
14 Rejab 1432H. [MOD] -
KUALA  LUMPUR, 16 Jun: Bukan senang hendak mendapat liputan di media perdana  mengenai aktiviti pembangkang di negara ini, kata Ahli Jawatankuasa PAS  Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).
“Nampaknya  program Bersih 2.0 yang diadakan pada 9 Julai ini mendapat liputan yang  meluas di kaca televisyen dan dada akhbar,” katanya kepada  Harakahdaily.
Justeru, katanya sekalung tahniah diberikan kepada pemilik media, kerana mengiklankan program tidak berbayar.
Katanya,  program Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sudah pun  berjaya walaupun belum sampai masanya, kerana ia mendapat ulasan yang  meluas oleh pemimpin BN.
Ini, ujarnya adalah tanda aras kejayaan rakyat yang hendak memulih sistem demokrasi di negara ini.
Menurutnya,  setakat hari ini lebih daripada 400 laporan polis yang dibuat oleh  Umno, cuma berlainan nama untuk menggagalkan tuntutan rakyat.
Katanya,  Datuk Seri Khalid Abu Bakar selaku Timbalan Ketua Polis Negara telah  memberi amaran untuk membuat tangkapan awal sebagai usaha untuk  menakutkan rakyat.
“Kita  harapkan supaya pihak polis jangan dipandang oleh rakyat hanya untuk  menjaga keselamatan Umno, bukan keselamatan negara, bertindaklah secara  profesional, bukan emosional,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan kenapa demonstrasi kepala lembu di Shah Alam  tidak ada gangguan.
“Setitik  air pun tidak disembur kepada mereka, sedangkan ini adalah demo yang  berbentuk perkauman dan penghinaan kepada agama, ia boleh terbakar  negara.
“Cuba  bayangkan jika demo itu dibuat oleh penyokong Pakatan Rakyat, sudah  pasti mereka yang terlibat disumbat di dalam ISA,” ujarnya lagi.
HARAKAHDAILY/-
