10 Jamadil Awal  1434 H. [MOD] -
Rabidin
RAUB - Perogol bersiri yang 
menggemparkan negara hingga digelar 'Rambo' terpaksa meringkuk dalam 
penjara sehingga 133 tahun, apabila dia menerima hukuman 18 tahun lagi 
penjara kerana kesalahan mencederakan anggota polis pada November tahun 
lalu.
Hakim mahkamah sesyen,  Shahrizat Ismail
 menetapkan Rabidin Satir, 42, perlu menjalani hukuman tambahan itu 
sebaik sahaja berakhir tempoh 115 tahun penjara yang ditetapkan sebelum 
ini.
Rabidin didapati bersalah di bawah 
Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh seorang anggota polis 
dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada hari dia ditangkap, 14 
November lalu.
Shahrizat menjatuhkan hukuman tersebut 
setelah Rabidin yang berasal dari Tambunan, Sabah membuat pengakuan 
bersalah mencederakan seorang anggota polis yang cuba menahannya.
Menurut Shahrizat, kesalahan itu berat memandangkan mangsa adalah anggota polis yang bertugas menjaga ketenteraman awam.
Walaupun Rabidin membuat rayuan supaya 
hukumannya diringankan, tetapi mahkamah tetap dengan keputusan itu 
sebagai pengajaran kepadanya dan juga orang lain.
Pada 5 Februari lalu, di mahkamah sama, 
Hakim Murtazadi Amran menjatuhkan hukuman 115 tahun penjara termasuk 50 
sebatan ke atas Rabidin setelah dia mengaku bersalah terhadap empat 
tuduhan rogol dan satu tuduhan liwat.
Kesemua hukuman itu diperintah berjalan secara berasingan mulai tarikh dia ditangkap.
Dalam pendakwaan sebelum ini, Timbalan 
Pendakwa Raya, Atiqah Liyana Shahrir meminta mahkamah menjatuhkan 
hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh menyebabkan masyarakat hidup 
dalam ketakutan.
Sinar harian/-
