19 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
SHAH ALAM - Pemimpin-pemimpin Barisan
Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) berpendapat sudah tiba masa untuk
meminda peruntukan undang-undang bagi membolehkan pembubaran Parlimen
dan Dewan Undangan Negeri (Dun) secara automatik dijadikan amalan
mandatori selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Sehubungan itu, ahli Majlis Tertinggi
Umno, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Perlembagaan Persekutuan wajar
dipinda untuk menetapkan lima tahun sebagai tempoh pembubaran Parlimen
secara automatik.
Menurutnya, pembubaran secara automatik
tidak menjadi kesalahan, tetapi kini menjadi perbualan masyarakat kerana
ia tidak pernah berlaku sebelum ini.
Beliau juga berkata, pindaan diperlukan
untuk menetapkan tarikh pembubaran Parlimen secara automatik selepas
lima tahun dan ia perlu dibahaskan meliputi semua aspek.
"Kalau ia memerlukan pindaan perlembagaan, maka kita pindalah," kata beliau kepada Sinar Harian Online.
Khamis lalu, Dun Negeri Sembilan telah terbubar dengan sendirinya, sekali gus mencatat sejarah.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk
Seri Mohamad Hasan turut berpandangan Parlimen yang terbubar sendiri
boleh dijadikan amalan kerana mempunyai implikasi positif, terutama dari
segi pembangunan negara.
Kelmarin, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata, pembubaran Parlimen
secara automatik memerlukan pindaan undang-undang dan Perlembagaan
Persekutuan oleh kuasa dua per tiga majoriti.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sebaik-bainya Parlimen wajar dibubarkan pada tempoh matang iaitu lima tahun.
"Saya cenderung kepada Parlimen dibubar
hanya setelah tempohnya matang iaitu lima tahun. Kalau pun tak
sepenuhnya lima tahun, sekurang-kurangnya empat tahun setengah.
"Tetapi, kini ia tidak dinyatakan dalam mana-mana undang-undang atau dalam perlembagaan," katanya lagi.
Dalam pada itu, Naib Presiden Pas,
Salahuddin Ayub berkata, pembubaran Parlimen secara automatik akan
diamalkan oleh PR jika berjaya membentuk kerajaan pusat.
Ahli Parlimen Kubang Kerian ini berkata,
PR akan memimpin untuk menetapkan tempoh lima tahun sebagai 'sempadan'
pembubaran Parlimen seterusnya.
Tambahnya, walaupun memerlukan banyak
perbincangan dan rundingan serta sokongan dua per tiga di Parlimen dan
Dun, pembangkang akan terus melakukannya sejajar dengan kehendak rakyat.
"... Pakatan Rakyat akan memimpin ke
arah perubahan itu walaupun memerlukan masa dan ada halangan mengenai
dua per tiga majoriti, PR akan teruskan perbincangan untuk mencapai ke
arah itu," katanya.
Salahuddin juga berkata, kelewatan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menimbulkan pelbagai
persepsi negatif daripada rakyat.
"... kelewatan Najib mengumumkan
pembubaran Parlimen selepas Dun Negeri Sembilan itu akan menimbulkan
persepsi rakyat bahawa kerajaan tidak yakin dengan tampuk
pemerintahannya," katanya lagi.
Sinar/-