4 Rejab 1432H. [MOD] -
Apakah bahayanya jika golongan profesional menguasai PAS? 
Mengapa Utusan Malaysia dan  akhbar arus perdana begitu takut dengan keputusan pemilihan perwakilan  muktamar PAS ke-57? Apakah perubahan besar yang mereka jangka akan  berlaku berikutan keputusan ini?
Benarkah dalam muktamar PAS kali  ini golongan ulama tewas? Tepatkah bacaan dan tafsiran yang dibuat oleh  media arus perdana yang memang selama ini tidak pernah bersimpati  kepada PAS dan kerabat Pakatan Rakyat itu? 
Yang jelas, tafsiran dan  analisis media arus perdana yang diketuai oleh Utusan Malaysia ini  memang salah! Mungkin kesalahan ini berlaku kerana kejahilan atau niat  sengaja untuk mencari-cari kelemahan dalam PAS dan Pakatan Rakyat. 
Hakikatnya ialah, PAS memang  sebuah parti yang bergerak berteraskan ajaran Islam. Maka setiap ahlinya  secara langsung atau tidak harus melalui proses tarbiyah untuk bukan  sahaja mengenali erti halal haram tetapi bagaimana menentukan keadilan  kepada semua dalam tata-kelola negara dan masyarakat. 
Sebab itu, apabila Utusan dan  Berita Harian membuat laporan kekalahan ulama dalam muktamar kali ini,  ia menggambarkan kebebalan mereka memahami sejarah, ideologi perjuangan  dan juga konsep politik yang diperjuangkan parti itu. 
Menurut Datuk Husam Musa,  seorang yang digelar profesional dan dikatakan condong kepada pemikiran  Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, setiap pemimpin profesional  yang dipilih menerajui PAS kali ini adalah anak didik ulama PAS  sendiri.
Ulama kalah?
Oleh itu, tidak timbul soal  ulama kalah dalam pemilihan kali ini. Sebaliknya, ulama yang menang.  Pentarbiyahan ulama PAS sudah menampakkan hasilnya. Anak-anak muda yang  dilatih dengan sejarah perjuangan PAS dan memiliki ijazah profesional  kini menggalas tanggungjawab menjadikan PAS parti lebih dinamis dalam  iklim politik Malaysia. 
Lantas apa yang dapat  disimpulkan daripada laporan media arus perdana akan pemikiran pemimpin  Umno, ahli-politik yang tercicir dalam sayembara siasah Malaysia dan  media pencacai mereka ialah cemas, kalut dan sedih. 
Nada cemas dan membuahkan reaksi  kalut ini dapat diukur di segi betapa bercelarunya komen yang dikutip  oleh akhbar-akhbar pro-Umno ini. Ada di kalangan pemimpin UImno yang  meratapi anjakan yang dibuat oleh PAS kerana dikatakan tidak lagi  memperjuangkan konsep negara Islam dan memilih moto negara berkebajikan.
Jika benar mereka ikhlas dalam  memberi komen, maka kini barulah kita tahu bahawa mereka selama ini  adalah pengkagum PAS yang mahu menegakkan negara Islam. Dan, kini mereka  amat bersedih kerana PAS beranjak mahu negara berkebajikan. Salah  seorang dari mereka dari golongan ini adalah Ketua Pemuda Umno, Khairy  Jamaluddin.
Rupa-rupanya Utusan dan pemimpin  Umno berkenaan cuba belajar dari sejarah. Melihat kejayaan pejuang  Islam mengambil alih pemerintahan Turki dari golongan sekular seperti  Umno di Malaysia, mereka cuba melekatkan persepsi bahawa golongan ini di  bawah payung pemikiran Anwar Ibrahim mahu mengambil alih pemerintahan  negara daripada Umno yang sekular. 
Mereka namakan golongan ini sebagai kumpulan Erdogan, sempena nama pemimpin gerakan Islam Turki hari ini.
Janda politik
Baiknya sudut pandangan ini  ialah, Utusan dan pemimpin Umno berkenaan mengaku bahawa golongan  sekular memang boleh ditundukkan seperti yang berlaku di Turki dan dalam  iklim politik Malaysia yang sekular ialah Umno. 
Cuma cop kumpulan Erdogan ini  digunakan untuk menakut-nakutkan orang Melayu yang belum celik perubahan  sejarah, betapa Umno yang sekular akan tersungkur dalam pilihan raya  umum akan datang.
Ada juga yang tiba-tiba  menafsirkan pemilihan itu sebagai kejayaan DAP menyempurnakan  penguasaannya terhadap parti berteraskan perjuangan Islam dan Melayu  itu. Seorang yang mempunyai pemikiran liar begitu ialah, janda politik,  yang menjadi wakil rakyat tetapi tidak mempunyai parti selepas  diceraikan oleh PKR.
Entah ilmu mantik apa yang  digunakannya, kesimpulan beliau bahawa DAP kini sudah menguasai PAS  ternyata ucapan seorang yang “meroyan”.
PAS dengan DAP kini merintis  jalan mencari lebih banyak titik persamaan – menumbangkan Umno-BN – dan  tidak timbul soal siapa menguasai siapa. Namun tidak sukar difahami  pemikiran Zulkifli yang sempit kerana telah terlalu lama hidup  bersendirian sebagai seorang “janda politik”.
Mungkin dengan bercakap betapa  PAS terlepas peluang pimpinan ulama, Zulkifli berharap ada ulama yang  menaruh belas kasihan dan melamarnya untuk masuk PAS seperti Ibrahim Ali  yang tidak berparti tetapi diambil PAS untuk menjadi anak angkat dan  disokong bertanding pilihanraya umum ke-12 lalu. Namun bila golongan  profesional memimpin PAS, peluang ini tertutup sama sekali. Kasihan  Zulkifli si-janda politik.
Diterima di akhirat 
Apa jua logik yang digunakan  untuk menafsirkan pemilihan lebih ramai profesional dalam barisan  pimpinan PAS itu, ternyata dibuat dari lubuk hati yang cemas dan  menghasilkan komen yang kalut dan dangkal.
Pengkagum Umno, Syed Azidi Abdul  Aziz yang menggunakan nama samaran Kickdefella dalam blognya,  menyatakan bahawa bagi rakyat Malaysia beragama Islam, pertembungan PAS  dan Umno pada masa hadapan bukan lagi untuk memilih syurga dan neraka di  akhirat, tetapi syurga dan neraka di dunia mereka.
Jelas betapa sempitnya kefahaman  Islam Kickdefella ini. Mungkin beliau tidak faham bahawa kebaikan dan  keadilan yang dilaksanakan di dunia ini akan menentukan ganjaran apa  yang diterima di akhirat. Sebab itu PAS mahu menegakkan negara  berkebajikan untuk kebaikan umat di dunia demi mendapat ganjaran syurga  di akhirat! 
Sukar hendak pastikan pandangan  insan sebegini sama ada ia bebal, jahil atau semata-mata kerana pintu  hati sudah tertutup daripada mengenali kebenaran.
Pandangan yang meragu-ragukan  seumpama ini dikutip oleh Utusan daripada Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya.  Beliau dilaporkan sebagai mencabar PAS supaya segera menjelaskan  pengertian negara berkebajikan dan tidak meninggalkan rakyat  tertanya-tanya apakah pengertian negara Islam yang sebelum ini hendak  diperjuangkan oleh PAS.
Penghinaan dayafikir Melayu-Islam
Jika benar itu yang dikatakan  oleh Dr Juanda, maka ternyata beliau pun tidak jauh daripada kelompok  Kickdefella. Cuma jika benar Dr Juanda berkata demikian, maka dia  sendiri seharusnya tahu apa hukumnya iaitu, tugas seorang mufti  seharusnya turut mengimarahkan konsep negara berkebajikan ke cuping  telinga pemimpin-pemimpin Umno beragama Islam dan bukan cuba menanam  kesangsian di kalangan rakyat mengenai konsep negara berkebajikan itu. 
Namun Awang Selamat, jaguh  Utusan, seperti biasa cuba melontarkan sudut pandang yang negatif  terhadap sesiapa sahaja yang cuba mencabar Umno. Kini apabila PAS  melangkah untuk membuktikan dinamisme politiknya, Utusan meratapi  kekurangan bilangan kepemimpinan ulama dalam PAS. 
Memang sikap hipokrit. Ini  kerana apabila PAS dipimpin ulama, mudah bagi Utusan menggambarkan  betapa ulama tidak arifnya kepemimpinan PAS dalam banyak hal tatakelola  kerajaan dan isu antarabangsa.
Ini memang alur pemikiran umno.  Jika rakyat terus dibebalkan dengan hiburan dan kemunduran ekonomi, ia  beranggapan bahawa rakyat, khususnya melayu, akan terus bergantung harap  kepada Umno untuk memelihara dan memperjuangkan nasib dan masa depan  ekonomi mereka. 
Maka Utusan dan media pro-Umno  menggunakan logik ini dalam menafsirkan apa yang berlaku dalam PAS.  Ternyata andaian atau gagasan pemikiran ini salah, zalim. Malah ia satu  penghinaan terhadap dayafikir orang Melayu-Islam yang membuat dalam  keputusan memilih barisan pimpinan baru PAS.
Sebenarnya, apa yang ditakuti  ialah golongan profesional Islam ini akan berhasil meneraju PAS diterima  setiap lapisan rakyat Malaysia dan menggantikan Umno!
M/kini
