
14 Rejab 1432H. [MOD] -
KUALA  LUMPUR, 15 Jun: Ekoran pendedahan bahawa Kementerian Pelancongan  membelanjakan RM1.8 juta untuk mengendalikan laman peminat Facebooknya,  satu lagi akaun laman peminat Facebook atas nama "Curi-curi wang  Malaysia" diwujudkan.
Menurut  maklumat yang terpapar di laman peminat itu, ianya diwujudkan bertujuan  membolehkan rakyat Malaysia menyuarakan bantahan terhadap Kementerian  Pelancongan Malaysia yang membelanjakan RM1,758,432 untuk membuka dan  menjaga laman peminat kementerian itu.
"Facebook adalah percuma. Jangan curi duit kami dengan cara bodoh ini dan cuba buat kami seperti orang jahil.
"Beri balik duit kami!", tulis pengendali laman itu.
Setakat berita ini ditulis, laman peminat Curi-curi Wang Malaysia ini sudah mendapat 19,044 peminat.
Jumlah  itu dijangka akan terus meningkat apabila pautan ke laman peminat itu  turut dipromosikan beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat melalui  Facebook dan Twitter mereka.
Dalam  beberapa respon kepada peminatnya, pengendali laman peminat ini yang  diwujudkan secara percuma, menjelaskan mahu bersaing dengan laman  peminat kementerian pelancongan.
Mereka juga mahu membuktikan mereka boleh mendapat jumlah peminat lebih tinggi dari laman kementerian itu tanpa sebarang kos.
"Ubah Sekarang untuk Selamatkan Malaysia! Kita selamat, kita jimat", seru laman itu.
Sementara itu, laman peminat 'Tourism Malaysia- Cuti-cuti Malaysia' setakat berita ini ditulis juga mendapat 26,082 peminat.
Persidangan  Dewan Rakyat semalam 'dikejutkan' dengan penjelasan Timbalan Menteri  Pelancongan, James Dawos Mamit bahawa kementeriannya memperuntukkan  RM1.8 juta mewujudkan laman peminat Facebook kementerian itu.
Projek itu diberikan kepada agensi pengiklanan yang dilantik, Impact creations sdn Bhd bermula 2011 sehingga 2013.
Anthony  Loke (DAP-Rasah) bagaimanapun mempersoal kenapa begitu besar jumlah  wang 'dibazirkan' untuk Facebook itu yang sebenarnya hanya boleh dibuat  secara percuma.
Pandangan bahawa jumlah itu sebagai 'pembaziran' juga turut dipersetujui Khairy Jamaludin (BN Rembau).
harakahdaily/-
