
26 Rejab 1432H. [MOD] -
IPOH,  Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Tambun, Saudara Hafez Sabri, hari ini  menyifatkan pertembungan yang berlaku antara Ketua Pemuda Umno, Khairy  Jamaluddin dan pemimpin Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) dalam isu  himpunan anti-Bersih 2.0 pada 9 Julai nanti sebagai satu petanda positif  terhadap Himpunan Bersih 2.0.
Menurut  beliau, Khairy meminta Presiden Perkasa, Ibrahim Ali disiasat di bawah  Akta Hasutan 1949 kerana mengeluarkan kenyataan ‘perkauman, menghasut  dan berbahaya’. Ibrahim baru-baru ini jelas cuba menimbulkan perasaan  marah dan ketakutan 13 Mei 1969. “Cuba bayangkan jika berlaku huru-hara.
..  jika perhimpunan Bersih 2.0 tidak dibatalkan, saya percaya kaum Cina  perlu simpan bekalan makanan. Ya, apa sahaja boleh berlaku,” kata beliau  dalam laporan Malaysian Insider 19 Jun lalu.
Manakala  dari pihak PERKASA, Ketua Wira, Irwan Fahmi Ideris, mendesak agar  Khairy disiasat di bawah ISA kerana turut menganjurkan perhimpunan  membantah Himpunan Bersih 2.0 serentak dengan himpunan Gerak Aman  anjuran PERKASA pada 9 Julai ini.
Kerajaan  seharusnya memikirkan kesan negatif terhadap negara apabila seorang  ahli Parlimen seperti Ibrahim Ali dibiarkan terus mengeluarkan kata-kata  yang boleh meyebabkan keharmonian kaum terjejas di Malaysia tanpa  disekat dan dilarang. 
Kegagalan  mereka untuk mengambil tindakan terhadap Ibrahim Ali akan menjejaskan  imej negara ini di samping menunjukkan sikap berat sebelah pihak  kerajaan dalam menentukan dasarnya.
Saudara  Hafez Sabri yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Perak itu, menyifatkan  situasi yang berlaku sekarang ini berpihak kepada Bersih dan rakyat.  Tegasnya, “Golongan yang menolak perpaduan rakyat ini dan cuba menutup  kebobrokan sistem dan kerajaan kini sudah mula berpecah belah. Mereka  mula bercakaran sesama sendiri. 
Ia  hanya meningkatkan semangat rakyat untuk sama-sama turun pada  perhimpunan Bersih 2.0 untuk mempertahankan hak mereka di samping  menolak penyelewengan dalam pilihanrayaumum ke 13 ini ”
Di  samping itu, beliau turut merayu agar semua pihak yang akan terlibat  bermunajat dan memohon doa pada Allah agar ia dapat diteruskan dan suara  rakyat yang mahukan perubahan terhadap negara Malaysia yang tercinta  ini dilindungi hingga ke akhirnya.
Beliau  menyeru semua rakyat terutama golongan muda untuk turut sama menyertai  Bersih pada 9 Julai ini untuk menjayakan Bersih ini dan berdoa agar  himpunan Bersih 2.0 menjadi platform dan simbol perpaduan dan kesatuan  rakyat dari pelbagai latar belakang.
mohd hafez sabri

















