
14 Rejab 1432H. [MOD] -
Menteri  di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menafikan  laporan portal berita mengenai 135 kes permohonan murtad diluluskan bagi  tempoh 2000 hingga 2010.
Beliau menegaskan bahawa sehingga kini belum ada satu pun kes murtad yang diluluskan oleh Mahkamah Syariah, lapor Bernama.
Jamil  Khir menjelaskan 135 kes itu dipohon di bawah murtad tetapi setelah  diteliti oleh Mahkamah Syariah mereka didapati tidak sah masuk Islam,  sekali gus tidak timbul soal (mereka) murtad.
"Timbul  kekeliruan di sini, contohnya seseorang itu memohon untuk kedudukannya  sebagai Islam, tetapi kemudian mahu kembali ke agama asalnya, setelah  disiasat, mahkamah mendapati dia bukan Islam, jadi tidak timbul soal  murtad.
"Sama  juga untuk pasangan berkahwin yang hendak daftar untuk perceraian,  tetapi mahkamah mendapati mereka berkahwin secara tidak sah di Thailand  kerana tiada saksi dan wali, jadi tidak timbul soal perceraian," katanya  kepada Bernama pada Rabu.
Malaysiakini kelmarin melaporkan jumlah permohonan untuk murtad adalah 686 manakala permohonan yang diluluskan adalah 135 orang.
Jawapan di parlimen
Laporan  itu dibuat berdasarkan jawapan Jamil Khir yang menjawab pertanyaan  lisan anggota parlimen Bakri Er Teck Hwa di parlimen kelmarin.
Soalan  itu berbunyi: "Tuan Er Hwa [Bakri] minta perdana menteri menyatakan  jumlah permohonan murtad bagi penganut Islam dan berapakah permohonan  yang diluluskan mengikut negeri dari tahun 2000 - 2010 serta tindakan  Jabatan Agama Islam untuk menangangi gejala murtad."
Sementara  jawapan Jamil Khir pula berbunyi: "Permohonan menukar status agama oleh  orang Islam di Mahkamah Syariah dari tahun 2000 hingga 2010 adalah  berjumlah 863 kes. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 168 kes telah  diluluskan."
Jamil Khir juga memberikan statistik lengkap yang menyatakan jumlah permohonan dan kelulusan mengikut negeri.
Bagaimanapun perangkaan yang dibekalkan kepada Dewan Rakyat itu tidak selaras dengan jumlah yang dikira.
Mengikut  kiraan Malaysiakini, jumlah permohonan untuk murtad adalah 686 manakala  permohonan yang diluluskan pula adalah 135 orang.
malaysiakini/-
