
12 Rejab 1432H. [MOD] -
PAS  menyelar pemimpin Umno yang didakwanya bersikap seperti berpenyakit  bebal kerana cuba mengeksploitasi isu pilihan raya masjid yang  diperkenalkan kerajaan negeri Pulau Pinang.
Ahli  jawatankuasa PAS Pusat Idris Ahmad mendakwa tujuan isu itu diekploitasi  dengan harapan "orang Melayu semakin marah dengan Pakatan Rakyat kerana  mempolitikkan masjid".
"Mereka akan manipulasi isu ini untuk menuduh kerajaan Pakatan Rakyat menimbulkan kecelaruan kepada orang Islam. 
"Apa  yang paling kelakar mereka berhujah kenapa kuil dan gereja tidak ada  pemilihan ahli jawatankuasa seperti pemilihan ahli jawatankuasa masjid,"  katanya dalam satu kenyataaan.
Idris  mendakwa Umno sebenarnya mahu melindung kerja jahat mereka terhadap  institusi masjid di bawah kerajaan BN kerana didakwa pemilihannya "tidak  demokratik dan dipilih oleh pemimpin Umno bukan anak kariah". 
"Perlantikan  bukan ahli masjid, yang tidak layak dari segi peribadi untuk imarahkan  masjid. Tetapi oleh kerana ia dibinkan dengan Umno maka semua boleh.
Umno meniru
"Kita  boleh lihat masjid di negeri Umno dan Pakatan Rakyat dari segi imarah.  Masjid di negeri Umno mati sebelum ahli kariah mati," katanya.
Idris  mendakwa Umno bersikap anti pembaharuan kerana "berfikiran jumud dan  zero IQ" sehingga menyebabkan setiap pembaharuan yang ingin dibuat "akan  ditentang secara melulu walaupun akhirnya mereka akan meniru".
"Rakyat  Malaysia tentu masih ingat ketika Kerajaan Kelantan memperkenalkan hari  bekerja selama lima hari seminggu, pemimpin Umno menuduh kerajaan  Kelantan malas dan akan merendahkan produktiviti. 
"Tidak berapa lama kerajaan pusat mengikut jejak langkah yang sama," katanya yang juga bekas ketua penerangan PAS Pusat.
Sedangkan  katanya, perubahan cara pemilihan jawatankuasa masjid itu sahaja yang  berubah berbanding dahulu undian dilakukan dengan cara angkat tangan.
Katanya,  pemilihan jawatankuasa kariah masjid itu mengikut Seksyen 104 (1) (b)  Enakmen Negeri Pulau Pinang 2004 dan 4(1) Kaedah-kaedah Jawatankuasa  Kariah dan Pegawai Masjid (negeri Pulau Pinang).
MALAYSIAKINI/-
