1 Rejab 1432H. [MOD] -
Presiden  PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu tidak mempunyai  kuasa untuk menyiasat dakwaan bahawa penulis blog Kickdefella telah  dibayar sejumlah wang oleh exco kerajaan negeri Kelantan untuk  bertanding dalam pemilihan parti.
Bagaimanapun, parti itu  mengalu-alukan siasatan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  ke atas kes berkenaan demi membersihkan parti itu daripada pemimpin yang  terlibat rasuah, katanya lagi.
Malah, parti itu juga tidak  teragak-agak untuk memecat pemimpin berkenaan sekiranya benar-benar  didapati terlibat dalam rasuah, katanya lagi.
"Kita tidak ada kuasa, yang ada  kuasa ialah SPRM. Mengikut amalan pentadbiran, orang yang hendak  bertindak mesti mendapat green light daripada menteri besar dan juga  menteri.
"Sebab itu menteri besar Pakatan  Rakyat terbuka untuk SPRM menyiasat semua yang dituduh, yang difitnah,  dibuat dengan rasuah kerana kita betul-betul hendak bersih kerajaan  kita.
"Walaupun exco walaupun menteri  besar sekalipun kalau tidak betul, kita pecat. Dalam sejarah PAS (ada)  kita pecat. Kita tidak mahu pelihara orang yang ada penyakit ini,"  katanya dalam satu sidang media di muktamar parti itu di Gombak hari  ini.
Penulis blog Kickdefella  atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz semalam mengaku pernah  menerima RM350,000 daripada Datuk Husam Musa sebagai pampasan setelah  ditamatkan kontraknya dengan Permodalan Menteri Besar Kelantan (PMBK)  dua tahun lalu.
Syed Azidi mendakwa wang  tersebut ialah sebagai pampasan selepas kontraknya sebagai pegawai  perhubungan awam di PMBK ditamatkan pada 10 November 2009.
Dengan berseloka, Abdul Hadi juga berkata dakwaan itu hanya ditimbulkan tetapi kebenarannya masih belum diketahui.
"(Sekarang) zaman langit  terbuka. Langit terbuka ini kita dengar guruh kilat, ada guruh yang tak  ada hujan. Ada guruh yang ada hujan. Jadi kita tunggulah," kata Abdul  Hadi lagi dengan tersenyum.
Sementara itu, setiausaha  agungnya Datuk Mustafa Ali pula berkata, parti itu hanya memberi reaksi  kepada isu berkenaan kerana ditanya dalam sidang media berkenaan.
"Maksudnya yang menimbulkannya bukan kita, yang bertanya itu timbul. Kita respon sajalah. Kita tidak timbul sebab tak ada (kes).
"Saya yang buat kenyataan dulu  apabila ia berbangkit, dan tak ada. Tak wujud perkara itu," katanya lagi  dalam sidang media sama.(MalaysiaKini)

