
14 Rejab 1432H. [MOD] -
IPOH,  16 Jun: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menyokong penegasan Ketua Dewan  Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan bahawa akan tetap menerus  perancangan bagi menjayakan himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9  Julai ini di Kuala Lumpur.
Ketua  penerangannya, Mohd Akmal Kamarudin berkata, seramai 30 ribu akan  bersama-sama untuk turun di dalam himpunan tersebut dan menyeru kepada  rakyat Negeri Perak yang dinafikan hak mereka memilih menteri besar yang  sah supaya dapat turut bersama.
“Kami  tegaskan bahawa apa yang akan dilakukan ini adalah satu jihad  menegakkan keadilan dan kami ingin pastikan satu cara yang akan merubah  sistem pilihan raya yang benar-benar bersih tanpa penyelewangan,”  katanya dalam satu kenyataan.
Beliau  mengulangi bahawa himpunan itu bukan bertujuan untuk menjatuhkan  kerajaan, tetapi ianya bertujuan menuntut agar kerajaan akur dengan  tuntutan rakyat supaya pilihan raya perlu bersih bagi memastikan Umno  Barisan Nasional (BN) tumbang pada pilihan raya yang akan datang kerana  telah banyak menyusahkan dan menipu rakyat selama ini.
“Kita  hanya menuntut pihak Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya  Malaysia agar melaksanakan tuntutan penggunaan dakwat kekal (sebagaimana  yang dilakukan di Indonesia dan India) untuk menghalang pengundian  berganda, pemansuhan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat  dan pengundi lain di luar negara.
“Penyemakan  semula daftar pemilih yang lengkap demi memastikan segala kesalahan dan  ketimpangan yang sedia ada dapat dihapuskan dan menyediakan satu daftar  pemilih yang sebenar-benarnya telus dan meyakinkan,” katanya.
Selain  itu, ujarnya semua parti yang bertanding sepatutnya menerima akses yang  sama rata kepada media yang dikawal kerajaan terutamanya TV dan radio.
Tambahnya,  iklan politik daripada semua parti mestilah diterima tanpa sebarang  sikap pilih kasih sementara media juga perlu memberi hak menjawab  sekiranya terdapat laporan berunsur negatif yang berkaitan dengan  seseorang ahli politik atau parti politik.
“Kami  tidak gentar dengan pelbagai ugutan daripada pihak yang tidak  bertanggungjawab bagi memastikan kegagalan himpunan ini nanti tetapi
kami pertegaskan bahawa himpunan tersebut adalah hak dan demokrasi yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara.
“Kami  bersama badan bukan kerajaan atas nama Bersih akan bersedia berdepan  dengan Perkasa yang mengetuai Kotor (Badan Bertindak Pilihanraya Kotor)  nanti,” katanya.
harakahdaily/-
