
14 Rejab 1432H. [MOD] -
SANAA,  Yemen - Militan-militan Islam melancarkan serangan mengejut pada waktu  subuh di Houta, selatan Yemen semalam dan menawan beberapa kawasan  bandar berkenaan selepas bertempur dengan tentera pemerintah, kata  pegawai-pegawai keselamatan.
Beberapa  kawasan penduduk di Houta yang merupakan ibu negeri wilayah Lahj, jatuh  ke tangan kumpulan terbabit yang turut dianggotai anggota Al-Qaeda.
Serangan  berlaku sehari selepas seorang pegawai kanan Amerika Syarikat (AS)  menyatakan, AS bimbang kekacauan berterusan di Yemen akan mengukuhkan  kerjasama di antara militan Al-Qaeda rantau Arab dengan kumpulan pemisah  Al-Shabab di Somalia.
Koordinator  antipengganas Jabatan Negara AS, Daniel Benjamin turut berkata,  anggota-anggota pemisah Yemen kini semakin berani untuk beroperasi  secara terbuka dan berupaya menguasai lebih banyak wilayah.
Beberapa  pegawai keselamatan Yemen pula memberitahu, sejumlah militan bergerak  menerusi beberapa kawasan penduduk di bandar pelabuhan Aden, selatan  negara itu awal semalam dan melepaskan tembakan ke arah pasukan  keselamatan.
Bagaimanapun, mereka tidak memberikan butiran lanjut berhubung insiden itu.
Kekacauan  di Yemen itu berlaku ekoran tunjuk perasaan dilakukan rakyat bagi  menuntut peletakan jawatan Presiden Ali Abdullah Saleh. - Agensi
