
22 Rejab 1432H. [MOD] -
KUALA  LUMPUR – Lebih 300 pemeriksa kenderaan di Puspakom Sdn Bhd (Puspakom)  mengadakan piket kelmarin kerana tidak berpuas hati dengan isu  kebajikan. 
Presiden  NUCW, Mustapa Kasim berkata, melalui piket itu, mereka cuba menyuarakan  berhubung pertikaian perjanjian bersama antara NUCW dan Puspakom dalam  isu kebajikan pekerja. 
Menurutnya,  sejak Mac tahun lalu, proses rundingan perjanjian bersama dibuat  sebanyak tujuh kali, namun syarikat tetap enggan melakukan perubahan  daripada cadangan asal (syarikat) yang boleh diterima kesatuan. 
“Kita  (NUCW) beri beberapa cadangan berkaitan faedah persaraan dan perubatan,  kos elaun saraan hidup, bonus, pelarasan gaji serta struktur gaji  (kenaikan tahunan) tetapi ditolak syarikat. 
“Syarikat  sebaliknya beri pelarasan gaji lima peratus yang tidak langsung  mengambil kira kadar inflasi dan kos sara hidup yang semakin meningkat,”  katanya kelmarin. 
Mustapa  berkata, kakitangan juga tidak berpuas hati dengan perubahan jam waktu  operasi (bekerja) daripada 48 jam seminggu kepada 60 jam seminggu yang  dilaksanakan sejak Selasa lalu. 
Menurutnya,  mereka juga tidak berpuas hati berhubung pemberian gaji kerana pekerja  baru menerima gaji lebih tinggi daripada pekerja lama. 
Sementara  itu, Jabatan Komunikasi Puspakom dalam kenyataan balas menyifatkan  beberapa dakwaan NUCW, termasuk syarikat mengabaikan kebajikan pekerja,  sebagai tidak benar. 
Menurutnya, tuduhan syarikat menolak beberapa cadangan NUCW adalah tidak benar, sebaliknya ia masih dalam proses rundingan. 
“Syarikat  bersetuju dengan beberapa cadangan NUCW, namun bagi cadangan yang masih  dalam proses rundingan, mereka enggan meneruskannya. 
“Dakwaan  syarikat mengurangkan umur persaraan daripada 60 kepada 56 tahun adalah  tidak benar kerana kedua-dua belah pihak bersetuju bagi pekerja-pekerja  baru, umur persaraannya adalah 56 tahun dan syarikat juga tidak  berhasrat mengurangkan umur persaraan bagi pekerja sedia ada seperti  ditawarkan iaitu 60 tahun,” katanya kenyataan media itu semalam. 
Mengenai  klasifikasi baru kakitangan pemeriksaan kenderaan daripada bukan  eksekutif kepada eksekutif, Puspakom mempunyai dua skim perjawatan. 
Menurut  kenyataan itu, Puspakom memastikan bahawa jumlah waktu bekerja setiap  pemeriksa kenderaan tidak melebihi had ditetapkan undang-undang di bawah  Akta Kerja 1955.
sinarharian/-
