Kemajuan Untuk Semua Bangsa Tanpa Mengira Warna Kulit atau Bangsa di bawah Agama Islam

Instagram

Instagram

Suara Ketenangan

Revolution Ads

Revolusi


  1. Prof Dato' Dr Zulkifli Muhammad atau 'Zulkifli Muhamad' adalah bekas Timbalan Yang Dipertua Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS) semasa PAS dipimpin oleh Dr Burhanuddin Al-Helmy. Beliau juga adalah bekas Ahli Parlimen Bachok, Kelantan pada 1959-1964.
  2. Anak Kelahiran Kuala Kangsar ini mendapat pendidikan tinggi di Mesir pada tahun 1940an. Dilahirkan pada 22 Mac 1927 di Kampung Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar. Isteri beliau ialah Ustazah Asiah Kamaruddin, merupakan Naib Ketua Muslimat PAS Pusat.
  3. Sewaktu belajar di Mesir, beliau terdedah dengan pemikiran dan gerakan Islam. Bersama tokoh Pas sezamannya, Ustaz Haji Hassan Salleh, pada setiap minggu beliau mengikuti Hadith al-Thulatha, iaitu Kuliah mingguan yang disampaikan oleh pengasas Ikhwanul Muslimin, Hasan al-Banna di Markaz Am pertubuhan itu. Setelah kematian al-Banna kuliah itu disambung oleh Syed Qutb. Dr Zulkifli masih meneruskan kehadirannya kuliah itu sehinggalah tahun 1951.
  4. Rakyat Kelantan sejak pilihanraya terawal lagi telah menunjukkan sikap terbuka dalam menerima kepimpinan berpelajaran agama ataupun ulama’. Anak kelahiran Perak ini diterima rakyat Bachok, Kelantan walaupun beliau bukan asal di situ. Beliau memenangi kerusi parlimen Bachok pada tahun 1959 dan sekali lagi dalam pilihanraya 1964.
  5. Beliau seorang pemidato yang hebat dan disegani kawan & lawan. Beliau mencipta rekod berucap di parlimen selama 4 jam. Di Parlimen beliau banyak membangkitkan isu-isu berkaitan kerakyatan, cukai, penubuhan koperasi, kepentingan pengetahuan teknikal kepada orang Melayu, perkembangan bahasa Melayu, perlunya pusat latihan guru dan yang paling penting menyeru supaya menghentikan penghantaran guru ke Kirkby dan Brinsford di United Kingdom.
    Tan Sri Mohd Asri Haji Muda pernah menukilkan kehebatan Prof Zulkifli:“Saya kenal dia sebagai pujangga dengan membaca syair-syair dan sajak-sajaknya. Saya kenal dia sebagai ahli fikir dengan menatap karangan-karangannya di majalah dan risalah yang ditulisnya. Saya kenal dia sebagai pendidik dengan perkhidmatannya di Kolej Islam sebagai setiausaha dan pensyarah. Saya kenal dia sebagai ahli ilmu dengan ceramah-ceramah ilmiah yang diberikan di kolej-kolej dan universiti ditambah dengan karya-karyanya yang memabahas pelbagai bidang ilmu pengetahuan.”

    • Komitmen beliau terhadap tugas sebagai ahli Parlimen amat memberangsangkan. Beliau hadir penuh setiap persidangan dari awal sehingga akhir. Jika sehari, sehari penuhlah kehadirannya. Jika seminggu ataupun sebulan, jelas partisipasi beliau dari awal sehingga ke akhir. Seorang yang amat menekankan keikhlasan dalam berkhidmat untuk nusa dan agama. Inilah kunci utama kerja cermat beliau sepanjang menjadi pemimpin Pas dan masyarakat. Dari laporan-laporan Parlimen didapati beliau pantas berhujah dengan bernas dan setiap mesej yang diutarakan berkualiti tinggi.
    • Siapa menyangka, ahli parlimen Pas yang selalu dipanggil oleh pihak lawan sebagai ‘orang kampung’ ataupun dari parti ‘Tok Lebai’ boleh menggegarkan dewan rakyat melalui hujah dan pidato yang hebat.
    • Beliau ialah wakil rakyat pertama dalam sejarah Dewan menempa sejarah berucap selama empat jam berturut-turut.
    • Beliau juga menggesa Persekutuan Tanah Melayu agar menarik balik pengiktirafan terhadap negara Israel.
    • Pada 19 Ogos 1963, beliau berucap menentang penubuhan Malaysia dari jam 10.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Ini kerana jika berlaku penubuhan Malaysia, pulau Singapura akan terlepas dari kerajaan.
    • Beliau juga membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) malah beliau mengecam awal-awal akta ini sebelum ia diluluskan kerana beliau bimbang akta ini digunakan untuk kepentingan politik.
    • Beliau juga membangkitkan isu masyarakat dari hak keistimewaan orang-orang Melayu, bahasa Melayu, sehinggalah isu pendidikan seperti pengiktirafan sijil Kolej Islam Malaya, Pusat Latihan Guru dan menyarankan agar dihentikan penghantaran guru ke Brinsford dan Kirby di United Kingdom.  Dalam persidangan pada bulan November 1959, beliau membangkitkan soal-soal kerakyatan, cukai, minuman keras, pertanian seperti koperasi dan bidang teknik,
    • Antara isu yang beliau sentuh pada bulan April 1960 ialah mengenai bahasa Melayu sebagai pengantar, ekonomi orang Melayu termasuk RIDA.
      Ketika persidangan yang lain dari bulan Ogos hingga Disember 1960 Dr Zulkifli Muhammad mengemukakan persoalan mengenai pendatang haram, orang Melayu luar negeri, Laporan Razak mengenai pelajaran, perlunya Malay Economic Secretariat, ali baba, RIDA, cukai, anti corruption agency, architecture kebangsaan dan perlunya rumah-rumah murah untuk kakitangan kerajaan berpendapatan rendah.

      • Dalam tahun 1961, beliau mengemukakan pendapat mengenai Rancangan Pembangunan Lima Tahun mengenai pelajaran dewasa, penggunaan Bahasa Melayu RIDA, FELDA, Dewan Bahasa dan Pustaka, menentang penubuhan Malaysia, dasar pelajaran dan rasuah. Tahun 1962, mengemukakan perlunya Staff Training Centre, Public Record, Crown Agent, RIDA, kemunduran pelajar Melayu, pengjian Islam, Kolej Islam, penubuhan Tabung Haji, perturan sekolah-sekolah, Kolej Pertanian, Bahasa Kebangsaan, perlunya Secretariat Melayu Kuala Lumpur, bahasa Melayu di mahkamah dan keselamatan jalan raya.
      • Komitmen beliau tidak surut walaupun penggal perjawatannya semakin berakhir. Dari isu yang besar sehinggalah kes terpencil yang tidak diselesaikan oleh kerajaan dibawa ke Parlimen. Contohnya seperti isu Bahasa Kebangsaan, Syarikat Kerjasama, dasar luar negara Association of Southeast Asia (ASA), kesihatan, sehingga kepada pengaduan rakyat yang diberhentikan kerja secara aniaya.
        Antara lain sumbangan beliau sebelum dan sewaktu menjadi ahli parlimen Pas ialah beliau terlibat menentang keganasan komunis di Kuala Kangsar, Perak. Beliau juga terlibat menentang gagasan Malayan Union (yang disokong pada mulanya oleh UMNO) bersama pertubuhan Melayu berhaluan kiri.
        Selain itu, beliau mengasah penanya yang tajam dan kritikal melalui tulisan dan rencana. Contoh penulisan beliau ialah: a) Falsafah Akhlak dalam Islam, b) Umat Islam Sekarang Makin Mundur, c) Peranan Filem dalam Masyarakat, d) Economic Justice, dan e) Kebangkitan Ekonomi Menurut Pandangan Islam. Beliau juga menghasilkan tiga buah buku iaitu Masyarakat dan Syariat, Analisa Tentang Beberapa Masalah Hidup, dan Pegangan Hidup Umat Islam. Selain itu sebagai seorang pujangga yang kreatif, sajak-sajak beliau telah diterbitkan dalam majalah-majalah tanah air seperti Medan Masyarakat, Mastika, Qalam, Penghidupan, Hiburan dan Pembangunan. Adunan semangat cintakan tanahair dan kekuatan Islamnya tersimpul kemas di dalam bait-bait sajak yang dihasilkan.
        Apa yang cukup ketara dan menjadikan Pas unik di gelangang politik dari dahulu sehingga kini ialah ketika umno sibuk membicarakan pembelaan dan kepentingan Melayu berteraskan semangat kebangsaan, Pas melalui Dr Zulkifli Muhammad dan mereka yang kemudiannya terus membicarakan soal kepentingan bangsa, bahasa Melayu tetapi berpaksikan kepentingan agama Islam.
        Sumbangan Beliau Dalam Pendidikan.
        Prof. Dr Zulkifli Muhammad menyakini terdapat dua cara yang berkesan dalam usaha membentuk sebuah masyarakat yang sejahtera dengan nilai-nilai Islam dan luhur. Cara tersebut adalah melalui penglibatan dalam bidang politik dan pendidikan.
      • Beliau telah menggerakkan usaha menubuhkan Kolej Islam Malaya di Klang (1953). Bagi mengenang jasa beliau dalam pendidikan ini, Universitas Sawerigading (UHSA), Indonesia yang telah menganugerahkannya gelaran Profesor Kehormat pada 15 Julai 1957. Gelaran ini diterima sebelum beliau menjadi ahli parlimen Pas.
      • Beliau juga mencetuskan idea Penubuhan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan  pada 1965.
      • Perhatian beliau mengenai masalah Bahasa Melayu amat tajam. Bersama Pendeta Za’baa, beliau merintis penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka dan menyeru Kerajaan Persekutuan supaya menyegerakan pembinaan bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka agar usaha memakmurkan Bahasa Kebangsaan dapat dijayakan.
      • Menyokong cadangan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai sebuah institusi yang akan memartabatkan Bahasa Melayu.
      • Profesor Dr Zulkifli Muhammad merupakan seorang pemikir masa depan bagi Pas. Beliau pernah menyuarakan bahawa Islam tidak dapat ditegakkan dalam negara ini tanpa sokongan orang-orang bukan Islam. Beliau jelaskan bahawa golongan bukan Islam mempunyai hak tersendiri dalam sesebuah negara Islam. Kerana itu, beliau mencadangkan agar Pas bersedia melihat masa depan merentas bingkai etnik dan sempadan bangsa Melayu semata-mata. Sesuai dengan sifat Islam yang menjadi rahmat untuk semua bangsa, maka beliau mencadangkan agar PAS mengkaji cadangan membuka keahlian kepada warga negara ini yang bukan Islam sebagai Ahli Bersekutu. Namun, Jawatankuasa Agung PAS ketika itu tidak berhasrat membuka keahlian kepada golongan bukan Islam menyertai Pas hanya kerana‘semata-mata kerana takut kalah pilihan raya’.
      • Penting untuk dinyatakan di sini mengenai kemelut politik pada tahun 1950 an dan 1960 an. Suasana negara ketika itu yang baru mencapai kemerdekaan tidak sunyi dari pertembungan, keganasan dan api perkauman. Kita mewarisi negara kini dalam simpulan-simpulan perkauman yang terlalu tebal ciptaan para penjajah. Catitan sejarah menunjukkan berlaku peristiwa hitam beberapa kali. Kesan tinggalan penjajah ini terus dirasai sehingga ke hari ini. Pemergian Beliau
      • Di kala rakyat amat memerlukan seorang pemimpin seperti beliau, berlaku tragedi yang tidak disangka di Batu 4, 1/2 Jalan Kuantan, Pahang pada 6 Mei 1964.  Kereta Fiat Dr Zulkifli Muhammad telah dirempuh oleh sebuah land rover yang laju dari arah bertentangan. Isterinya meninggal di tempat kejadian, manakala beliau menghembuskan nafas terakhir semasa dibawa ke hospital. Hanya Allah s.w.t maha Mengetahui apakah sebenarnya yang terjadi.
      • Kematian beliau menyebabkan semakin kusut keadaan politik ketika itu. Api sengketa dan pertembungan di antara Pas dan UMNO sedang berlaku. Profesor Dr Zulkifli pula baru sahaja memenangi kerusi pilihanraya umum parlimen Bachok untuk penggal kedua. Untuk menamatkan spekulasi bahawa kematian beliau adalah angkara kemalangan yang dirancang ataupun perbuatan kianat musuh politik, Tunku Abdul Rahman al-Haj iaitu PM ketika itu terpaksa membuat kenyataan di Dewan Rakyat. Kenyataan tersebut ke udara ke segenap pelusuk desa melalui radio RTM. Kemudian kerajaan persekutuan mengarahkan agar jenazah al-Marhum suami isteri diterbangkan dari Kuantan ke Kuala Kangsar. Lebih 10,000 datang untuk memberikan penghormatan, takziah dan solat jenazah termasuklah duta-duta asing dan juga pemimpin UMNO.

0 Responses so far.

    Followers