12 Rejab 1432H. [MOD] -
Ahli  Majlis Tertinggi UMNO, Dr Mohd. Puad Zarkashi kelmarin mencabar PAS  menggugurkan perkataan Islam pada nama parti itu bagi menjaga  hubungannya dengan parti pembangkang yang lain. Terfikir juga dibenak  hati ini mengapa terlalu bencinya pemimpin Umno ini kepada nama `Islam'.
Pemimpin  Umno semenjak dahulu hingga kini masih gagal mengemukakan hujah apakah  kesalahan PAS di dalam menggunakan nama `Islam' di dalam parti tersebut.  Kita tahu di zaman Tun Dr Mahathir menjadi PM, sudah ada usaha untuk  mengharamkan nama `Islam' di dalam parti. Alhamdulillah, ketika itu  Majlis Fatwa tegas menyebut bahawa tiada salahnya nama `Islam'  dimartabatkan.
Sekiranya  Umno yang memartabatkan nama bangsa Melayu dan semangat kebangsaannya  di dalam parti mereka, apakah dosa besar bagi PAS untuk memartabatkan  nama `Islam'? Jika mahu disebut dengan hujah betapa Umno lah sebenarnya  `menjual' nama bangsa di dalam parti berkenaan, tidak cukup halaman  untuk kita membuktikannya. Paling mudah, Dasar Ekonomi Baru (DEB)  ternyata gagal mengangkat bangsa Melayu walaupun telah berpuluh tahun  ianya dilaksanakan sehingga dasar tersebut tenggelam begitu sahaja.
Di  mana salahnya PAS di dalam menggunakan nama `Islam' di dalam parti  tersebut? Adakah PAS melakukan perkara yang bertentangan dengan Islam?  Adakah PAS merestui amalan rasuah dengan melantik kaki rasuah menjadi  Ketua Menteri/MB Negeri atau Ketua Pemuda? Mungkin Ali Rustam dan KJ  boleh menjawab hujah ini. Adakah PAS juga memilih kaki rasuah sebagai  Wakil Rakyat? Mungkin Isa Samad tahu hal ini. Pernahkah PAS bercita-cita  untuk meluluskan judi bola sepak Piala Dunia? Atau, pemimpin PAS  terlibat dengan tragedi pembunuhan Altantuya? Mungkin Najib boleh  terangkan jawapannya.
Pernahkan  PAS merestui akta zalim Akta ISA yang diharamkan oleh Islam itu? Cuba  buktikan siapa pemimpin PAS yang tidak bermoral dan isterinya tidak  menutup aurat? Hal ini boleh ditanya kepada Najib dan Rosmah atau pun  Shahrizat Jalil. Cuba pemimpin Umno berani sedikit untuk berhujah bagi  menyatakan betapa PAS perlu membuang nama Islam di dalam parti tersebut  kerana PAS melakukan perkara yang bertentangan dengan Islam.
Adakah  dengan Konsep Negara Berkebajikan, bersahabat dengan DAP dan PKR boleh  dianggap bertentangan dengan Islam? Adakah bersubahat dengan Umno yang  menjadi sekutu Apco serta terus mengekalkan kezaliman dan penindasan  terhadap rakyat, menyalahgunakan kuasa, mempertahankan kroni dan banyak  lagi dasar Umno yang bertentangan dengan moral, akhlak serta Islam itu  boleh dianggap bersesuaian dengan Islam?
Nampaknya  Umno semakin tidak menentu apabila PAS kini membuka lebih luas ruang  untuk rakyat menerima perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Jika  sebelum ini Umno terlalu gilakan DNA atau sumpah laknat DS Anwar, kini  Umno mula tergila-gilakan `Negara Islam dan Hukum Hudud' pula. Setiap  hari media pencacai mereka menyebut tentang Negara Islam yang kununnya  telah ditinggalkan oleh PAS. Jika benar ikhlas, kuasa kini berada di  tangan mereka, Nah, laksanakan lah jika benar-benar ikhlas.
Sehingga  saya selesai menulis artikel ini, saya masih belum mendapat jawapan  mengapa pemimpin Umno terlalu benci kepada nama `Islam' tetapi mahu  kepada Negara Islam. Mungkinkah tahap meroyan Umno kini semakin  kritikal?
wfauzdin.blogspot.com
