
19 Rejab 1432H.
MAT  Sabu, Timbalan Presiden PAS tidak lulus Universiti Oxford seperti Ketua  Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin. Kelulusannya pun tidak sehebat setengah  sarjana UMNO termasuk Perdana Menteri Datuk Najib. Dia tidak mengaji  falsafah dan sains politik peringkat ijazah di ITM. Dia belajar diplomat  tertentu tentang teknologi saja.
Tetapi  kepintarannya berhujah tentang isu demonstrasi Bersih 2.0 pada 09 Julai  nanti jauh lebih hebat dari alasan bodoh pemimpin Pemuda UMNO dan  sekutu NGOnya yang membuat aduan polis tentang mengapa ia patut  dihalang.
Ibrahim  Ali, pemimpin Perkasa yang satu sekolah dengan Mat Sabu di ITM dulu  selalunya pintar tetapi dalam perkara ini lebih buntu otaknya dari Hosni  Mubarak.
Mereka  takut pelancong tidak datang sehari ke Kuala Lumpur akan menyebabkan  penjaja kerugian dan pengusaha teksi tidak dapat membawa penumpang.  Ekonomi negara akan terjejas.
Siapa kata pelancong tidak datang ke Kuala Lumpur?
Beratus  ribu orang yang datang dari seluruh negara bagi menyertai perarakan itu  pelanconglah. Pelancong itu bukan yang datang dari Amerika dan  Negara-negara Teluk saja. Orang dari ceruk rantau dari seluruh negara  yang ke  Kuala Lumpur itu adalah pelancong juga.
Banyak  tol yang mereka akan bayar pergi balik ke Kuala Lumpur pada hari itu?  Mungkin melebihi pungutan di hari perayaan. Banyak petrol yang mereka  akan gunakan hari itu? Pemilik stesen minyak sepanjang ke Kuala Lumpur  dari Perlis, dari Rantau Panjang dan dari Johor Bahru menyebak akan  membuat duit yang banyak.
Berapa  kali seorang penunjuk perasaan singah di gerai dan restoran hari itu  dari pagi hingga ke malam? Empat lima kali. Katakanlah sekali makan RM5,  banyak penjaja di gerai dapat pungut hari itu.
Mereka  bukan sekadar datang untuk tunjuk perasaan saja, bahkan berbelanja  sedikit sebanyak. Biasanya seorang akan berbelanja antara RM50 hingga  RM100. Ke mana duit itu pergi kalau tidak kepada peniaga?
Lagi  ramai orang datang ke Kuala Lumpur lagi peniaga dan penjaja beroleh  tuah. Berniaga air botol saja pun tak dapat dikira untungnya. Mat Rempit  boleh rehat berlumba hari itu, ambil peluang berjaja air botol kepada  demonstran di sepanjang jalan. Tak perlu meragut hari itu mereka akan  dapat banyak rezeki.
Mungkin  teksi terpaksa berjalan perlahan di kawasan sesak atau tidak boleh  masuk ke kawasan antara Jalan Tuanku Abdul Rahman, menuju Masjid Negara  dan ke Istana Negara. Tapi kawasan sesak itu untuk beberapa jam saja  kecuali apabila ia dihalang oleh polis.
Kalau  polis cerdik dan menteri-menterinya cerdik, memberi peluang kepada  tunjuk perasaan aman itu, dan bekerjasama bagi memastikan lalu lintas  berjalan licin, maka tunjuk perasaan tidak menjadi apa-apa keburukan.  Tentulah tiga empat jam akan sesak, tetapi lepas itu semuanya akan  pulih.
Tunjuk  perasaan itu bukan untuk membuat Perdana Menteri seperti di Mesir,  Tunisia, Yaman, Libya dan Syria, tetapi untuk mengajar SPR yang pada  persepsinya ia satu dari biro UMNO.
Orang  datang dengan motokar dan bas dari Kelantan, Terengganu, Kedah, Johor  dan Melaka tidak boleh membawa kenderaan mereka ke tengah-tengah kota  kerana mengelakkan sesak dan kereta payah tiba ke situ. Bas dan kereta  akan ditinggalkan jauh dan berbatu-batu dari kawasan orang berhimpun dan  berarak.
Dengan  apa orang hendak ke situ kalau tidak dengan teksi. Bukan semua kawasan  ada perkhidmatan train. Maka mereka perlu teksi untuk pergi ke tempat  yang paling dekat dan boleh ditiba oleh teksi.
Teksi  hendak cerdik mencari jalan yang boleh dilalui. Kalau polis tidak  menghalang dan sebaliknya membantu kelancaran trafik, teksi boleh sampai  ke tempat paling dekat dengan lokasi perhimpunan.
Dan  bila tunjuk perasaan itu selesai, mereka hendak balik ke tempat kereta  ditinggalkan yang tentu jauh dan tak terdaya lagi berjalan kaki.  Semuanya itu peluang mengaut untung bagi teksi.
Kalaulah  sehari itu teksi tak dapat rezeki langsung, maka sekadar sehari tak  memandu tidaklah menjadi pemandu teksi bangsat bertahun-tahun. Orang  yang datang dari jauh berbelanja banyak sanggup datang menyertai tunjuk  perasaan bagi memperjuangkan tertegaknya keadilan, maka apalah salahnya  kalau sehari pemandu teksi tidak pendapatan tetapi dengan keadilan yang  hendak ditegakkan akan memberi kebaikan kepada masa depan  maasing-masing.
Mungkin  hari ini hilang mata pencarian, tetapi kalau keadilan dapat ditegakkan  dan kezaliman dapat dihapuskan, apalah ertinya kerugian satu hari itu?
Ibrahim  tak usah diikut. Dia makan kiri dan makan kanan. Pemerintah zalim pun  dia kenyang dan kalau tertegak keadilan, masakan dia bangsat pula.
Mat  Sabu menggunakan hujah-hujah itu. Ternyatalah hujahnya kuat dan ia  melemahkan dalih serjana-sarjana yang mengaji tinggi. Hujah sarjana itu  lebih lemah dari akal orang sekolah atap. Tun Abdullah Badawi pun  bercakap semangkok, jelaslah hujahnya tak sampai separuh dari kehebatan  Mat Sabu.
Subky Latif 
HARAKAHDAILY/-
