19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
KOTA BHARU - Barisan Nasional (BN)
Kelantan akan menampilkan tokoh ulama serta calon yang mantap untuk
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa
Mohamed berkata, pemilihan calon sudah di peringkat akhir dan ia akan
menampilkan muka lama dan baru.
“Kami mahu setiap calon yang dipilih diterima dan disukai rakyat supaya membawa kemenangan kepada BN di negeri ini,” katanya.
Sebelum itu, beliau meluangkan masa
lebih sejam melawat kawasan Karnival Pengajian Tinggi Negara 2013 di
pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.
Menurutnya, BN akan berusaha
sungguh-sungguh dan meletakkan calon terbaik, walaupun sedar bahawa
sesiapa pun diletakkan sebagai calon, mungkin ada yang akan
mempertikaikannya.
Mustapa berkata, bagi beliau dan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mereka yang terpilih adalah
barisan terbaik yang dipilih di kalangan tokoh di Kelantan.
Sementara itu, mengulas mengenai
pertemuan beliau dengan Najib, yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN,
di Putrajaya kelmarin, Mustapa berkata, pertemuan seperti itu sudah
diadakan sejak enam bulan lepas.
Menurutnya, ia bagi membincangkan perkara berkaitan parti, terutama mengenai senarai calon BN Kelantan.
Ditanya mengapa Najib belum membubarkan
Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU13, Mustapa berkata, beliau
percaya Najib mahu hasil transformasi yang dilaksanakan, termasuk dalam
bidang ekonomi, dirasai rakyat.
"Ia tiada kaitan dengan apa-apa desakan
pembangkang. Ini strategi Najib dalam memastikan rakyat melihat hasil
kerja, termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Perumahan Rakyat
1Malaysia (PR1MA),” katanya, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa
dan Industri.
Mustapa tidak menolak kemungkinan banyak
lagi program peletakan batu asas bagi projek tertentu dilakukan
kerajaan Pas Kelantan, dan menyifatkan tindakan seperti itu 'tidak lebih
daripada gimik politik' menjelang pilihan raya.
Sinar/-