
22 Rejab 1432H. [MOD] -
KUALA  LUMPUR, 24 Jun: Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad, dicabar untuk  berdialog secara terbuka dengan Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda  Kebangsaan Cawangan Lembah Klang (Anak Lembah Klang) bagi menjelaskan  hal pinjaman RM6 bilion dan kerugian anak-anak syarikat Felda.
Anak  Lembah Klang bersedia menyiapkan pentas terbuka untuk diadakan dialog  tersebut dan Isa Samad diberikan tempoh tiga hari bagi menjawab  kesediaannya untuk menyambut cabaran itu.
Jika  tidak, ia jelas menggambarkan ada 'masalah besar' yang dihadapi Felda  hari ini di bawah kendalian Isa Samad dan beliau mesti bertanggungjawab  dengan semua itu.
Naib  Pengerusi Anak Lembah Klang, Mohd Nasaie Ismail berkata, kenyataan Isa  Samad bahawa pinjaman Felda kepada KWSP sebanyak RM6 bilion bukanlah  satu masalah dan ia merupakan penghormatan kepada Felda, jelas merupakan  satu penghinaan kepada golongan peneroka, anak peneroka dan warga  Felda.
Menurut  beliau, jawapan tersebut menampakkan sikap Isa yang menganggap golongan  peneroka, anak peneroka dan warga Felda seolah-olah buta maklumat  sehingga sanggup ditipu oleh beliau.
"Masakan  tidak ada sebarang masalah, kita membuat pinjaman dan pinjaman ini  dalam jumlah yang besar hampir lima kali ganda daripada keuntungan  tahunan Felda yang dihebahkan kepada kita.
"Kita  juga pelik, mengapa Isa boleh katakan kerugian Felda bukanlah suatu  masalah sebaliknya ia boleh diurus supaya kerugian itu menjadi baik.  Mana ada kerugian dikira baik. Rugi sememangnya petanda buruk kepada  agensi milik rakyat Malaysia ini," katanya dalam kenyataan kepada  Harakahdaily, hari ini.
Anak  Lembah Klang, menurut beliau, mempersoalkan apakah tujuan dipinjam wang  sehingga RM6 bilion dan mengapa perlu dipinjam daripada agensi yang  lain?
"Persoalannya  juga, apakah wujudnya kekurangan dana Felda atau benarkah dengan  dakwaan wang dipinjam digunakan untuk belanjawan pilihanraya parti  pemerintah? Ini yang perlu dijawab," katanya yang juga Ketua Penerangan  PAS Wilayah Persekutuan.
Jika  begitulah cara berfikir Pengerusi Felda, tegasnya, tidak mustahil Felda  akan bankrap di bawah pengurusan Isa Samad sebagaimana lingkupnya  Negeri Sembilan dibawah beliau.
"Anak  Lembah Klang juga menasihatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar  Ibrahim dan Presiden Anak, Mazlan Aliman supaya tidak membalas kenyataan  Isa itu kerana lavel pemikiran dan jawapannya cukup sekadar anak-anak  peneroka seperti kami sahaja menjawabnya," ujar beliau.
Aziz Muda 
harakahdaily/-
