18 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) dan
Pakatan Rakyat (PR) kini memasuki fasa berkampung di kawasan
masing-masing bagi memastikan pengundi mengenali pemimpin dan calon
mereka.
Kedua-duanya menegaskan mereka sudah
lama mengadakan program mendekati rakyat dan bukannya hanya ketika
pilihan raya sudah semakin hampir.
Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad
Maslan menegaskan rakyat sentiasa berpeluang menyertai program anjuran
BN kerana parti itu kerap menganjurkan majlis ramah mesra bersama
rakyat.
“Kita buat majlis sepanjang masa dan ada
macam-macam program. Saya sendiri pun buat program setiap minggu di
Pontian selama lima tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Ahmad Maslan juga yakin BN mampu menang
160 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kerana sokongan
rakyat terhadap BN semakin kuat saban hari.
“Kita bukan takbur tapi kita yakin kita
dapat menang dua pertiga. Saya dah pergi ke banyak tempat dan saya
nampak sokongan terhadap BN semakin meningkat.
“Kami buat apa yang kami cakap dan tepati janji walaupun apa yang BN tunaikan tiada dalam manifesto parti,” jelas beliau.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pas,
Datuk Mustafa Ali menyifatkan PR akan terus mengadakan majlis bertemu
rakyat sehingga pilihan raya berlangsung.
Menurutnya, program bersama rakyat
dijalankan secara berterusan selepas pilihan raya bersedia 2008 dan
bukan hanya secara berkala.
“Momentum sekarang semakin meningkat
kerana sudah hampir dengan PRU13. Saya rasa lebih banyak majlis akan
berlangsung selepas ini,” ujarnya.
Ketika ditanya persiapan PR menjelang PRU13, Mustafa berkata persiapan mereka sudah lengkap dan PR yakin dapat menewaskan BN.
“Rakyat sekarang mahu tengok perubahan.
Saya yakin PR boleh mencapai kemenangan tetapi tidaklah sampai dua
pertiga, mungkin majoriti mudah,” katanya.
Sinar/-