5 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS
Pusat dengan kerjasama Jabatan IT PAS Pusat (JITP) membangunkan satu
laman web PRU13 untuk menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan dengan
PAS bagi Pilihanraya Umum ke-13 melalui capaianhttp://pru13.pas.org.my
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, laman
PRU13 ini akan diisi dengan maklumat-maklumat seperti biodata
calon-calon Dun dan Parlimen yang PAS bertanding serta berita-berita dan
aktiviti pilihanraya yang berkaitan yang dihubungkan dengan laman web
induk, PAS yang boleh dicapai melalui http://www.pas.org.my
Katanya, selain daripada perkhidmatan-perkhidmatan media baru yang telah
sedia ada sebelum ini seperti webtv, facebook dan twitter, mulai 16 Mac
juga Lajnah Penerangan PAS Pusat dan Jabatan IT PAS Pusat menerusi
Urusetia Media Baru (UMB) telah memulakan perkhidmatan radio internet di
bawah jenama Hijau.fm dengan menyiarkan liputan Xpresi Ulama Muda dari
Gunung Semanggol.
”Radio hijau.fm ini boleh dilayari menerusi http://www.hijau.fm akan
beroperasi 24 jam sehari untuk menyampaikan maklumat-maklumat khususnya
berkaitan dengan PAS dan Pakatan Rakyat serta program-program dan
aktiviti-aktiviti pilihanraya setelah parlimen dibubarkan,” ujarnya.
Menurutnya, mulai 16 Mac laman utama PAS versi2 juga dipertingkatkan
dari menggunakan aplikasi Joomla 1.5 kepada Joomla 2.5 dengan design
baru yang lebih segar untuk menyebarkan maklumat-maklumat parti dan
kenyataan-kenyataan rasmi sebagai rujukan semua pihak yang berminat.