23 Rejab 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 24 Jun: Umno  Bahagian Pasir Puteh, Kelantan, diingatkan agar jangan menipu rakyat  dengan jumlah kehadiran ahli Umno yang akan menyambut kedatangan  Presiden parti itu pada 2 Julai ini.
Dalam  masa yang sama, Dewan Pemuda PAS Pasir Puteh turut  mengingatkan pihak  Umno  agar tidak mempergunakan guru-guru sekolah dan Kafa untuk  dijadikan alat suruhan bagi memenuhi majlis berkenaan.
Naib  Ketua Dewan Pemuda PAS Pasir Puteh, Mohd Nazry Mohamad Nor berkata,  pihaknya telah menerima aduan daripada guru-guru bahawa mereka bakal  diwajibkan menghadiri program berkenaan, sedangkan kehadiran Datuk Seri  Najib bukan atas lawatan rasmi kerajaan, sebaliknya bagi tujuan parti.
Menurut  belliau, biarkan kakitangan awam menentukan sikap mereka dalam  berpolitik. Jangan kongkong mereka dengan arahan wajib. Mereka bukannya  budak tadika yang sewenang-wenangnya boleh diarah untuk menghadiri  sesuatu program parti.
Katanya,  pihak PAS yakin Umno makin tertekan dengan konsep Negara Berkebajikan  yang diperkenalkan oleh PAS sehingga menyebabkan mereka gopoh dalam  menjawab agenda itu.
"Mereka  terpaksa mendatangkan Presiden parti bagi memulihkan semangat ahli yang  semakin celaru dengan sikap pendirian parti dalam isu-isu dalam  negara," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.
Kecelaruan  mereka itu, menurut beliau, jelas nampak dalam isu Himpunan Bersih 2.0  yang akan diadakan pada 9 Julai nanti, apabila Menteri Dalam Negeri yang  juga Ahli Majlis Tertinggi Umno memberi amaran kepada rakyat untuk  tidak turun pada demonstrasi berkenaan.
Dalam  masa yang sama, katanya, Ketua Pemuda Umno berkeras untuk membawa  pemuda parti itu untuk turut sama berdemonstrasi pada hari berkenaan  bagi tujuan yang hampir sama dengan apa yang dibawa oleh Bersih.
"Sehingga  sekarang Umno masih mengamalkan budaya politik lama dengan cara  menggunakan segala jentera kerajaan untuk menang dalam pilihanraya,  tanpa dengan kekuatan parti mereka," katanya.
Semalam,  Bernama melaporkan, kira-kira 20,000 ahli Umno Bahagian Pasir Puteh  dijangka menyertai program lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak, ke jajahan itu dalam rangka lawatan kerja sehari beliau ke  Kelantan pada 2 Julai ini.
Ketua  Umno  Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman berkata, selain itu badan  bukan kerajaan (NGO) terutama golongan belia, peniaga, petani dan  nelayan akan turut serta pada majlis berkenaan.
"Lawatan  ini julung kali diadakan selepas Datuk Seri Najib Razak menyandang  jawatan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita di Pasir Puteh.
Beliau  berkata, Perdana Menteri akan menemui peniaga di Pasar Pasir Puteh dan  pemandu kereta sewa yang dilantik sebagai "duta kecil" untuk membantu  kerajaan dalam usaha menyampaikan konsep 1Malaysia kepada masyarakat  umum.
Katanya,  selepas majlis berkenaan, Najib akan ke Sekolah Kebangsaan Seri Aman  untuk menemui ahli parti termasuk pegawai Kerajaan Persekutuan terutama  kaum pendidik dan akan menyampaikan amanat penting kepada mereka.
Zawawi  dilaporkan berkata, pada kesempatan itu, beliau akan menyampaikan  hasrat penduduk Pasir Puteh yang mahukan Kerajaan Pusat menyegerakan  pembinaan sebuah institusi pengajian yang berasas kejuruteraan laut yang  dicadangkan dibina di Tok Bali.
Perdana  Menteri kemudian akan menemui veteran Umno di Masjid Pulai Lima dan  menunaikan solat sebelum ke Machang. Pada sebelah malam, Najib akan ke  Kota Bharu sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.
Menurut  Mohd Nazry, beliau yakin mereka yang dipaksa hadir ke majlis berkenaan  cerdik untuk menilai pendekatan politik pembangunan yang bertujuan  memberi candu kepada rakyat.
"Sedangkan  banyak lagi projek Kerajaan Pusat yang terbengkalai dan ada yang masih  belum dimulakan, termasuk jambatan yang dijanjikan dibina untuk pengundi  Dun Manek Urai 2009 yang lalu.
"Saya  cabar Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh mengumpulkan ahli sebenar Umno  untuk hadir ke majlis itu, tanpa ada kerahan wajib kakitangan kerajaan  sekiranya beliau inginkan keaslian dalam perjuangan dan melihat keutuhan  semangat ahli," ujar beliau
Harakahdaily
