20 Rejab 1432H. [MOD] -
KUALA  LUMPUR, 22 Jun: Dewan Ulama PAS Pusat menyeru diadakan Munajat Perdana  di seluruh negara sempena himpunan aman Bersih 2.0 yang dijadualkan pada  9 Julai ini.
“Sempena  himpunan aman Bersih 2.0 yang insya Allah akan diadakan 9 Julai ini,  maka Dewan Ulama PAS Pusat menyeru supaya seluruh pendukung PAS  pimpinan, ahli dan penyokong mengadakan munajat perdana secara  besar-besaran di stadium, padang-padang, markaz atau di mana-mana lokasi  yang sesuai,” kata Penolong Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Nazmi Nik  Din dalam satu kenyataan.
Katanya, Dewan Ulama setiap negeri diberikan tugas untuk menggerakkan dan merealisasikan ketetapan itu.
“Seluruh  ahli dan pendokong PAS diseru supaya berdoa dan memohon kepada Allah  SWT dengan rasa rendah diri dan tawadhuk di atas luar keupayaan kita  untuk menghadapi tipu daya dan kejahatan oleh pihak-pihak tertentu yang  mencemarkan proses pilihan raya di negara ini.
“Sebelum  ini kita telah mendengar pelbagai penyelewengan yang telah berlaku  untuk mengkhianati suara rakyat yang mahukan perubahan terhadap negara  Malaysia yang tercinta ini,” katanya.
Menurutnya,  apa yang berlaku di Terengganu dalam pilihan raya tahun 2004  menyedarkan kita bahawa BN Umno sanggup melakukan apa sahaja untuk  memastikan survival mereka terus kekal di Malaysia.
Manakala  baru-baru ini, ujarnya kita telah dikejutkan dengan laporan yang  menyatakan bahawa terdapat usaha-usaha pihak tertentu yang cuba  menyalahgunakan pendatang-pendatang asing untuk mencemarkan kemurniaan  dan ‘kebersihan’ pilihan raya di negara ini.
Dewan Ulama, katanya tidak akan merelakan perkara daripada terus berlaku di bumi Malaysia ini.
Beliau  menambah, Dewan Ulama akan menggunakan keupayaan yang syarie dan  berlandaskan undang-undang negara untuk menjadi benteng bersama sayap  yang lain untuk mempertahankan kemurniaan ini.
Jelasnya,  Dewan Ulama tidak akan membiarkan mana-mana pihak tertentu samada parti  atau NGO untuk menangguk di air yang keruh bagi merosakkan hubungan  yang harmoni di antara rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama ini.
“Dewan  Ulama insya Allah akan memastikan agar himpunan Bersih 2.0 menjadi  platform dan simbol perpaduan dan kesatuan rakyat dari pelbagai latar  belakang,” ujarnya.
harakahdaily/-
