26 Rejab 1432H. [MOD] -
KUALA  LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Isnin, menetapkan 9 Ogos  depan sebagai sebutan semula permohonan tuntutan mutaah dan harta  sepencarian bernilai RM400 juta yang difailkan oleh bekas isteri kepada  anak Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib Abdul Taib.
Tuntutan  itu difailkan oleh Datin Seri Shahnaz A. Majid, yang sah bercerai  dengan talak satu daripada Mahmud Abu Bekir Taib pada 12 Mei lalu.
Ketua  Hakim Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Abdullah  menetapkan tarikh itu pada Isnin, selepas timbul isu penyerahan dan  penerimaan dokumen oleh peguam-peguam syarie yang mewakili Shahnaz  selaku plaintif dengan Mahmud Abu Bekir Taib yang dinamakan sebagai  defendan.
Pertikaian  itu bermula apabila peguam syarie Dr Mohd Rafie Mohd Shafie  membangkitkan notis permohonan interlokutari (permohonan dalam  permohonan)bertarikh 23 Jun lalu oleh pihak Mahmud Abu Bekir Taib  sebagai percubaan untuk memancing keterangan daripada pihaknya.
Mohd  Rafie seterusnya merujuk kepada perintah mahkamah yang diterimanya  secara ex-parte (sebelah pihak) pada 9 Mei lalu yang mengarahkan Mahmud  Abu Bekir Taib untuk menzahirkan semua dokumen berhubung harta yang  dimilikinya sama ada di dalam mahupun di luar negara.
Perintah  itu juga meliputi nombor akaun, penyata akaun kewangan bulanan atau  tahunan, penyata akaun simpanan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP),  dan penyata cukai tahunan.
Bagaimanapun,  peguam syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar memberitahu bahawa, pihaknya  tidak mempunyai pengetahuan mengenai perintah tersebut dan kali pertama  mendengar mengenainya pada prosiding hari ini.
Zainul Rijal: Anak guam saya tidak pernah menerima sebarang perintah seperti yang dinyatakan oleh rakan peguam saya.
Mohd  Rafie: Perintah telah disampaikan kepada orang gaji defendan pada 22  Jun lalu kerana seperti dalam kes-kes sebelum ini, defendan enggan  menerima dan hanya arahkan orang gajinya untuk terima.
Zainul  Rijal: Menurut anak guam saya, beliau ada di rumah pada tarikh tersebut  dan tiada sesiapa pun yang memanggil beliau untuk terima serahan  seperti yang didakwa.
Zainul  Rijal seterusnya menyifatkan serahan itu tidak sempurna kerana dibuat  menerusi pihak ketiga, apatah lagi dalam kes ini melibatkan seorang  pembantu rumah.
Beliau  juga menolak dakwaan Mohd Rafie bahawa permohonan interlokutari dibuat  kerana mahu memancing keterangan, sebaliknya berkata, ia bagi memohon  agar Shahnaz memperincikan butiran tuntutan untuk beliau menyediakan  pembelaan anak guamnya.
"Jika  dilihat pada permohonan tuntutan, dikatakan tanah beribu-ribu ekar di  Sarawak, rumah di merata-rata tempat. Bagaimana kami mahu sediakan  pembelaan?," ujar Zainul Rijal.
Setelah  mendengar penjelasan peguam-peguam itu, Ketua Hakim Syarie  memerintahkan supaya kedua-dua pihak menyerahkan semua dokumen yang  berkaitan kes kepada satu sama lain pada petang ini.
Mahmud  Abu Bekir Taib, 48, dan Shahnaz berkahwin pada 9 Januari 1992 dan hasil  perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya  yang berusia 17 tahun enam bulan.
Shahnaz,  48, yang juga kakak kepada ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid pada  awalnya memfailkan permohonan untuk berpisah secara fasakh tetapi  menarik semula permohonannya apabila Mahmud Abu Bekir Taib bersetuju  untuk melafazkan cerai secara baik.
Lafaz  cerai dilafazkan di mahkamah pada 12 Mei lalu, dan pasangan itu tidak  dapat mencapai persetujuan dalam permohonan tuntutan mutaah dan harta  sepencarian yang timbul ekoran perceraian itu.
Shahnaz  menuntut RM100 juta sebagai mutaah yang dipercayai suatu jumlah yang  munasabah dengan tempoh perkahwinan mereka selama 19 tahun, selain ia  berpadanan dengan pendapatan bekas suaminya.
Jumlah  itu juga didakwa sebagai keadilan untuk beliau memulakan hidup baru  sesuai dengan taraf dan status yang pernah dilaluinya.
Shahnaz  juga menuntut agar RM300 juta diisytiharkan sebagai harta sepencarian  yang meliputi harta-harta termasuk rumah di mereta-rata tempat, tanah  beratus-ratus hektar di Sarawak dan tanah di Bukit Tunku, di sini.
Selain  itu, mereka juga didakwa mempunyai kereta Mercedez Benz, Lamborghini  Murcielago, Ferrari Spider, Bentley New Continental GT, Maserati  Quartoporte, AUDI, dan Van Alphard serta simpanan-simpanan bank.
Harta  tersebut juga melibatkan syarikat-syarikat dan saham-saham seperti  Titanium Management Sdn Bhd, Sarawak Cable Berhad, Cahaya Mata Sarawak  Berhad, Premium Haven, Log Dak Promotions, Dataran Aras, Celebrity  Design dan Bella Magic.
Oleh SALWA SHA'ARI
