Kemajuan Untuk Semua Bangsa Tanpa Mengira Warna Kulit atau Bangsa di bawah Agama Islam

Instagram

Instagram

Suara Ketenangan

Revolution Ads

Revolusi

Dalam PRU12, rakyat dijanjikan "politik baru" yang lebih terbuka. Semua parti-parti politik sama ada di sebelah kerajaan atau pembangkang mengungkapkan ayat yang sama. Rakyat terpegun dengan janji-janji keterbukaan ini.

Namun, keterbukaan itu tidak tahan lama. Dato' Ahmad Ismail (UMNO), Dato' Hassan Ali (PAS) dan Khalid Samad (PAS) tentu faham bahawa parti masing-masing tidak mahu mereka "terlalu terbuka". Terbaru, Zulkifli Nordin (PKR) dikatakan akan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin parti itu ekoran tindakannya membuat aduan polis.

Blogger Kickdefella juga menjadi sasaran kecaman orang-orang yang dulunya memuji beliau, apabila dia mula mengkritik kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan. Blogger Sang Kelembai a.k.a Zaharin Mohd Yasin juga pernah disingkirkan apabila dia mengkritik kepimpinan parti tersebut. Beliau kemudiannya diterima menyertai UMNO kembali. Tanyalah blogger Mohd Sayuti Omar dan Rocky's Bru apakah komen yang dihamburkan kepada mereka setiap hari. Mereka pernah memberitahu saya, dan saya tidak mahu mengulanginya di sini.

Saya juga menerima beberapa komen setiap hari yang terpaksa dibakulsampahkan. Apabila saya mengkritik UMNO dan Barisan Nasional, maka saya dilihat sebagai seorang yang seimbang, adil dan betul. Sebaliknya, apabila saya menulis mengenai PKR atau PAS, mulalah sesetengah pembaca meraban dan maki hamun.

Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dalam salah satu sesi diskusi di Astro Awani mengistilahkan sikap ini sebagai "ketololan."

Orang yang melaung-laungkan keterbukaan tidak ragu-ragu mencerca dan mengeluarkan perkataan-perkataan tidak sopan serta menyerang peribadi sesiapa saja yang tidak sependapat. Saya tak tahu, bagaimanakah ibu dan ayah mendidik mereka bercakap; dan apakah itu bahasa yang digunakan kepada anak dan isteri di rumah.

Berkali-kali saya katakan bahawa saya mengalu-alukan perbezaan pendapat. Seperti yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w., itu adalah rahmat. Perbezaan pendapat membolehkan kita melihat sesuatu isu dari pelbagai perspektif dan ini bagus.

Pemimpin politik kita -- tak kiralah sama ada dia digelar Tun, Tan Sri, Dato' Seri, Tok Guru atau Ustaz -- bukan maksum. Mereka membuat sesuatu keputusan politik berdasarkan maklumat yang terbatas. Rakyat mempunyai maklumat lain dan atas dasar itulah berbeza pendapat dengan pemimpin. Biarkanlah mereka mengkritik sesuatu pandangan atau tindakan pemimpin politik yang dibuat atas kedudukannya sebagai "elected public officials."

Tak perlu nak maki hamun. Tak perlu nak menyerang peribadi. Tak perlu melakukan "character assassination." Bincang isu. Berbahas soal isu; bukannya peribadi orang yang melontar isu tersebut.

Selepas hampir dua tahun PRU12 berlalu, saya masih belum lagi melihat masyarakat kita (sama ada pemimpin politik atau rakyat) menjadi lebih terbuka.

Saya silap? Oh, mungkin. Saya terlupa ... Aduka Taruna!

0 Responses so far.

    Followers