
22 Rejab 1432H. [MOD] -
SHAH  ALAM 24 JUN : Kerajaan di bawah pimpinan Najib Razak kini dilihat  seolah-olah mahu melarikan diri daripada terus menjelaskan kepada rakyat  berhubung ketelusan pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)  kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan  cemerlang.
Hal  ini terbukti apabila Putrajaya mengumumkan untuk merombak dasarnya  apabila hanya akan menganugerahkan biasiswa JPA kepada pelajar-pelajar  yang mengikuti pengajian ijazah dan bukannya kepada calon cemerlang SPM  bermula tahun hadapan. 
Malah Najib sendiri mengakui ia bagi mengelak masalah rungutan dan kritikan yang kedengaran mutakhir ini. 
Namun  menurut Pengerusi Biro Pendidikan PKR, Abbas Awang, tindakan  tergesa-gesa kerajaan itu bakal mengundang masalah keciciran kepada  pelajar-pelajar cemerlang lepasan SPM yang menjadi aset negara pada masa  hadapan. 
"Keputusan  SPM menggambarkan keputusan yang penting, pelajar-pelajar yang  cemerlang dan terpilih itu sepatutnya diberi keutamaan mereka untuk  memilih jurusan-jurusan tertentu dan sepatutnya mereka ini diberikan  biasiswa,"katanya kepada Tv Selangor.
Abbas  juga tidak dapat menerima alasan yang dikemukakan oleh Najib yang  mengatakan bahawa pemberian biasiswa di peringkat SPM bukan satu idea  yang baik, sekaligus menimbulkan pertikaian sama ada kerajaan telus  selama ini membantu pelajar-pelajar lepasan SPM.
"Saya fikir itu alasan yang tidak logik semata-mata kerana dana biasiswa itu tadi telah disalahgunakan untuk perkara lain.
"Itu  hanyalah alasan kerajaan. Berdasarkan pemerhatian mereka ini daripada  SPM melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi dan lain-lain,  terbukti mereka telah berjaya dalam jurusan yang mereka pilih. Cuba  tengok rekod-rekod daripada JPA sendiri, hanya segelintir kecil sahaja  yang gagal sebaliknya 90% mereka telah berjaya,"ujar Abbas. 
Najib  sebelum ini mendakwa, dasar sedia ada patut disemak semula kerana  kerajaan juga mengambil kira bahawa pemberian biasiswa di peringkat SPM  bukan idea yang bagus kerana ia setaraf dengan O-level.
"Memberikan  biasiswa di peringkat SPM bukan idea yang bagus. Malahan jika pelajar  cemerlang dalam O-level mereka, ini tidak bermakna mereka akan cemerlang  dalam A-level mereka.
"Jadi  akan diadakan semakan menyeluruh terhadap dasar kami tahun depan," kata  Najib semasa menjawab soalan seorang pemanggil semasa ditemu bual di  konti Radio One FM di Sri Pentas.
Semalam  misalnya Parti Hak Asasi Manusia (HRP) sekali lagi tampil menuntut  keadilan di atas penafian kerajaan Malaysia terhadap pelajar India dalam  pemberian biasiswa JPA,pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi  Nasional (PTPTN) dan juga penempatan mereka di matrikulasi dan  universiti.
Menurut  Ketua Penerangan HRP, S Jayathas,seramai 2,237 pelajar India yang  cemerlang dinafikan daripada mendapat biasiswa dan pinjaman serta tidak  mendapat tempat yang selayaknya di peringkat universiti.
Masalah  agihan biasiswa JPA 2011 sebelum ini penuh kontroversi hingga  menyebabkan ramai pelajar cemerlang SPM 2010 yang layak tidak menerima  biasiswa itu dan menimbulkan pelbagai tanda tanya. 
tv selangor/-
