Kemajuan Untuk Semua Bangsa Tanpa Mengira Warna Kulit atau Bangsa di bawah Agama Islam

Instagram

Instagram

Suara Ketenangan

Revolution Ads

Revolusi


  1. Sayyid Qutb merupakan seorang tokoh pejuang di dalam dunia Islam malah juga dikenali di negara-negara Barat. Beliau telah meninggalkan banyak sejarah tentang kehidupannya bermula daripada kelahirannya sehinggalah beliau meninggal dunia. Semangat juangnya dalam menegakkan Islam dengan mengharungi segala cabaran dan dugaan serta tidak pernah putus asa telah menjadikannya seorang tokoh Islam yang terkemuka.
  2. Sayyid Qutb merupakan salah seorang pemimpin gerakan Ikhwan Al-Muslimin di Mesir. Penulisan beliau banyak berkaitan dengan persoalan pemikiran Islam dan juga akidah Islam. Sayyid Qutb lebih memberi tumpuan kepada pembetulan akidah sebelum pembetulan sistem kerajaan. Idea-idea yang dilontarkan dalam penulisannya amat bernas dan cukup bersemangat untuk membangkitkan pemuda-pemuda Islam bagi gerakan dakwah kepada masyarakat. Sebahagian besar dari hayat beliau banyak dihabiskan dibawah bayangan Al-Quran.
  3. Walau bagaimanapun, perjalanan hidupnya sebagai seorang pejuang Islam tidak pernah aman daripada ancaman pelbagai pihak. Namun begitu, beliau terus yakin dan tabah dalam usaha memperjuangkan agama Islam. Kepada umat Islam pada masa kini harus menjadikan beliau sebagai contoh dan motivasi dalam menghadapi pelbagai cabaran untuk mengukuhkan agama Allah SWT. 
  4. Nama sebenarnya ialah Sayyid Qutb Ibrahim Hussain Syazali. Qutb merupakan gelaran bagi keluarganya. Beliau dilahirkan di sebuah kampung iaitu Mosya di Assyut pada 9 Oktober 1906 sewaktu Mesir berada di bawah pemerintahan tiga kuasa besar yang sering bertelagah iaitu raja-raja dari keturunan Muhammad Ali (1805-1956), penjajah Inggeris (1882-1956) dan Parti al-Wafd (1919-1956).  
  5. Pengalaman hidupnya banyak berkait dengan nilai-nilai barat yang cuba mengetepikan persoalan agama dan ketuhanan. Walau bagaimanapun beliau lahir dalam keluarga yang beriltizam dengan ajaran Islam. Beliau mendapat bimbingan yang lebih bercorak Islam daripada kedua ibu bapanya yang berada dalam suasana Islam di sebuah perkampungan Islam. Bapanya Haji Ibraim Qutb merupakan seorang petani yang patuh kepada pegangan agama dan kuat beribadah. Begitu juga dengan ibunya iaitu Fatimah binti Hussain Uthman.
  6. Sayyid Qutb berasal dari sebuah desa di Hulu Mesir. Terdapat keterangan bahawa moyangnya berasal dari India. Walau bagaimanapun perkara ini dinafikan oleh adiknya iaitu Muhammad Qutb. Haji Qutb Ibrahim yang merupakan bapanya berasal daripada keluarga berada dan sangat dihormati di desanya. Beliau mewarisi sebilangan harta daripada tanah-tanah pertanian berserta warisan pimpinan keluarga. Begitu juga beliau adalah pemimpin masyarakat di desanya.
  7. Bapanya ini memiliki sifat-sifat yang mulia. Beliau suka menerima tetamu dan berbelanja untuk anak-anak dan keluarga tanpa rasa kikir. Beliau sebenarnya memiliki  beberapa orang khadam. Mereka adalah fakir miskin di desanya. Sebahagian mereka mempunyai tali persaudaraan yang jauh dan sebahagian lagi adalah jiran-jirannya. Khadamnya ini tidak sampai taraf hamba, tetapi menjadi pembantu keluarganya. Mereka ini sama ada pembantu kerja-kerja di rumah atau pun pembantu kerja-kerja di ladang. Beliau melarang khadam-khadamnya itu menghina diri di hadapannya. Oleh itu, beliau menolak panggilan “Tuan” sebaliknya senang dipanggil “Haji” di kalangan tua dan “Pak Cik Haji” di kalangan muda. Beliau juga memberi layanan baik kepada pekerjanya dan pekerja-pekerja dari jauh yang datang mengambil upah di ladangnya,  makanan yang dihidangkan kepada mereka adalah sama dengan makanan yang dimakan oleh keluarganya.
  8. Ibu dan bapanya mempunyai lima orang anak, dua lelaki dan tiga perempuan iaitu Sayyid, Muhammad, Nafisah, Aminah, dan Hamidah. Sayyid Qutb menggambarkan ayahnya sebagai seorang yang sangat mencintai Allah SWT. Ibunya, Fatimah binti Hussain Uthman merupakan seorang wanita yang mulia dan sering bersedekah, menyediakan makanan kepada orang-orang yang membaca al-Quran di rumahnya dan kepada orang-orang yang bekerja di ladang mereka. Fatimah menanamkan asas-asas keimanan terhadap anak-anaknya dan beliau mahukan mereka menjadi orang yang taat terhadap perintah Allah SWT. Beliau amat cinta kepada al-Quran dan beliau mahukan anak-anak lelakinya menghafaz al-Quran.
  9. Sayyid Qutb memperoleh pendidikan awalnya dalam suasana dan persekitaran kampung daripada ibu bapanya yang kuat berpegang kepada agama. Beliau mula memasuki sekolah rendah di kampungnya pada tahun 1912 hingga 1918. Keistimewaan yang dimiliki oleh beliau ialah dapat menghafaz al-Quran ketika berusia 10 tahun lagi. Pada masa itu, menjadi suatu  kebiasaan bagi keluarga yang kuat beragama di Mesir menghafaz seluruh al-Quran terutamanya keluarga yang berhasrat menghantar anak mereka belajar di Universiti al-Azhar. 
  10. Malangnya, pada tahun 1919 Sayyid Qutb tidak dapat meneruskan pelajarannya kerana Mesir pada masa itu menghadapi zaman revolusi. Keadaan ini memberi peluang beliau mengkaji pelbagai bidang ilmu. Ibu bapa beliau mempunyai keinginan yang sangat kuat untuk mempunyai anak-anak yang cerdik dan pintar yang mendapat pendidikan yang tinggi. Berikutan itu, keluarga Sayyid Qutb berpindah meninggalkan kampung halaman mereka dan menetap di Helwan, sebuah bandar satelit Kaherah. Oleh kerana beliau dibesarkan dalam suasana kampung yang tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur moden, maka beliau tidak mudah dipengaruhi perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam yang terdapat di bandar.
  11. Sayyid Qutb menyambung kembali pelajarannya di peringkat sekolah menengah di Kaherah iaitu di Tajhiziah Dar al-‘Ulum. Mereka yang diterima masuk belajar hanyalah mereka yang  berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke Dar al-‘Ulum (sekarang Universiti Kaherah). Sebagaimana al-Azhar yang merupakan pusat Pendidikan Islam, Dar al-‘Ulum juga merupakan institusi pengajian tinggi dalam bidang Sastera dan Pendidikan.
  12. Seterusnya, peringkat kedua kehidupan Sayyid Qutb ialah ketika beliau tinggal di Kaherah sehinggalah memasuki alam perkejaan. Beliau berpindah ke Kaherah pada tahun 1921 ketika berumur 14 tahun dan tinggal di Zaitun. Kemudian beliau menyambung pelajaran dengan memasuki Maktab Perguruan Abd al-Aziz bermula dari tahun 1922 sehingga tahun 1925.  
  13. Setelah menamatkan pengajiannya di Maktab Perguruan, Sayyid Qutb meneruskan pengajiannya di Dar al’Ulum pada tahun 1925. Kemudian beliau berjaya memasuki Universiti Dar al-‘Ulum atau sekarang dikenali sebagai Universiti Kaherah pada tahun 1929 dan berjaya menamatkan pengajiannya pada tahun 1933 dengan memiliki Sarjana Muda dalam bidang kesusasteraan (Pendidikan). Sebaik sahaja menamatkan pengajiannya, beliau dilantik menjadi profesor di kolej itu kerana menghargai keilmuannya.
  14. Sayyid Qutb bukan sahaja aktif dalam dakwah dan perjuangannya, malahan beliau juga merupakan seorang yang hebat dalam bidang penulisan dan muncul sebagai seorang penulis hebat yang tiada tandingannya. Beliau turut mencipta nama dan menjadi pengulas politik dan sosial yang terkenal, pemikir agung Islam dan pentafsir al-Quran. 
  15. Sejak awal lagi, iaitu sebelum penyertaannya dalam Ikhwan Muslimin, pemikiran dan kehidupan Sayyid Qutb melalui beberapa peringkat perubahan. Pada masa itu, Sayyid Qutb memulakan penulisannya dengan menghasilkan buku-buku sejarah dan penulisan untuk bacaan kanak-kanak. Selain itu, satu siri buku yang berkaitan dengan kisah-kisah nabi berjaya diterbitkan bersama-sama rakannya Abd al-Hamid Jaurda Assehar. 
  16. Penulisan Sayyid Qutb pada peringkat awal ini mendapat sambutan kerana beliau berjaya menyampaikan cerita-cerita ini dalam bentuk yang menarik. Sifat dan akhlak yang mulia cuba dibajai dalam jiwa kanak-kanak melalui penulisannya agar generasi baru ini sentiasa berpegang teguh dengan contoh teladan dan akhlak yang sempurna seperti yang ditunjukkan oleh para nabi dan wali. Walaupun terdapat penulis lain yang menghasilkan cerita untuk kanak-kanak seperti Kamil Gilani, namun kehebatan yang dimiliki oleh Sayyid Qutb tidak dapat ditandingi. Hal ini terjadi kerana beliau menyampaikan penulisannya dengan begitu unik dengan gaya bahasanya yang mudah, senang, lancar dan mampu menarik perasaan pembaca. Pada masa yang sama Sayyid Qutb turut menulis sajak dan puisi Islam. 
  17. Seterusnya kegiatan penulisan yang diceburinya berkembang dengan baik. Bidang ini pun mula berkembang dan berubah, walaupun pada hakikatnya pada masa itu usianya masih muda remaja. Karyanya yang pertama diterbitkan iaitu Asywak (duri-duri) mengisahkan tentang kasih sayang mutlak yang berakhir dengan sebuah tragedi. Pembaca kisah ini akan dapat merasakan mereka berada bersama-sama seorang insan yang berperibadi mulia dan mempunyai akhlak yang luar biasa indahnya. 
  18. Penulisan Sayyid Qutb tidak terhenti di situ malahan beliau terus menghasilkan dua buah buku lagi dalam bentuk cereka. Karya tersebut ialah Tift min al-Qaryah ( Anak Dari Desa)  dan al-Madinah al-Mashurah (Kota Kerahmatan). Dalam karyanya yang pertama, Sayyid Qutb menceritakan kehidupannya semasa masih di alam kanak-kanak dan keadaan persekitaran beliau pada masa itu. Dalam karyanya itu Sayyid Qutb cuba menukilkan kesederhanaan dan ketulenan hidup di desa sepertimana yang telah beliau lalui sebelum ini. 
  19. Sayyid Qutb memberi sumbangan dalam idea-idea kritikan beliau dengan jelas boleh dilihat berdasarkan pandangannya terhadap gambaran Islam mengenai Allah SWT, alam, kehidupan dan manusia. Antara yang dibincangkan adalah perkara-perkara yang berhubung dengan Islam dengan lebih jelas. Selain itu, beliau turut mentafsirkan gambaran Islam dalam bacaan yang lebih realistik, sepertimana tulisannya iaitu Tafsir fi Zilal al-Quran.
  20. Dalam buku Kritikan Sastera, beliau membincangkan idea serta pandangannya mengenai Sastera Islam. Antaranya ialah, sastera atau seni yang lahir daripada gambaran Islam berkaitan dengan kehidupan menunjukkan bahawa tidak banyak menggambarkan kelemahan manusia, dan pendedahannya juga tidak meluas dan menyeluruh. Menurut beliau, Islam tidak menolak seni tetapi tidak boleh menerima beberapa gambaran salah yang diberikan oleh seni itu. Sepatutnya, seni sastera lebih menunjukkan kehidupan masyarakat mengikut pandangan Islam  yang telus dan menyeluruh. Dalam buku Ciri-ciri Gambaran Islam, beliau membincangkan tujuh ciri antaranya ialah ketuhanan, kemantapan, keseluruhan, keseimbangan, positif, realiti dan tauhid. Buku ini adalah satu cara untuk mengenal pasti ciri-ciri gambaran Islam dan nilai-nilai yang menggambarkan sistem realiti kehidupan serta dasar pemikiran seni yang boleh diambil daripada gambaran telus dan menyeluruh yang berkaitan dengan kehidupan. 
  21. Tunggak utama yang membawa dan melahirkan ciri-ciri yang lain adalah ciri ketuhanan. Segala gambaran kehidupan yang diberikan oleh sasterawan hendaklah mempunyai ciri-ciri ketuhanan ini bagi menjelaskan bahawa alam dan manusia dicipta oleh Allah SWT. Segala yang ada di dalam alam ini serta kehidupan manusia akan kembali kepada Allah SWT. Sayyid Qutb membincangkan pengertian manusia dalam gambaran Islam serta hubungannya dengan alam dan Penciptanya. 
  22. Beliau juga menyatakan bahawa gambaran Islam yang mempunyai ciri kemantapan tidak akan sesat dan menyesatkan orang lain. Sasterawan boleh memberikan gambaran yang bebas, tetapi hendaklah berasaskan kepada paksi ketuhanan dalam apa-apa jua keadaan. Bagi menjelaskan ciri ini, beliau menyatakan hakikat yang perlu dicapai seperti berikut:
                            i.            Hakikat kewujudan Allah s.w.t
                          ii.            Hakikat alam ciptaan Allah s.w.t
                        iii.            Hakikat keabadian hanya untuk Allah s.w.t
                        iv.            Hakikat keimanan syarat penerimaan amalan
                          v.            Hakikat Islam adalah agama Allah s.w.t
                        vi.            Hakikat keutamaan manusia daripada semua makhluk      
  23. Semasa hayatnya, lebih dua puluh buah karya telah dihasilkan olehnya. Antara karya Sayyid Qutb adalah meliputi pelbagai bidang seperti sastera, pendidikan, politik, ekonomi, kemasyarakatan, falsafah dan keagamaan.
  24. Antara buku kesusasteraannya ialah :
    1.      Muhimmah al-Sya’ir fi al-Hayah
    2.      Al-Taswir al-Fanni fi al-Quran
    3.      Masyahid al-Qiyamah fi al-Quran
    4.      Al-Naqd al-‘Arabi - Usuluhu wa Manahijuhu
    5.      Naqd Kitab Mustaqbal al-Thaqafah fi Misr
    Buku memorinya ialah :
    1.      Tifl min Qaryah
    2.      Al-Atyaf al-Arba’ah
    3.      Asywak
    4.      Al-Madinah al-Mashurah
    Buku-buku pendidikan dan pelajarannya ialah :
    1.      Al-Qisas al-Dinny
    2.      Al-Jadid fi al-Lughat al-‘Arabiyyah
    3.      Al-Jadid fi al-Mahfuzat
    4.      Rawdah al-Atfal
    Himpunan buku kemasyarakatan, ekonomi dan Islam ialah :
    1.      Al-‘Adalah al-Ijtima’iyyah fi al-Islam
    2.      Ma’rakah Islam wa ‘I-Ra’s al-Maliyyah
    3.      Al-Salam al-‘Alami wa ‘I-Islam
    4.      Nahwa Mujtama’ Islami
    5.      Fi Zilal al-Quran
    6.      Khasa’is al-Tasawwur al-Islamiyy
    7.      Al-Islam wa Musykilah al-Hadarah
    8.      Dirasat Islamiyyah
    9.      Hadha al-Din
    10.  Al-Mustaqbal li hadha al-Din
    11.  Ma’alim fi al-Tariq 
      
    • Selain daripada judul yang dicatatkan di atas, terdapat lebih tiga puluh judul karyanya yang tidak dibukukan. Kebanyakan karya tersebut adalah rencana yang bercorak kritikan serta ulasanya terhadap karya-karya daripada penulis yang lain. Secara umumnya zaman penulisan beliau dapat dibahagikan kepada zaman sebelum menyertai Ikhwan dan zaman selepas menyertainya. Zaman penulisan buku-buku ini juga berkait rapat dengan peringkat-peringkat kehidupan peribadinya. Bagaimanapun,secara umumnya zaman penulisan ini dapat dibahagikan kepada zaman sebelum menyertai Ikhwan dan zaman sesudah menyertainya. 
    • Memang jelas Sayyid Qutb pada tahun-tahun sebelum 1940-an lebih cenderung menumpukan penulisannya hanya kepada seni sastera semata-mata tanpa menghubungkannya dengan roh agama. Hal ini dapat dilihat kepada buku-bukunya seperti Muhimmah al-Sya’ir fi al-Hayah(1993) ,dan Naqd Mustaqbal al-Thaqafah fi Misr(1939).
    •  Pada dekad 1940-an setelah mengalami kesedaran kembali kepada Islam, kecenderungannya kepada seni sastera masih kuat, tetapi beliau cuba memasukkkan unsur baru iaitu roh Islam. Hal ini dapat dilihat dari buku-buku al-Taswir al-Fanni fi al-Quran (1945), dan Mayahid al-Qiyamah fi al-Quran (1947). 
    • Menjelang akhir dekad 1940-an, Sayyid Qutb menjadi lebih serius dalam kehidupannnya. Menjelang penyertaannya dalam Ikhwan (1951), beliau telah menghasilkan sebuah buku berupa kajian kemasyarakatan dan perbandingannya dengan system Islam iaitu al-‘Adalah al-Ijtima’iyyah fi al-Islam yang diterbitkan pada tahun 1949. Selepas menganggotai Ikhwan, beliau telah diamanahkan mengetuai Lujnah Da’wah yang bertanggungjawab menyebarkan idea Ikhwan. Oleh itu, beliau berusaha menghasilkan beberapa buah buku berasaskan fikrah Islam seperti Ma’rakah ’I-Islam wa ’l-Ra’s al-Maliyyah (1951) , al-Salam al-‘Alami wa  ’l-Islam (1951) ,Fi Zilal al-Qur’an (1952) dan Dirasat Islamiyyah (1953).
                Selepas beliau dipenjarakan pada tahun 1954 sehingga dihukum mati pada tahun 1966, beliau menghasilkan buku-buku Hadha al-Din, al-Mustaqbal li hadha al-Din, Khaza’is al-Tasawwur al-Islamiyy wa Muqawwimatihi, al-Islam wa Musyakilah al-Hadarah, Fi Zilal al-Qur’an  cetakan kedua dan Ma’lim fi al-Tariq. Buku yang terakhir ini telah menjadi bahan bukti tuduhan terhadapnya bahawa beliau mengkafirkan pemerintah dan menganggap masyarakat yang menyokong pemerintahan tersebut sebagai Jahiliyyah. Oleh itu, beliau dikatakan menyeru umat Islam supaya menggulingkan pemerintah. Berdasarkan tuduhan inilah beliau dijatuhi hukuman mati.
                Berdasarkan ulasan ‘Adil  Hamudah mengenai sebab-sebab hukuman yang dikenakan  ke atas Sayyid Qutb, bahawa Sayyid Qutb mengutarakan persoalan Uluhiyyah dan Hakimiyyah di dalam Tauhid umat Islam. Persoalan-persoalan yang diutarakan oleh Sayyid Qutbini menurut beliau seperti mana juga tuduhan yang dibuat oleh rejim Gamal ‘Abdul Nasir, ialah perbuatan mengkafirkan orang Islam. Perbuatan seperti ini menurut mereka adalah satu perbuatan jenayah yang dapat membawa huru-hara kepada masyarakat. Lebih jelas lagi, pernyataan-pernyataan Sayyid Qutb di dalam Ma’lim fi al-Tariq dan Fi Zilal al-Quran mengenai hak-hak Allah dari sudut Rububiyyah, Uluhiyyah dan Hakimiyyah adalah seruan revolusi supaya menggulingkan kerajaan.
    Tanggal waktu fajar Isnin 13 Jamadil Awal 1386 bersamaan 29 Ogos 1966, beliau dijatuhi hukuman gantung setelah didapati bersalah oleh "Mahkamah Tentera" yang telah ditubuhkan oleh kerajaan revolusi di zaman itu. Mahkamah ini mempunyai sejarah pengadilan yang hitam dan banyak mengorbankan orang2 yang tak berdosa. Hukuman gantung tetap dilaksanakan secara mendadak ke atas beliau tanpa menghiraukan bantahan dunia Islam dan menolak secara tidak sopan telegram rayuan peribadi dari Raja Saudi Almarhum Faisal Ibn Abdul Aziz di mana baginda merayu supaya beliau dibebaskan dari hukuman gantung dan baginda bersedia memberi apa sahaja yang dituntut oleh kerajaan Mesir.

    " Tangan yang mengangkat kalimah syahadah ini tidak akan tunduk pada taghut! "
    (kata2 yang diberikan oleh Syed Qutb ketika dipujuk oleh Presiden supaya kembali tunduk pada mereka)
            

0 Responses so far.

    Followers