taman rekreasi yang mengandungi habitat binatang ternakan berhampiran Jeti Muara Sungai Merlimau di pada masa depan.

Beliau berkata, rancangan tersebut termasuk dalam projek menaik taraf jeti berkenaan yang melibatkan perbelanjaan kira-kira RM5.6 juta.

Menurutnya, peruntukkan itu disediakan di bawah kerajaan Pusat selepas perlaksanaanya diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengadakan lawatan ke jeti tersebut tahun lalu.

”Jeti Muara Sungai Merlimau ini akan menjadi salah sebuah taman rekreasi di negeri ini malah di situ bukan sahaja ada jeti tetapi ada taman hidupan monyet dan kucing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan nelayan Jeti Muara Sungai Merlimau di Merlimau semasa berkempen untuk memancing undi pengundi Merlimau.

Saya yakin jika monyet dan kucing di Merlimau boleh berkata-kata dan menulis sudah tentu mereka akan membuat temujanji dan menghantar memorandum kepada Ketua Menteri untuk meminta pembinaannya disegerakan.

Nampaknya Ketua Menteri cuba memperdayakan bukan sahaja manusia malah binatang pun diperdayakan.

Saya menuntut beliau memohon maaf kepada kucing dan monyet.

HARAKAHDAILY/-

    Followers