|     KUALA LUMPUR, 5 Jun:   PAS meluluskan usul menggesa seluruh rakyat Malaysia menyertai  Himpunan  Bersih II pada 9 Julai di ibu negara dengan sasaran 300,000  peserta  dari PAS sahaja.
  Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu  ketika  membentangkan usul tersebut berkata, seluruh ahli PAS di semua  peringkat  harus menyertai himpunan tersebut kerana empat tuntutan  Bersih 2007  lalu tidak dipenuhi kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya  (SPR).
  Menurutnya juga, usaha mendaftarkan warga asing sedang berleluasa di Selangor dan turut berlaku di negeri-negeri lain.
  "Satu pun tuntutan Bersih pada 10 November 2007 tak ditunai pemerintah.
  "Daftar   automatik tak ditunai walaupun kes di Likas Sabah yang dibuktikan di   mahkamah oleh Hakim Datuk Kamil Awang adanya kes pemberian kad   pengenalan kepada warga asing," kata beliau yang merupakan salah seorang   penggerak Bersih.
  Tambah beliau juga, amat menghairankan apabila daftar pengundi di Terengganu meningkat secara mendadak sejak 1999 hingga 2004.
  Perkara ini katanya mustahil berlaku tanpa bantuan SPR dan Jabatann Pendaftaran Negara (JPN).
  "Kalau   aktif daftar pemilih boleh naik dari 4 hingga 7 peratus sahaja tapi di   Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004 daftar pemilih naik 17 peratus.
  "Ini   tidak mampu dilakukan parti politik melainkan bantuan SPR, polis dan   Jabatan Pendaftaran Negara yang lakukan kerja itu," katanya.
  Beliau turut menyentuh mengenai undi pos yang meragukan seperti yang berlaku dalam siri pilihan raya kecil sebelum ini.
  "Undi   pos terus kita ragu bayangkan di Tenang (PAS) hanya dapat undi pos 3   undi BN 115. Undi Senadin Pakatan mendahului lebih 1000 undi tapi bila   datang undi pos calon Pakatan kalah 58 undi," katanya.
  Tambahnya juga, media di Malaysia masih berada di zaman Tok Kadok (kuno) apabila hanya menyiarkan berita sebelah pihak sahaja.
  "Kita   lihat di muktamar, kita ditemubual, pelbagai pandangan kita beri,   kamera berkelip di depan mata sampai kelabu tapi bila tengok berita tak   ada (keluar).
  "PRU di Singapura walaupun Singapura sama dengan   Malaysia dari segi kongkongannya tapi semua pemimpin pembangkang boleh   bercakap di radio dan televisyen.
  "Di Malaysia media masih di zaman Tok Kadok tak ada kebebasan diberi kepada pemimpin walaupn dalam saluran kerajaan," katanya.
  |