
25 Rejab 1432H. [MOD] -
KUALA  TERENGGANU 27 JUN : Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said melahirkan rasa  kecewanya kerana kajian terhadap punca keruntuhan bumbung Stadium  Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak lebih dua tahun lepas masih  belum siap.
Ahmad  Said sebelum ini dimaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa kajian  insiden itu akan siap sepenuhnya Jun ini, namun beliau kecewa apabila  JKR memaklumkan hasil kajian itu hanya akan siap September depan.
"Tetapi  apabila mesyuarat minggu lepas, saya dimaklumkan kerja-kerja kajian  diserahkan kepada konsultan hanya pada bulan lepas (Mei) dan ia dijangka  siap pada September depan.
"Saya  merasa agak dukacita di atas kelewatan yang berlaku. Jadi saya tidak  dapat komen apa-apa mengenai perkara ini, tanyalah JKR sendiri. Saya  kecewalah sebenarnya," katanya.
Beliau  berkata demikian selepas melawat Stadium Negeri dan Terengganu  Ekuestrian Resort di sini sempena program sukan tahunan Isteri  Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional SeMalaysia (Serikandi) selama lima  hari mulai 5 Julai ini.
Kerja  pembersihan runtuhan di stadium itu telah selesai sejak beberapa bulan  lepas setelah bumbung utama stadium itu runtuh pada 2 Jun 2009 selepas  digunakan semasa Terengganu menjadi tuan rumah Sukan Malaysia pada 2008.
Namun  stadium itu masih terbengkalai apabila kerja baikpulih belum dapat  dijalankan sehingga sekarang kerana kajian oleh konsultan belum selesai.
tv selangor/-
