
14 Rejab 1432H. [MOD] -
KUALA  LUMPUR, 16 Jun: Perkasa yang dikatakan ingin mempertahankan hak orang  Melayu Islam dalam semua aspek dan hak pribumi tetapi mengapa senyap  daripada memperkatakan isu murtad.
Dewan  Pemuda PAS Pusat melihat penyata rasmi yang dikeluarkan oleh Parlimen  Malaysia jawapan bertulis daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri,  Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mengatakan  Mahkamah Syariah telah menerima 863 kes permohonan untuk menukar status  agama Islam dari tahun 2000 hingga 2010 ketika menjawab soalan lisan  daripada Er Teck Hwa (DAP-Bakri) dengan sebanyak 135 orang yang  diluluskan untuk keluar Islam tanpa dapat mendengar suara daripada  Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) walaupun presidennya juga  adalah seorang ahli parlimen.
“Apakah pendirian Perkasa di dalam isu murtad sepertimana yang dilaporkan di dalam Dewan Rakyat pada 14 Jun lepas?
“Apa  yang dilakukan oleh Datuk Ibrahim Ali setelah diperjelaskan oleh Datuk  Seri Jamil Khir berkaitan statistik tersebut?” tanya Naib Ketua Pemuda  PAS Pusat, Dr Raja Ahmad al-Hiss (gambar).
Pemuda  PAS, katanya  curiga pendekatan selama ini yang dimainkan oleh Perkasa  jika isu murtad langsung tidak memberikan kesan sensitif terhadap  perjuangannya yang wujud selama ini.
Baginya, hanya dengan keberanian di dalam akhbar sahaja, Perkasa sesuai menukar namanya kepada Perkasi.
“Bagi  kami, perjuangan Perkasa hanya berkisar elemen politik kepartian  semata-mata. Perkasa langsung tidak sensitif terhadap isu murtad yang  melanda umat Islam kini,” katanya.
Menurutnya,  Perkasa akan hanya sensitif terhadap isu politik yang menyentuh PAS,  PKR dan DAP sahaja dan akan terus menjuarai isu politik untuk  mempertahankan Umno  Barisan Nasional (BN) sahaja.
Beliau  menambah, jelas rakyat perlu menolak perjuangan Perkasa yang  berteraskan politik semata-mata tanpa melihat bahawa isu murtad sebagai  keutamaan daripada isu politik tanah air.
Dalam masa yang sama, ujarnya Perkasa dilihat takut menegur kerajaan di dalam isu aqidah dan kepentingan agama selama ini.
harakahdaily/-
